Monday, September 8, 2008

Penyokong Anwar Diminta Tidak Timbulkan Kekecohan Di Mahkamah - BERNAMA

08 September, 2008 18:58 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Polis menasihatkan orang ramai terutama penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak menimbulkan kekecohan di Mahkamah Jalan Duta, Rabu ini berikutan sebutan semula kesnya yang dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan kawalan keselamatan dan trafik di kawasan sekitar Mahkamah Jalan Duta.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas bilangan anggota keselamatan yang akan berkawal di mahkamah itu nanti.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak polis," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 7 Ogos lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap tuduhan meliwat Mohamad Saiful Bukhari.

Anwar didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 Jun lepas di sebuah unit kondominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara. Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim S.M. Komathi Suppiah membenarkan Anwar dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin dan menetapkan kes itu didengar semula Rabu ini.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...