Monday, August 18, 2008

Kerajaan Pajak Kereta Rasmi Daripada Spanco Sdn Bhd Sehingga 2018 - BERNAMA

18 Ogos, 2008 16:16 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tidak lagi membeli kereta rasmi untuk kegunaan anggota pentadbiran dan pegawai tinggi kerajaan Persekutuan sejak Januari 1994, sebaliknya memajak kereta rasmi daripada Spanco Sdn Bhd (Spanco) bagi tempoh konsesi selama 25 tahun yang berakhir 31 Disember 2018, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha berkata selain kereta rasmi kerajaan, Spanco juga memajakkan kereta "saloon" kepada kementerian dan jabatan kerajaan persekutuan.

"Di bawah sistem pajakan ini, Spanco bertanggungjawab untuk membekal, menyelenggara dan membaiki semua kenderaan yang dipajak oleh kerajaan.

"Sebagai balasan, kerajaan membayar kos sewaan, penyelenggaraan dan pembaikan kepada Spanco setiap bulan berasaskan bilangan dan jenis kereta yang dipajak," katanya menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu kos dan faedah penggunaan Proton Perdana V6 sebagai kereta rasmi kerajaan.

Kong berkata kerajaan telah menghentikan pengimportan kereta mewah iaitu Mercedes Benz dan Volvo oleh Spanco pada September 1997 dan semua pegawai berkelayakan dibekalkan kereta Proton Perdana.

Kong berkata sehingga Julai lepas, sebanyak 8,341 buah kereta telah dipajak dengan 105 daripadanya untuk kegunaan anggota pentadbiran persekutuan.

"Kos purata penyelenggaraan berkala tahunan (tidak termasuk pembaikan) yang dikenakan bagi Proton Perdana V6 adalah sebanyak RM2,373 iaitu 55 peratus lebih rendah daripada kos penyelenggaraan standard bagi kereta Mercedes iaitu sebanyak RM3,693," katanya.

Beliau berkata kerajaan mendapati penggunaan kereta Proton Perdana adalah praktikal kerana tidak mengalami masalah teknikal yang serius.

"Sehingga Julai lepas, kerosakan yang berpunca daripada transmisi adalah kurang daripada satu peratus.

"Proton Perdana V6 juga mempunyai tempoh jaminan selama dua tahun atau sehingga 50,000km yang mana Proton akan menanggung kos alat ganti tambahan jika ia perlu diganti," katanya.

Kong berkata kerajaan juga telah menjalankan dua kajian berhubung pelaksanaan penswastaan kereta pajakan kerajaan oleh Spanco sepanjang tempoh konsesi.

"Hasil kajian telah digunakan untuk menyemak semula perjanjian konsesi di mana kos perkhidmatan Spanco kepada kerajaan telah dapat dikurangkan apabila Spanco bersetuju memberi rebat sebanyak 20 peratus ke atas kos sewaan mulai tahun 2004," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...