Thursday, July 10, 2008

Bala mahu anak saudaranya henti berkempen

Petikan: Malaysia Kini

Jul 10, 08 5:22pm
Penyiasat persendirian P Balasubramaniam mahu dihentikan kempen yang dijalankan oleh anak saudaranya, R Kumerasan, untuk membawanya pulang dengan selamat.

Bala memberitahu Kumaresan bahawa ia boleh membahayakan dirinya (Bala) dan keluarganya.

Kumaresan memberitahu pemberita hari ini bahawa mesej tersebut telah disampaikan kepadanya melalui telefon awal pagi ini dan beliau akan mematuhi permintaan bapa saudaranya.

"Ia satu perbualan (telefon) yang panjang," kata Kumaresan, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perbualan mereka.

Kumaresan juga enggan mengesahkan sama ada Balasubramaniam benar-benar berada di luar negara seperti yang didakwa oleh pihak polis.

"Saya tidak boleh mendedahkan apa-apa," kata Kumaresan yang dikatakan cukup rapat dengan Balasubramaniam dan keluarganya.

Harga petrol di Singapura turun RM9 sen seliter

10-07-2008 12:53:01 PM

SYARIKAT minyak di Singapura mengurangkan harga petrol sebanyak S$0.04 sen (RM0.09 sen) seliter untuk menggambarkan situasi pasaran semasa.

Syarikat Petroleum Singapura Limited (SPC) mengumumkan semalam bahawa harga untuk tiga gred minyak yang dijual di stesen minyak negara itu mula diturunkan pada pukul 3 petang.

Beberapa syarikat minyak yang lain iaitu Shell, Exxon-Mobile dan Caltex mula mengurangkan harga jualan minyak sejak pagi semalam.

Harga petrol baru tanpa diskaun di stesen minyak kini adalah S$2.32 (RM5.53) seliter untuk gred 98-oktana, S$2.246 (RM5.356) seliter untuk gred 95-oktana tanpa plumbum dan S$2.213 (RM5.276) satu liter untuk gred 92-oktana tanpa plumbum.

Diesel yang kini dijual pada S$2.033 (RM4.77) seliter tidak terjejas dengan perubahan itu.

Pada Sabtu lalu, keempat-empat syarikat minyak di negara itu menaikkan harga petrol sebanyak S$0.05 sen (RM0.12 sen) seliter.

Harga minyak dunia jatuh lebih AS$5 (RM16.22) kepada AS$136 (RM441.27) setong kelmarin selepas kelembapan ekonomi dunia dilaporkan memberi kesan terhadap permintaan. BERNAMA

Sah, Pak Lah serah Najib kepimpinan pertengahan 2010

Dipetik: mStar Online

10-07-2008 06:52:51 PM

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beliau akan menyerahkan tampuk kepimpinan negara dan parti kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pertengahan 2010.

Perkara ini diumumkan pada majlis Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Malah, Abdullah juga mengulangi bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada Disember ini dan mahu Najib kekal sebagai timbalannya.

Majlis Tertinggi (MT) Umno telah selesai mengadakan mesyuaratnya sebentar tadi dan kini berlangsung Taklimat Presiden di Dewan Merdeka.

Taklimat diberikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut mempengerusikan mesyuarat MT lebih dua jam.

BERITA TERDAHULU

Majlis Tertinggi (MT) Umno telah selesai mengadakan mesyuaratnya sebentar tadi dan kini berlangsung Taklimat Presiden di Dewan Merdeka.

Taklimat diberikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut mempengerusikan mesyuarat MT lebih dua jam.

Sesi Taklimat Presiden juga akan berlangsung kira-kira dua jam, yang antara lain beliau dijangka menyentuh soal peralihan kuasa.

Difahamkan beliau akan mengumumkan tarikh peralihan kuasa yang dijangka berkuat kuasa 2010.

BERITA TERDAHULU:

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Ketika tinggal kurang seminggu cawangan-cawangan mula bermesyuarat agung tahunan, Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat mulai pukul 3.15 petang ini djangka membincangkan usul Presiden dan Timbalan Presiden dipilih tanpa tandingan.

MT telah juga akan membincangkan dengan lebih mendalam tentang peralihan kepimpinan parti.

Keputusan penting ini dijangka diumumkan pada petang ini - ketika Taklimat Presiden yang akan menyusul mesyuarat MT.

Difahamkan, walaupun anggota MT tidak menerima agenda khusus mesyuarat petang ini tetapi usul sedemikian akan dibawa dalam pertemuan hari ini.

Presiden dan Timbalan Presiden Umno semasa iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah dipilih tanpa cabaran empat tahun lalu.

Usul ini juga dipercayai untuk memastikan proses peralihan kuasa yang lancar selepas prestasi kurang memberangsangkan Umno dalam pilihan raya umum lalu.

"Difahamkan sudah ada usaha untuk membawa usul itu hari ini. Sejauh mana ia akan berjaya belum dapat dipastikan," kata sumber itu kepada mStar Online.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman ketika dihubungi memberitahu, jika berpeluang beliau akan membangkitkan pandangan sedemikian dalam majlis Taklimat Presiden petang ini.

Ia penting untuk memperkukuh dan memantapkan Umno menjelang pilihan raya umum akan datang, katanya.

Sumber itu juga memberitahu jika usul itu dibawa, akan menyaksikan perbahasan yang mendalam memandangkan ada pihak yang mahu pertandingan diteruskan bagi menunjukkan amalan demokrasi dalam parti masih subur.

MT Umno mengadakan pertemuan petang ini, yang kedua selepas menganjurkan program retreat lebih sebulan yang lalu.

Mesyuarat hari ini juga penting memandangkan mesyuarat agung tahunan peringkat cawangan akan bermula Selasa depan. Mesyuarat cawangan disusuli dengan persidangan bahagian Oktober ini dan pemilihan pusat Disember ini.

Minggu lalu Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang telah menyatakan pendirian untuk mencalonkan Abdullah dan Najib masing-masing mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh Badan Perhubungan Selangor dan Melaka. Perlis juga mempunyai pendirian yang sama.

Pemilihan kali ini juga dikatakan penting selepas timbul pandangan supaya Abdullah melepaskan jawatannya ekoran prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Abdullah dipilih sebagai Presiden pada tahun 2004 selepas mengambil alih kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad Oktober 2003.

Najib pula dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Umno pernah menggunakan formula Presiden dan Timbalan Presiden dipilih tanpa bertanding.

Dalam pada itu, Abdullah dijadual menyampaikan taklimat khas kepada kesemua 191 ketua UMNO bahagian parti selepas mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ia bertujuan menjelaskan perkembangan dan senario politik tempatan dengan tumpuan menjurus kepada proses peralihan kuasa.

Pakatan Rakyat kemuka usul undi tidak percaya

Oleh Intan Abdullah & Nyza Ayob
Thu | Jul 10, 08 | 4:56:15 pm MYT Dipetik drp HarakahDailyNet

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Pakatan Rakyat telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi serta jemaah menterinya.

Menurut Ketua Pembangkang Parlimen ke-12, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ia adalah ekoran kegagalan dan kelemahan Abdullah serta kabinetnya dalam menjalankan urus tadbir negara selain terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.

"Kemenangan tipis BN telah dicapai dalam pilihan raya umum lalu melalui manipulasi SPR dan pembohongan yang tidak bermaruah," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini selepas diiringi wakil parti-parti komponen Pakatan Rakyat lain setelah menghantar surat kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat bagi mengemukakan usul tersebut.

Malah tambahnya, harga minyak telah dinaikkan secara mengejut selepas pilihan raya umum meskipun Timbalan Perdana Menteri telah berjanji tidak akan menaikkannya semasa melancarkan manifesto BN.

"Negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat juga telah dianaktirikan bagi memperlihatkan sikap BN yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan federalisme.

"Ahli-ahli Parlimen BN yang bertindak menolak sikap pimpinan mereka yang tidak bertanggung jawab diugut dan dipaksa supaya tidak bersuara," katanya.

Oleh itu tegasnya, perkembangan ini mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap Abdullah dan kabinetnya.

Rakyat katanya, dilanda beberapa krisis besar seperti harga minyak yang terlalu membebankan sehingga menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan yang lain ditambah dengan terhakisnya kepercayaan terhadap institusi polis, peguam negara dan badan kehakiman.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berharap usul ini akan diterima pada hari Isnin nanti.

Manakala, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar pula menjelaskan bahawa usaha ini adalah merupakan tindakan yang dilakukan secara berterusan Pakatan Rakyat bagi memulihkan pentadbiran negara ini. - mns/mks. _

10.07.2008

Nappadon Letak Jawatan Sebagai Menteri Luar Thailand

10 Julai, 2008 18:55 PM

Oleh D. Arul Rajoo

BANGKOK, 10 Julai (Bernama) -- Noppadon Pattama hari ini mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Menteri Luar Thailand, hanya lima bulan selepas beliau menjawat jawatan itu, selepas menghadapi tekanan berhubung isu penyenaraian Kuil Preah Vihear Kemboja sebagai Tapak Warisan Unesco.

"Perletakkan jawatan saya berkuatkuasa Isnin ini," kata bekas Penasihat Undang-undang yang juga bekas jurucakap mantan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang berumur 47 tahun itu, dan menambah bahawa beliau tidak tahan lagi dengan tekanan-tekanan yang diterimanya.

"Tiada kesalahan yang kami lakukan mengenai penyenaraian itu, kami patuhi semua peraturan, tapi tekanan yang saya terima terlampau besar," katanya, sekaligus menyaksikan Thailand bakal memperolehi Menteri Luar yang ke-empat dalam tempoh tiga tahun, dalam tempoh masa yang agak kritikal, iaitu semasa Thailand akan mengambil alih jawatan pengerusi Asean hujung bulan ini.

Bercakap kepada pemberita pada persidangan akhbar di pejabat kementerian itu Noppadon berkata perletakkan jawatan itu bertujuan memastikan keamanan dan kestabilan politik Thailand terpelihara, memandagkan ada sesetengah pihak yang mempolitikkan isu penyenaraian kuil itu.

"Tapi saya bangga apabila kami dapat membina hubungan lebih kukuh dengan negara-negara jiran Asean, dan sahabat akrab seperti Jepun dan Eropah. Thailand juga menerajui usaha memberikan bantuan kepada mangsa Taufan Nargis di Myanmar," kata Noppadon, yang pada mulanya dijadualkan melawat Malaysia bulan depan dan kemudiannya menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean di Singapura.

Parti Demokrat sudah menfail usul tidak percaya terhadap Noppadon berhubung kontroversi kuil itu.

Sebaik sahaja menjawat jawatan sebagai Menteri Luar kira-kira lima bulan lepas, Noppadon terus mencetuskan kontroversi apabila beliau mengembalikan pasport diplomatik kepada Thaksin, yang dibatalkan oleh kerajaan tentera sebelum ini.

Beliau mula menerima kecaman hebat daripada ahli politik dan pertubuhan anti kerajaan People's Alliance for Democracy, selepas beliau menandatangani pernyataan dengan Kemboja, bersetuju dengan permohonan negara itu kepada Unesco supaya kuil berusia 10 abad itu diisytiharkan sebagai tapak Warisan Sejarah Dunia.

Pada tahun 1962, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengumumkan bahawa kuil itu milik Kemboja, namun ia hanya boleh dikunjungi menerusi akses dari Thailand ekoran kedudukannya di kawasan yang bergunung-ganang.

Namun selepas mahkamah Thailand minggu lepas menetapkan bahawa tindakan menandatangani pernyataan itu sebagai tidak mematuhi perlembagaan, Nappadon terus berlepas ke Kanada dan cuba membantah penyenaraian itu, namun keputusan Unesco tetap berpihak kepada permohonan Kemboja.

Ia adalah tamparan hebat kedua dalam tempoh dua hari bagi kabinet Perdana Menteri Samak Sundaravej, yang nampak goyah ekoran spekulasi bahawa parlimen mungkin akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya ketiga dalam tempoh tiga tahun.

Mahkamah perlembagaan Rabu lepas membatalkan perlantikan Chaiya Sasomsap sebagai Menteri Kesihatan Awam eoran kegagalanya mengisytiharkan aset isterinya dalam tempoh masa yang ditetapkan selepas menjadi menteri.

Bulan lepas seorang lagi penyokong Thaksin, Jakrapob Penkair yang merupakan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, meletak jawatan apabila dituduh mengkhianati raja.

Tidak sampai tujuh bulan selepas pilihan raya umum anjuran tentera yang menumbangkan kerajaan Thaksin berlangsung, politik Thailand kembali bergolak dengen kemungkinan parti pemerintah People Power Party (PPP) berhadapan dengan kemungkinan dibubarkan ekoran pembatalan kemenangan timbalan pemimpin parti itu yang juga bekas Speaker Dewan Perwakilan Yongyuth Tiyapairat.

Selasa lepas, mahkamah mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, membatalkan kemenangan Yongyuth pada pilihan raya ekoran dakwaan penipuan yang dilakukan pada bulan Disember tahun lepas, yang menyaksikan kemenangan PPP, parti yang merupakan lanjutan penguasaan Thai Rak Thai (TRT) dalam pentadbiran Thailand. TRT dibubarkan oleh Mahkamah pada 2007 atas tuduhan penipuan pilihan raya.

Berdasarkan undang-undang Thailand, sesebuah parti boleh dibubarkan sekiranya pemimpinnya didapati melakukan penipuan pilihan raya.

Thaksin yang menubuhkan TRT, diharamkan daripada membabitkan diri dalam politik selama lima tahun, bersama-sama dengan 110 anggota eksekutif parti itu. Beliau sedang menghadapi dakwaan di mahkamah terhadap beberapa tuduhan salah guna kuasa dan rasuah, yang bangkitkan oleh kerajaan tentera sebelum ini.

-- BERNAMA

Balasubramaniam Dakwa Keselamatan Dirinya Dan Keluarga Terancam

10 Julai, 2008 16:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Penyiasat persendirian P.Balasubramaniam melarikan diri bersama keluarganya ke luar negara kerana bimbang keselamatan mereka terancam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Tanpa mendedahkan lokasi negara itu, Syed Hamid berkata Balasubramaniam mendakwa keselamatan diri dan keluarganya terancam selepas terbabit dalam kontroversi Akuan Bersumpah kes pembunuhan rakyat Mongolia Altantuya Shaaribu.

"Kenyataan ini dibuat ketika pihak polis mengambil kenyataannya di luar negara. Dia bagi tahu kita, dia ke luar negara kerana terlampau banyak publisiti dibuat tentang dirinya...dia takut keselamatannya dan keluarga terancam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan simposium mengenai Sains Forensik dan Undang-undang jenayah di sini hari ini.

Sambil menolak andaian bahawa Subramaniam berada dalam tahanan polis, Syed Hamid berkata kenyataan yang diambil daripadanya ialah sebagai saksi berhubung akuan bersumpah yang dibuatnya.

"Dia bebas ke mana sahaja kerana dia bukan di bawah tahanan polis cuma kenyataan dia sahaja yang kita ambil," katanya.

Selasa lepas, Balasubramaniam membuat akuan bersumpah itu tetapi beliau menarik balik tuduhan itu dalam akuan bersumpah baru Jumaat lepas.

Ditanya mengenai siasatan kes bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa diliwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu, Syed Hamid berkata pihak polis akan menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Kita dalam proses untuk menyiapkan kertas siasatan. Kita serahkan kepada Peguam Negara untuk memutuskan tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA

Ketua AMK Dipanggil Beri Keterangan Berhubung Laporan Akuan Bersumpah Balasubramaniam

10 Julai, 2008 15:13 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung laporan yang dibuatnya di sini pada 4 Julai lepas.

Shamsul Iskandar yang ditemani Naib Ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Ketua AMK Kuala Lumpur Md Zaman Md Tasi serta beberapa exco, tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman pada pukul 11 pagi.

Beliau dipanggil memberi keterangan berhubung satu laporan yang dibuatnya di Balai Polis Dang Wangi yang menyebut bahawa beliau percaya wujud unsur paksaan oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam menarik balik Akuan Bersumpah pertamanya dan membuat akuan bersumpah keduanya berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Shamsul Iskandar berkata beliau dimaklumkan polis bahawa siasatan terhadap laporan yang dibuatnya itu akan dimulakan justeru keterangan beliau diperlukan bagi membantu siasatan.

"Kini sudah ada dua akuan yang dibuat P.Balasubramaniam. Apabila sudah ada dua akuan, ia menjadi lebih penting untuk kita tahu mana satu yang benar, sama ada yang pertama atau yang kedua," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pintu masuk JSJK di sini hari ini.

"Sesudah diambil keterangan saya nanti, saya minta agar keterangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula diambil. Ini perkara serius, ini bukan tuduhan biasa. Ini Akuan Bersumpah, siasatan segera dan menyeluruh harus dijalankan.

Ketika Balasubramaniam membuat akuan bersampah keduanya, penyiasat persendirian itu menjelaskan bahawa akuan bersumpah pertamanya adalah tidak tepat dan tidak benar serta dibuat dalam keadaan tertekan.

-- BERNAMA

RTM Berhak Tentukan Tetamu Untuk Siarannya, Kata Shabery

10 Julai, 2008 14:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhak menentukan siapakah tetamu yang perlu dijemput untuk program siaran langsung atau rakaman yang disiarkan stesen itu, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata RTM mengamalkan dasar keterbukaan dalam memberikan liputan kepada semua menteri besar dan ketua menteri berdasarkan nilai berita sama ada untuk disiarkan melalui berita atau program bercorak bicarawara.

"Saya sendiri sebagai Menteri Penerangan pun tidak pernah dipanggil untuk temuramah secara langsung sehingga sekarang. Ertinya saya serah kepada RTM apakah yang difikirkan sesuai," katanya menjawab soalan Ahmad Kassim (PKR-Kuala Kedah) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Kassim meminta Ahmad Shabery menjelaskan adakah RTM akan memberi peluang kepada menteri besar dan ketua menteri dari negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat untuk diwawancara bagi menjelaskan dasar kepimpinan negeri masing-masing kepada rakyat.

Ahmad Shabery berkata beliau percaya atas prinsip yang sama, RTM bersedia mengundang pihak yang difikirkan sesuai untuk sesuatu rancangan termasuk daripada kalangan pemimpin parti pembangkang.

"Soal bila untuk diundang tidak timbul. Itu saya serahkan kepada RTM. Baru-baru ini dalam isu berkaitan (kenaikan haraga) minyak misalnya...Yang Berhormat dari Kubang Kerian (Salahuddin Ayub dari PAS) turut dijemput berdebat dengan menteri berkenaan.

"Bukan sahaja beliau dijemput, wartawan yang dijemput untuk bertanya pun dari Harakah (akhbar milik PAS). Tapi sejam sebelum itu (wartawan) Harakah tak datang, wakil pun tidak hantar. Jadi yang tak profesionalnya Harakah, bukan RTM," katanya.

Ketika ditanya sama ada RTM akan menyiarkan secara langsung debat kenaikan harga bahan api antara Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beliau pada 15 Julai ini, Ahmad Shabery berkata ia dianjurkan portal berita Agenda Daily, bukannya RTM.

Menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN- Jempol) mengenai sejauh mana kuasa Menteri Penerangan terhadap syarikat televisyen swasta yang dilihat kurang memberi liputan terhadap menteri besar dan ketua menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam berita jam 8 malam, beliau berkata stesen radio dan televisyen swasta bukan di bawah kawalan Kementerian Penerangan.

Bagaimanapun, katanya stesen radio dan televisyen swasta perlu menggunakan kebijaksanaan mereka menerusi garis panduan yang ditetapkan dalam menentukan bentuk program yang disiarkan.

-- BERNAMA

Klip video Kekecohan Protes Minyak

Klip video Kekecohan Protes Minyak
Dari Malaysia Kini

Petugas PKR dituduh pukul penyanyi

Dari: Malaysia Kini

Masih belum berakhir kontroversi di perhimpunan membantah harga minyak hujung minggu lalu, kini petugas angkatan muda PKR pula didakwa memukul penyanyi kumpulan indie Carburetor Dung.

Angkatan muda, yang bertugas bagi pihak penganjur Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), turut didakwa menghalang petugas media yang cuba merakam insiden kekecohan tersebut.

journalist photographers cameraman impolitely treated by protes organizers at petrol price hike rally in kelana jaya 080708 03Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagaimanapun menafikan pemuda yang kelihatan cuba menumbuk Alak - penyanyi Mari nyanyi menjilat, lagu mengkritik budaya mengampu dan kebergantungan kepada korporat - sebagai anggota skuad petugas pergerakan itu.

"Angkatan Muda menafikan pihak yang memulakan kekecohan itu adalah ahli kita. Arahan kita kepada skuad jelas, pakai baju biru skuad AMK tanpa mengenakan jaket," kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada Malaysiakini hari ini.

"Jadi sesiapa yang memakai jaket, bukanlah anggota skuad AMK."

Hari ini, selain menyampaikan bantahannya kepada PKR berhubung gangguan sayap pemuda parti ini kelmarin, Persatuan Wartawan Foto Cina Malaysia (MCPA) mengeluarkan foto yang menunjukkan seorang lelaki bertopi merah dan berjaket gelap (foto atas) mengangkat tangan cuba menumbuk muka Alak.

Penyanyi itu semalam memberitahu Malaysiakini, beliau mengesyaki kekecohan tersebut pada awalnya angkara tindakan provokasi pihak yang tidak dikenali dan bukannya melibatkan penyokong pembangkang.

Mengulas tindakan awal tiga orang yang memulakan kekecohan di pentas stadium Kelana Jaya, Shamsul berkata:

"Kita percaya, (tindakan) ini dilakukan oleh ejen-ejen provokasi dan anasir-anasir luar yang cuma memburukkan nama AMK."

Menurutnya lagi, sehari sebelum program, skuad AMK telah diberikan taklimat bagaimana mengawal keadaan dan menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

"Arahan kita jelas, (jika berlaku kekecohan) lepaskan dan kosongkan mereka (yang menjadi sasaran) dari tempat itu.

journalist photographers cameraman impolitely treated by protes organizers at petrol price hike rally in kelana jaya 080708 02"Sebab itu sewaktu Alak diserang, skuad AMK membuat benteng manusia untuk melindunginya daripada dipukul sehingga ada ahli-ahli kita yang luka, koyak seluar dan lebam kena baling dengan topi keledar dan kayu.

"Mereka ini bekerja keras mengawal keadaan. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka," tambahnya.

Dalam notanya kepada penganjur, termasuk petugas PKR, presiden MCPA Vincent Thian berkata gambar-gambar itu "dengan jelas menunjukkan skuad AMK yang mula memukul penyanyi tersebut."

Dalam komunikasi emelnya kepada parti tersebut hari ini, persatuan itu juga mendakwa jurugambar dihalang daripada merakamkan peristiwa malang tersebut dan "diugut oleh skuad keselamatan."

"Apapun yang terjadi, pengawal keselamatan tidak patut menghalang kakitangan media daripada menjalankan tugas mereka dan menyerang mereka," katanya.

"Harap anda boleh memahaminya kerana MCPA tidak bercakap mewakili jurugambar akhbara-akhbar Cina semata-mata.

"Kami meluahkan keprihatinan ini bagi pihak semua jurugambar akhbar kerana kami satu-satunya badan berdaftar untuk kalangan jurugambar akhbar di Malaysia."

Dalam surat rasmi persatuan itu, MCPA turut menjelaskan batu yang dibaling hampir-hampir mengena seorang jurugambar, walaupun kebanyakan objek yang dilempar hanyalah botol-botol minuman.

Malaysiakini juga menghantar surat bantahan berhubung isu yang sama dengan menamakan wartawan-wartawan beberapa media lain seperti Reuters, TVPas, The Star, Suara Keadilan dan Channel News Asia yang turut mengalami gangguan petugas parti pembangkang tersebut.

Surat itu dikirim dengan tangan kepada penyelaras Protes dan juga bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli dan beberapa pemimpin PKR, termasuk presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ketua penerangan Tian Chua.

Mengulas dakwaan MCPA itu, Shamsul berkata perkara itu terjadi tanpa disengajakan.

"Dengan keadaan kelam-kabut ketika itu. Macam-macam boleh berlaku. Tidak dinafikan mereka (petugas) sebahagiannya panik.

"Kepada wartawan dan jurugambar yang terlibat, saya mohon maaf dan saya percaya perkara ini tidak akan berulang," katanya.

Dalam emel yang sama, MCPA juga mendakwa pengawal keselamatan PKR termasuk yang melindungi penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menghalang tugas pengamal media.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...