Sunday, August 3, 2008

Muhyiddin Pertahan Jawatan Naib Presiden Umno, Akur Pelan Peralihan Kepimpinan Parti

03 Ogos, 2008 16:46 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden Umno, sekaligus menamatkan spekulasi yang menyatakan bahawa beliau akan bertanding satu daripada jawatan utama pada pemilihan parti Disember ini.

Muhyiddin berkata beliau akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bersetuju dan menghormati Pelan Peralihan Kepimpinan yang diatur bagi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.

"Dengan ini, saya berpendapat adalah amat wajar bagi saya mempertahankan jawatan Naib Presiden supaya dapat terus berperanan di dalam membantu peralihan kepimpinan ini.

"Keputusan ini saya buat atas kesedaran dan prinsip yang saya dokong dari dulu hingga sekarang iaitu sentiasa bersedia dan bersama menjamin keutuhan parti dan menampilkan barisan kepimpinan tertinggi yang berwibawa dan kuat agar mampu berusaha memperjuangkan teras perpaduan dan nasib kaum Melayu demi kepentingan bangsa, agama dan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini Ahad.

Semalam dua lagi cawangan Umno di Johor, iaitu Stulang Laut dan Permas Jaya, sebulat suara meluluskan usul agar Muhyiddin dicalonkan bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Pada 19 Julai, Umno cawangan Kampung Desa Jaya mengemukakan usul serupa pada mesyuarat cawangannya dan diluluskan sebulat suara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata beliau tidak bermaksud menolak prinsip demokrasi dan hak bersuara anggota Umno apabila membuat keputusan mempertahankan jawatannya.

"Umno tetap memegang kepada dasar demokrasi dan tidak sesekali menegah atau mengongkong ahli parti daripada menyatakan suara dan pendirian mereka dalam membuat keputusan yang mereka fikir baik untuk parti," katanya.

Menegaskan bahawa Umno adalah sebuah parti yang demokratik dan mengamalkan muafakat serta sentiasa mengikut peraturan dan perlembagaan, beliau berharap semua anggota parti dapat memberikan kepercayaan kepadanya mempertahankan jawatan.

Muhyiddin dipilih sebagai Naib Presiden Umno pada 1993 setelah gagal dalam percubaan pertama pada 1990. Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan jawatan pada pemilihan parti 1996 dan empat tahun kemudian berjaya merebut kembali jawatan itu sehingga hari ini.

Muhyiddin berkata beliau sedar keputusannya itu akan mengecewakan sesetengah pihak dan anggota parti di beberapa peringkat, namun "ingin saya tekankan bahawa setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan suara serta sokongan mereka akan sentiasa saya hormati dan hargai."

Katanya keputusannya hari ini dibuat setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada pelbagai peringkat dan kepimpinan parti.

"Saya berikrar akan terus membantu di dalam usaha membaik pulih parti agar dapat kita bersama merapatkan barisan bagi membuat perancangan dan memperkemaskan gerak jentera parti di semua peringkat serta bersiap sedia dari sekarang untuk berhadapan dengan cabaran pilihan raya umum akan datang," katanya.

Muhyiddin berkata: "Jika suara saya kelihatan lantang dan tegas melalui teguran yang saya buat, percayalah bahawa saya tidak sesekali bermaksud untuk menentang kepimpinan tetapi ia dibuat atas niat tulus dan ikhlas kerana mahu melihat Umno terus kuat, perkasa dan berwibawa."

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...