Sunday, August 3, 2008

Jejambat MRR2 Dekat Kepong Dibuka Semula - BERNAMA

03 Ogos, 2008 21:25 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong, yang ditutup pada 10.30 pagi tadi ekoran keretakan pada satu tiang penopang jejambat lebuh raya jejambat itu, kini dibuka semula kepada semua lalu lintas kecuali lorong paling kiri kedua-dua hala lebuh raya itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed berkata jejambat MRR2 di Kepong itu masih selamat digunakan orang ramai walaupun lorong paling kiri di kedua-dua hala ditutup berikutan keretakan pada tiang 28.

"Hasil siasatan awalan menunjukkan bahawa kesan lekang telah berlaku disebabkan tiga dari 18 carbon fibre reinforced plastic (CFRP) pra-tegasan pada tiang 28 telah putus.

"CFRP adalah antara langkah-langkah yang digunakan untuk memperkukuhkan tiang itu dahulu. Sebagai langkah keselamatan, satu lorong terkiri kedua-dua belah jejambat akan ditutup sehingga tiang penopang 28 itu diperbaiki segera sebelum enam lorong dibuka kepada semua kenderaan," katanya.

Mohd Zin berkata: "Semua pakar daripada JKR dan perunding telah sebulat suara mengatakan bahawa walaupun kita buka kesemua enam lorong, ia masih lagi selamat kerana masih ada 15 CFRP untuk menampung berat kenderaan yang lalu.

"Tetapi bagi saya, tiada tolak ansur berhubung keselamatan orang ramai. Sebab itu saya tutup satu lorong dari hala pergi dan balik," katanya kepada pemberita selepas memeriksa kesan keretakan pada tiang itu.

Mohd Zin berkata beliau dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan akan mengambil masa kira-kira tiga minggu.

Sambil menegaskan kerajaan tidak akan menanggung sebarang pembaikan memandangkan ia masih berada dalam jaminan kontraktor, beliau berkata JKR akan menyiasat dan mengendalikan forensik kejuruteraan bagi mencari punca keretakan Tiang 28 dan mengkaji tiang-tiang penopang yang lain bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.

"Sekiranya kami dapati bahawa terdapat kelalaian pada pihak kontraktor, pembekal atau sesiapa yang membuat mengemukakan pelan tersebut daripada semakan dan siasatan kami, tindakan tegas akan diambil," kata Mohd Zin.

Ditanya sama ada Badan Pencegah Rasuah akan turut terlibat dalam siasatan berkenaan, beliau berkata ia belum tiba ke peringkat itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Trafik Bandaraya DSP Ng Fook Loong berkata lalauan bawah jejambat terbabit yang turut ditutup telah dibuka semula mulai 4.30 petang.

"Bagaimanapun hanya satu lorong jalan itu dibuka kepada lalulintas bagi mengelak kemalangan disebabkan kerikil batu pada jejambat itu jatuh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Penutupan laluan itu menyebabkan kesesakan teruk terutama di kedua-dua hala yang menghubungkan Sungai Buloh, Kepong, Selayang, Batu Caves, dan Ampang.

Jejambat MRR2 menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer dan dibina oleh Konsortium SUKMIN-Bumi Hiway-KKM (Wilayah) berdasarkan kepada reka bentuk firma perunding Maunsel, Sharma & Zakaria.

Pada 9 Ogos 2004, laluan itu ditutup kepada lalu lintas berikutan 31 daripada 33 tiang mengalami keretakan. Laluan terbabit iaitu jejantas utama antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan persimpangan bertingkat Taman Bukit Maluri ditutup kepada semua lalulintas dan mula dibuka pada 6 Dis 2004.

Pada 4 Feb 2006, sekali lagi jejambat itu ditutup ekoran masalah yang sama dan dibuka enam bulan kemudian.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...