Sunday, August 3, 2008

Dua Lagi Cawangan Di Johor Calon Muhyiddin Bertanding Presiden Umno - BERNAMA

03 Ogos, 2008 11:30 AM

JOHOR BAHARU, 3 Ogos (Bernama) -- Dua lagi cawangan Umno di Johor, iaitu Stulang Laut dan Permas Jaya, mencadangkan Naib Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dicalonkan bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Umno cawangan Stulang Laut dalam Umno Bahagian Johor Baharu, dan Umno cawangan Permas Jaya dalam Umno Bahagian Pasir Gudang, masing-masing sebulat suara meluluskan usul itu dalam persidangan tahunan kedua-dua cawangan itu malam tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua cawangan tidak mengemukakan sebarang usul bagi jawatan Timbalan Presiden parti, kata Timbalan Ketua Umno Cawangan Stulang Laut, Azuki Ngah.

"Ia (usul mencalonkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden Umno) merupakan suara akar umbi Umno dan kami (anggota di cawangan) meminta usul tersebut mendapat perhatian berat oleh kepimpinan di peringkat bahagian," katanya kepada Bernama di sini, hari Ahad.

Ketua Umno cawangan Permas Jaya Mohd Azhari Ahmad pula berkata usul mencalonkan Muhyiddin merebut jawatan Presiden Umno mendapat sokongan sebulat suara daripada 226 anggota parti yang menghadiri mesyuarat cawangan itu.

"Kita mahukan usul itu menerima perhatian daripada bahagian," katanya.

Umno cawangan Stulang Laut dan Umno cawangan Permas Jaya merupakan cawangan yang ketiga selepas Umno cawangan Kampung Desa Jaya dalam Umno Bahagian Johor Baharu yang meluluskan usul mencadangkan Muhyiddin bertanding jawatan Presiden parti.

Umno cawangan Kampung Desa Jaya mengemukakan usul itu pada mesyuarat cawangannya pada 19 Julai lepas, dan diluluskan sebulat suara.

Umno Bahagian Johor Baharu diketuai oleh Datuk Shahrir Abdul Samad, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, manakala Umno Bahagian Pasir Gudang diketuai oleh Datuk Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pengajian Tinggi.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...