Thursday, June 19, 2008

BNBBC bincang tindakan SAPP minggu depan

19/06/2008 1:11pm

KUALA LUMPUR 19 Jun — Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) akan membincangkan pada satu mesyuarat khas minggu depan isu dua Ahli Parlimen Parti Maju Sabah yang dikatakan akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, BNBBC memandang serius tindakan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr. Chua Soon Bui itu kerana ia melibatkan kritikan terbuka terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“BNBBC berpandangan jika tindakan kedua-dua mereka ini tidak diambil tindakan segera, ia boleh menjejaskan kedudukan BN dan menggoyahkan lagi keyakinan rakyat terhadap BN,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tiong, yang enggan mengulas mengenai kemungkinan kedua-dua anggota Parlimen itu akan dikenakan tindakan disiplin, berkata ia bergantung kepada langkah selanjutnya yang diambil mereka.

“Menurut apa yang kita baca dalam akhbar hari ini bukan mereka yang akan buat usul itu, mereka sokong. Tapi kita tengok perkembangan selanjutnya,” kata beliau.

King Sing berkata, hasil mesyuarat BNBBC itu akan dibawa kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Ketua Whip untuk tindakan seterusnya.

Semalam, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan parti itu telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan dua anggota Parlimen parti itu akan menyokong usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Rakyat, yang bermula Isnin ini.

Sementara itu, pejabat Speaker Dewan Rakyat ketika dihubungi Bernama pagi ini memberitahu belum menerima sebarang usul berbentuk sedemikian.

“Biasanya usul dihantar melalui dua saluran iaitu secara terus ke pejabat Speaker ataupun menerusi Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat. Tetapi walaupun dihantar ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, usul itu akan dihantar ke pejabat Speaker juga,” kata jurucakap itu.

Menurut Peraturan Mesyuarat 18 (1), sesuatu usul perlu dihantar ke Pejabat Speaker 24 jam sebelum ia boleh dikemuka dalam persidangan dan sama ada usul itu boleh dibentang ataupun tidak, ia terpulang kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menggunakan tiga asas dalam membuat pertimbangan terhadap sesuatu usul tergempar iaitu ia membabitkan perkara yang tertentu, berkepentingan rakyat, dan harus disegerakan.

Beliau mempunyai kuasa menolak sesuatu usul jika ia didapati tidak mematuhi satu daripada tiga asas berkenaan.— BERNAMA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...