Monday, September 8, 2008

Saingan sengit jawatan Umno di Kedah - MALAYSIAKINI

Abdul Rahim Sabri | Sep 8, 08 6:38pm

Tinjaun Malaysiakini di lima bahagian Umno di Kedah - Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Jerai dan Sungai Petani - mendapati banyak jawatan utama dipertandingkan dan persaingannya dijangka sengit.

Walaupun tiada pertandingan bagi jawatan ketua dan timbalan bahagian, tetapi sembilan orang dicalonkan untuk jawatan naib ketua.

Kubang Pasu mempunyai 148 cawangan dan setakat ini, 143 cawangan sudah bermesyuarat. Mesyuarat dijangka berakhir 14 September ini.

johari baharumTimbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Johari Baharum mengekalkan jawatan ketua manakala Datuk Ahmad Zaini Japar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam), mengekalkan jawatan timbalan ketua tanpa bertanding.

Sembilan orang dicalonkan untuk jawatan naib naib ketua, tetapi hanya empat sahaja yang layak melepasi kelayakan untuk bertanding.

Penyandangnya, Aman Khan Md Hussien, mendapat 52 pencalonan manakala ketua penerangan bahagian, Zul Fitri Yaakub, yang juga setiausaha sulit Johari, mendapat 29 pencalonan.

Dua lagi ahli jawatankuasa bahagian turut layak bertanding. Mereka ialah Abd Manaf Kechik (29 pencalonan) dan Mohamad Abd Rahim (20).

Setiausaha Umno bahagian, Samsuddin Ahmad berkata perjalanan mesyuarat cawangan berjalan dengan lancar dan tiada sebarang masalah.

Persaingan sengit

Bagaimanapun, lain pula berlaku di Pokok Sena di mana ahli biasa Umno bahagian dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan dan naib ketua bahagian.

Menurut sumber, ketua bahagian, Datuk Ahmad Lebai Sudin menang tanpa bertanding dengan mendapat 146 pencalonan.

Katanya, ini ekoran keputusan pencabarnya yang juga naib ketua bahagian, Datuk Ariffin Man menarik diri untuk bertanding jawatan timbalan ketua bahagian.

Selain Ariffin, dua lagi calon akan bertanding jawatan timbalan. Mereka ialah setiausaha bahagian tersebut, Ramli Yunus dan ahli Umno biasa dari cawangan Kubang Buaya, Said Ali Said Rastam.

Menurut sumber, ketiga-tiga mereka telah melepasi kelayakan untuk bertanding iaitu 23 pencalonan.

Jawatan naib ketua pula bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Calon-calonnya terdiri daripada ahli biasa dari cawangan Taman Shahab, Ikmal Sobat, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Pinang yang juga ahli jawatankuasa bahagian, Che Omar Saad dan bendahari bahagian itu, Mohamad Othman.

Lepasi had kelayakan

Ketiga-tiga calon, kata sumber itu, layak untuk bertanding setelah melepasi had kelayakan sebanyak 15 pencalonan dari cawangan.

Menurutnya, kesemua 154 cawangan di bahagian tersebut telah mengadakan mesyuarat mereka yang berakhir Sabtu lalu.

othmanManakala di Pendang pula, bekas ketua bahagian selama 22 tahun, Datuk Othman Abdul akan mencabar penyandangnya Datuk Md Rozai Shafian.

Menurut sumber, terdapat 188 cawangan di Pendang dan hanya lapan cawangan sahaja yang belum bermesyuarat.

Sumber menganggarkan Rozai mendapat 70 pencalonan manakala Datuk Othman Abdul mendapat 110 pencalonan.

Pertandingan tiga penjuru

Jawatan timbalan ketua bahagian pula bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Mereka terdiri daripada penyandangnya, Shamsuddin Tahir yang mendapat kira-kira 90 pencalonan; setiausaha Umno bahagian, Basiron Said (55 pencalonan) dan bekas ketua Pemuda bahagian, Najmuddin Darus yang mendapat 35 pencalonan.

Menurut sumber, ketiga-tiga calon layak untuk bertanding jawatan tersebut setelah melepasi syarat kelayakan minimum 20 pencalonan.

Pertandingan naib ketua bahagian pula akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandangnya Abdullah Bahari dan Nor Azam Mohamad.

Menurut sumber itu lagi, terdapat "persaingan rapat" dan "sengit" dalam merebut jawatan ketua wanita bahagian tersebut.

Penyandangnya, Datuk Fatimah Ismail akan dicabar oleh ketua Puterinya, Suraya Yaacob yang juga Adun Sungai Tiang.

Sementara itu tiga orang dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua pemuda bahagian. Mereka ialah pemangku ketuanya, Akrom Hamid; bekas setiausaha pemuda bahagian itu, Ramli Abu Bakar, yang merupakan calon 'pilihan', dan ketua cawangan Umno Bendang Raja, Wan Addas Wan Hamid.

Sumber itu berkata, Wan Addas dilihat sebagai calon membawa imej agama untuk memegang jawatan tersebut.

Bagi jawatan ketua puteri pula, Amal Izzah Shamsuddin berjaya mendapat 37 pencalonan berbanding pencabarnya, Sharbana Mat Noh yang mendapat 10 pencalonan.

Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, kedua-dua calon layak untuk bertading bagi jawatan tersebut.

Di Jerai pula penyandang ketua bahagian dan timbalannya tidak mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan bahagian Oktober ini.

badaruddin amiruldinDatuk Badaruddin Amiruldin (foto)dan Datuk Abd Razak Hashim memberi laluan kepada muka baru untuk memimpin Umno bahagian tersebut.

Ketua wanita

Ekoran itu, naib ketua bahagian, Dr Ku Rahman Ku Ismail akan bertanding jawatan ketua bahagian. Beliau akan berhadapan dengan ahli jawatankuasa bahagian, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Menurut setiausaha bahagian, Hassan Darus, kedua-dua calon tersebut mencapat jumlah hampir sama, masing-masing lebih 60 pencalonan.

Bahagian itu mempunyai 148 cawangan dan hanya tinggal empat bahagian lagi yang masih belum bermesyuarat.

Bagi jawatan timbalan ketua pula, Ku Abdul Razak Ku Ismail yang kini merupakan ketua penerangan, akan dicabar oleh bekas ahli jawatankuasa bahagian, Mohd Fadzillah Ali.

Ku Abdul Razak mendapat lebih 60 pencalonan, manakala Mohd Fadzillah mendapat lebih 43 pencalonan.

Menurut Hassan lagi, dua lagi ahli jawatankuasa bahagian turut dicalonkan - Bahador Omar dan Mat Zin Saidin - tetapi mereka tidak mendapat pencalonan yang cukup (23) untuk layak bertanding jawatan tersebut.

Bagi jawatan ketua wanita pula, penyandangnya, Khalijah Arshad akan dicabar oleh ahli jawatankuasa pergerakan itu, Rohani Ismail.

Menurut Hassan, Khalijah mendapat lebih 90 pencalonan manakala Rohani mendapat 30 pencalonan.

Bagi jawatan ketua Pemuda, penyandangnya, Basori Hassan tidak menghadapi jalan sukar apabila menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Mohamed Nor Abu Hassan menarik diri.

Menurut Hassan, begitu juga bagi jawatan ketua puteri di mana Hasfizatulnisah Md Isa turut mengekalkan jawatannya.

Bahagian Sungai Petani


Di Sungai Petani pula, jawatan ketua bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara ketua Umno Cawangan Pekan Tikam Batu, Datuk Azizan Abdul Rahman dengan Ali Yahya, iaitu bekas setiausaha politik bekas menteri besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid

mahadzir mohd khirJawatan itu kosong ekoran keputusan Datuk Mahadzir Mohd Khir (foto) yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Menurut ahli jawatankuasa bahagian tersebut, Jamaluddin Mahmood, Azizan mendapat lebih 48 pencalonan, manakala Ali mendapat lebih 53 pencalonan.

Bagaimanapun, katanya, seorang lagi calon iaitu ketua cawangan Umno Jalan Petri, Mejar (B) Rahim Saad, tidak mendapat cukup pencalonan.

Jawatan timbalan ketua bahagian pula akan menyaksi pertandingan dua penjuru antara naib ketuanya, Sobri Mahmood yang mendapat lebih 60 pencalonan dengan, pencabarnya yang dikenali 'Datuk Fauzi' yang mendapat lebih 50 pencalonan.

Jawatan naib ketua bahagian pula bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru. Kesemua calonnya adalah terdiri daripada ahli jawatankuasa bahagaian.

Mereka ialah Idrus Ismail, Datuk Firdaus Mohd Zakaria, Yusof Lazim dan dan Jaafar Mat Ali.

Menurut Jamaluddin, hanya enam daripada 130 cawangan di bahagian itu yang belum tersebut bermesyuarat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...