Monday, September 8, 2008

Chua Jui Meng tanding presiden MCA - MALAYSIAKINI

Sep 8, 08 4:16pm

Bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng bersedia mencabar Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat, yang juga Naib Presiden MCA, dalam perebutan jawatan Presiden MCA pada pemilihan parti, dijadual pada 18 Oktober depan.

chua jui meng 010605Bekas menteri kesihatan itu dijangka mengumumkan keputusan untuk bertanding dalam masa dua tiga hari ini.

Pertandingan merebut jawatan presiden ini adalah kali kedua bagi Chua selepas tewas kepada Datuk Seri Ong Ka Ting dalam cubaan pertama dalam pemilihan parti 2005.

"Ya, beliau telah menetapkan fikiran mengenai jawatan yang ingin ditandinginya. Beliau akan mengumumkanya sebelum konvensyen Kedah (yang dijadualkan Jumaat ini di Alor Star)," kata seorang pembantunya kepada Bernama hari ini.

Pada 15 April lalu, Chua yang tidak menolak kemungkinan bertanding jawatan utama dalam pemilihan MCA tahun ini bagaimanapun mengakui sukar baginya untuk kembali aktif ke dalam dunia politik.

Ahli politik berusia 64 tahun itu berjaya mengekalkan jawatan pengerusi Bahagian Bakri dalam pemilihan bahagian pada Julai.

Chua, yang terlibat dalam dunia politik selama 40 tahun, kemungkinannya akan menawarkan diri sebagai "calon perpaduan" bagi menyatupadukan ahli parti, yang kini dikatakan terbahagi kepada dua kem -- satu yang memihak kepada Presiden sekarang, Ong, dan satu lagi kem yang menyokong bekas presiden Tun Dr Ling Liong Sik.

Dalam pemilihan parti 2005, Chua kalah kepada Ong dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 696 undi. Chua mendapat 819 undi manakala Ong, yang bertanding pertama kali memperoleh 1,515 undi.

Bagaimanapun, dalam pemilihan kali ini, Ong tidak akan mempertahankan jawatannya atas alasan bertangunggjawab sepenuhnya dengan prestasi buruk parti itu pada pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Sehingga kini, hanya Tee Keat mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden MCA, selepas mesyuarat Majlis Presiden MCA esok.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...