Thursday, June 19, 2008

Usul Undi Tak Percaya Tak Perlu Kerana Ia Bukan Urusan Kerajaan, Kata Ahmad Shabery

19 Jun, 2008 17:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Usul undi tidak percaya yang hendak diusahakan oleh Parti Maju Sabah (SAPP) terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada persidangan Parlimen Isnin ini tidak perlu dilakukan kerana ia bukannya melibatkan urusan kerajaan, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata urusan mengemukakan usul bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan mengikut peraturan dewan, sudah pasti parlimen akan mengutamakan usul yang dikemukakan oleh kerajaan.

"Jadi saya tak tahu atas perkara mana, peruntukan mana, orang hendak kemukakan undi tidak percaya kepada kerajaan yang ada," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Penerangan di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata beliau tidak percaya ada satu kaedah yang membolehkan seseorang wakil rakyat itu bangun dan mengemukakan usul undi tidak percaya kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

"Kalau tidak setuju, kena tunggu pilihan raya lagi lima tahun. Jika usul boleh dikemukakan sewenang-wenangnya, sudah tentu sesiapa (parti) pun yang jadi kerajaan, tidak dapat melaksanakan tugasnya kerana setiap hari ada orang akan kemukakan usul," katanya.

Beliau berkata tindakan SAPP yang bersifat mengugut itu bertentangan dengan prinsip Barisan Nasional.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery berkata tindakan SAPP tidak akan menjejaskan BN dan percaya ia tidak akan berlaku pada komponen lain.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...