Monday, August 18, 2008

Tan Nafi Gesa Gerakan Tinggalkan BN - BERNAMA

18 Ogos, 2008 18:08 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe hari ini menafikan yang beliau terlibat dalam menyokong gesaan perwakilan Perak supaya parti itu meninggalkan Barisan Nasional (BN) jika isu perkauman dan agama tidak diselesaikan oleh gabungan itu, menyatakan beliau hanya menyuarakan kebimbangan akar umbi.

Katanya beliau telah disalah petik kerana kenyataan itu dibuat oleh beberapa perwakilan utama Perak dan bukannya oleh pergerakan Wanita.

"Bagaimanapun, sebagai pemimpin sebuah parti demokratik, kami tidak boleh menghalang mereka daripada menyuarakan kekecewaan mereka dengan apa yang berlaku di negara ini akhir-akhir ini.

"Tidak dinafikan beberapa kejadian membabitkan perkauman dan agama telah menyebabkan rasa kurang senang kepada sesetengah mereka dan kami perlu mendengar suara akar umbi, " kata Tan yang juga Ketua Wanita Gerakan Perak pada sidang akhbar di Menara PGRM di sini hari ini.

Beliau memberikan penjelasan mengenai laporan berita bahawa kira-kira 80 peratus perwakilan telah menyatakan pendapat mereka mengenai perkara itu pada persidangan perwakilan Gerakan Perak semalam, dengan sesetengah daripada perwakilan berharap isu itu dibahaskan pada persidangan perwakilan parti peringkat kebangsaaan yang dijadualkan pada Oktober.

Tan, yang juga Timbalan Menteri Penerangan berkata beliau telah menjelaskan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam pertemuan di Parlimen pagi ini.

"Tiada tekanan atau perkara seumpama itu untuk saya memberikan penjelasan kepada mereka. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima penjelasan saya yang sebenarnya berlaku salah faham.

"Beliau juga memberitahu saya yang beliau telah dimaklumkan oleh beberapa pemimpin parti komponen mengenai isu yang sama dan beliau akan mengambil perhatian semua perkara yang disuarakan," katanya.

Tan berkata kebimbangan perwakilan Perak itu akan dibawa kepada perhatian pucuk pimpinan parti pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan Jawatankuasa Pusat (CC).

Beliau menyangkal dakwaan kononnya gesaan yang dibuat perwakilan berkenaan disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan parti dan dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Pakatan Rakyat bakal mentadbir negara pada 16 Sept.

Beliau mengulangi kesetiaan anggota Parlimen Gerakan kepada BN dan menyatakan mereka tidak akan lompat parti.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...