Monday, June 23, 2008

Guna jengkaut kebas mesin ATM

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Abdullah Wahab
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sukar dipercayai apabila seorang perompak memperoleh idea luar biasa dengan menggunakan jengkaut untuk menyodok sebelum menarik keluar mesin juruwang automatik (ATM) dalam sebuah stesen minyak di ibu negara.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, suspek yang bertindak secara solo dikatakan merempuh cermin hadapan stesen minyak di Batu 6 1/2, Jalan Puchong, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata suspek sebelum itu dilihat memandu jentera berat yang sering digunakan di tapak pembinaan, memasuki kawasan stesen minyak terbabit.

Suspek yang pada mulanya disangkakan masuk ke kawasan stesen minyak untuk mengisi diesel pada jentera berat itu, bagaimanapun tiba-tiba merempuh cermin kaca hadapan stesen minyak berkenaan.

“Rempuhan kuat terbabit dipercayai menggunakan penyodok besi di bahagian hadapan jengkaut menyebabkan cermin hadapan stesen minyak itu berderai.

“Tambah mengejutkan apabila jengkaut itu dipercayai turut digunakan untuk menarik keluar mesin ATM yang terletak dalam stesen minyak terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian ada seorang pekerja sedang bertugas di stesen minyak berkenaan.

“Bagaimanapun pekerja seorang warga tempatan, dikatakan terkejut dan ketakutan sebelum lari bersembunyi dalam bilik di stesen minyak berkenaan.

“Pekerja terbabit dikatakan mengurungkan diri hampir 10 minit dalam bilik berkenaan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, pekerja itu hanya berani keluar dari bilik berkenaan selepas pihak polis tiba di lokasi kejadian untuk menyiasat rompakan terbabit.

“Namun polis sukar untuk mendapatkan gambaran terperinci berhubung kejadian rompakan ini berikutan pekerja terbabit yang juga saksi utama tidak melihat kejadian jenayah yang dilakukan, malah dia juga tidak tahu ke mana pemandu jentolak itu melarikan diri.

“Selain itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam stesen minyak itu hanya menghalakan lensa ke arah kaunter pembayaran sahaja. Ini menyebabkan wajah dan kejadian rompakan terbabit sukar dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung jumlah kerugian yang hanya akan diketahui selepas pihak bank yang memiliki mesin ATM terbabit membuat penilaian berhubung jumlah wang dilarikan.

“Setakat ini polis masih mengesan mesin ATM yang dilarikan penjenayah menggunakan jengkaut terbabit,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes rompakan itu diminta menghubungi talian Rakan Cop di talian 03-2115 9999.

Kes rompakan membabitkan mesin ATM terbabit ialah kali kedua berlaku dalam tempoh tiga hari selepas sebuah mesin ATM di Wisma UniKeb, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menjadi sasaran rompakan awal pagi Khamis lalu.



harian metro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...