PUTRAJAYA 18 Jun – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau tidak akan melayan sebarang spekulasi atau laporan akhbar berhubung pembawaan sesuatu usul selagi ia belum dibangkitkan pada sidang Dewan Rakyat.
Tegasnya, meskipun ada kenyataan dikeluarkan oleh dua Ahli Parlimen dari Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini bahawa mereka akan menyokong usul undi tidak percaya kepada kepemimpinan Perdana Menteri pada sidang itu nanti, namun sebarang usul perlu melalui Peraturan Mesyuarat dan dibenarkan oleh Speaker.
‘‘Itu (sama ada usul tersebut diterima) terpulang kepada Speaker... iaitu sayalah.
‘‘Tapi setakat ini notis belum lagi diterima dan kadang-kala merujuk kepada kenyataan akhbar semata-mata, itu belum terjadi sehinggalah kita melaluinya pada Isnin nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kota Kinabalu hari ini.
Ditanya sama ada usul tidak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri itu merupakan kali pertama berlaku dalam sejarah politik negara, Pandikar Amin berkata:
‘‘Mana boleh anda (pemberita) kata demikian...notis pun belum keluar lagi...tapi sebagai Speaker Dewan Rakyat sudah tentu saya bersedia menghadapinya, ini tanggungjawab saya sebab apa-apa usul terpulang kepada Speaker untuk membenarkannya.”
Beliau mengulas kenyataan Teck Lee di Kota Kinabalu hari ini yang mengisytiharkan bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Teck Lee mendakwa dua anggota Parlimen parti itu (Sepanggar dan Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat Isnin ini.
Teck Lee, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata anggota Parlimen kawasan Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun, yang kini berada di luar negara bagi tugasan rasmi, telah menyatakan pendiriannya dalam kenyataan akhbar yang ditandatangani.
utusan online
No comments:
Post a Comment