Wednesday, August 13, 2008

Caj Perkhidmatan PTPTN Satu Peratus Mulai Jun - BERNAMA

13 Ogos, 2008 16:19 PM

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Kabinet hari ini bersetuju mengurangkan caj perkhidmatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada satu peratus bagi semua pelajar universiti berkuatkuasa Jun tahun ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan hari ini.

Beliau berkata keputusan itu membabitkan peminjam sedia ada, peminjam yang telah tamat belajar tetapi masih belum menyelesaikan pinjaman dan semua bakal peminjam.

"Pelajar baru yang memohon pinjaman sebelum sistem baru dilaksanakan, permohonan mereka akan diproses dan diluluskan mengikut kaedah sedia ada dan pelarasan akan dibuat kemudian apabila sistem baru siap dibangunkan menjelang Disember tahun ini," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Mohamed Khaled berkata bagi peminjam yang tidak pernah membayar, tetap dikenakan kadar caj yang lama dan denda sebanyak satu peratus juga akan dikenakan, hanya baki jumlah pinjaman selepas 1 Jun sahaja layak mendapat kadar caj yang baru.

Sebelum ini, caj perkhidmatan PTPTN yang dikenakan terhadap penuntut peringkat siswazah ialah tiga peratus manakala pasca siswazah pula lima peratus.

Beliau berkata surat perjanjian baru akan diedarkan kepada peminjam sedia ada dan yang telah tamat belajar menjelang tahun depan serta peminjam diberi tempoh sebulan untuk melengkapkan dokumen baru itu dan mengembalikannya semula kepada PTPTN.

"Peminjam perlu menjawab surat tawaran itu sama ada setuju atau tidak, ini perlu kerana ia melibatkan perjanjian, mereka (peminjam) tidak boleh anggap bila kita umum ia akan berubah kerana ini ada perjanjian.

"Kalau peminjam tidak memberikan sebarang jawapan, kadar caj yang lama akan tetap dikenakan," katanya.

Mohamed Khaled berkata dengan penurunan kadar caj itu diharapkan usaha mendapatkan semula pinjaman akan dipertingkatkan dan pelajar juga tidak mempunyai alasan lagi untuk gagal melunaskan pinjaman mereka.

Jumlah peminjam PTPTN sekarang bagi pelajar siswazah (Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) ialah 1.04 juta manakala peminjam bagi pasca siswazah (Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah) seramai 2,473 orang.

Selaras dengan keputusan itu juga kementerian sedang mengkaji kemungkinan untuk menumpukan pembiayaan pendidikan di peringkat sarjana, doktor falsafah dan profesional hanya dalam bidang-bidang strategik sahaja.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...