Wednesday, August 13, 2008

Mahathir: Kecoh forum Majlis Peguam salah kerajaan - mStar Online

13-08-2008 07:32:56 PM
Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyalahkan kerajaan berhubung isu protes penganjuran forum anjuran Majlis Peguam Sabtu lalu, yang bertukar menjadi kecoh dan demonstrasi membabitkan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan.

Kata Dr. Mahathir, kerajaan seharusnya telah melarang forum sedemikian diajurkan, malah tidak mengambil langkah-langkah mengelakkan protes daripada diadakan.

"Saya salahkan kerajaan kerana sikap angkuh Majlis Peguam dan membelakangkan persefahaman yang dibuat dahulu.

"Sepatutnya kerajaan melarang majlis berkenaan pengislaman anjuran Majlis Peguam diadakan. Tetapi sebaliknya, kerajaan biarkan rakyat protes.

"Protes boleh dihalang tetapi hati dan perasaan mereka yang memprotes dan lebih ramai lagi yang bersependapat dengan mereka terus meluap dan marah. Kemungkinan ialah perasaan marah ini akan meningkat kerana keangkuhan Majlis Peguam Malaysia yang masih ingin mengadakan majlis yang serupa pada masa terdekat," kata beliau dalam blognya hari ini.

Forum Memeluk Islam terpaksa dihentikan sejam selepas ia bermula ekoran protes dan demonstrasi anjuran 29 pertubuhan bukan kerajaan serta turut disertai dua Ahli Parlimen masing-masing dari PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dr. Mahathir yang seringkali mendapat perhatian berhubung isu kebebasan kehakiman dan perundangan negara ini sepanjang 22 tahun memimpin Malaysia menambah, jika perkara-perkara sensitif perlu dibincang, ia sewajarnya diadakan dalam keadaan tertutup dan dengan melibatkan hanya beberapa pemimpin yang bertanggungjawab.

"Hasilnya tidak perlu diheboh tetapi diserah kepada kerajaan," katanya.

Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan pula janganlah takut dan utamakan populariti peribadi sahaja tetapi hendaklah fikir berkenaan kepentingan negara.

Malah dalam tulisannya beliau menjelaskan, "setelah diberi 'muka' oleh Zaid Ibrahim, de-facto Menteri Undang-Undang, dan beranggapan yang kerajaan sekarang takut pada mereka, Majlis Peguam bukan main lagi; sanggup juarai semua isu yang sensitif."

Kata beliau lagi, selain menuntut mereka pilih hakim, mereka membangkitkan perkara sensitif seperti kontrak sosial dan agama Islam.

"Apabila hakim Ian Chin tuduh saya kononnya ugut hakim-hakim, Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenivasan, desak supaya kerajaan siasat saya," katanya lagi.

"Sejak Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan sejak Datuk Zaid Ibrahim, sebagai de-facto Menteri Undang-Undang, cuba menawan hati Majlis Peguam dengan memberi kuasa kepada ahli majlis memilih hakim, dan memberi sagu hati kepada bekas-bekas hakim yang disingkir, Majlis Peguam begitu garang sekali," katanya lagi.

Dr. Mahathir juga menulis, jika ada yang melihat bahawa kerajaan lemah dan tidak dapat pertahan persefahaman yang dipersetujui dahulu, dan apabila mereka mencabul persefahaman yang telah dicapai masa lalu, negara akan hilang kestabilan.

"Yang akan jadi mangsa ialah rakyat berbilang kaum negra ini. Di antara mereka ialah Majlis Peguam," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...