Monday, June 23, 2008

Yang terbaik akan menang - Khairy

23/06/2008 4:56pm

KUALA LUMPUR 23 Jun - "Saya pasti yang terbaik akan menang," demikian komen Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Azman Mohd. Sah, 37, yang mahu mencabar beliau pada pemilihan parti Disember ini.

Azman akan mencabar Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau.

Khary berkata, keputusan Azman yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut menunjukkan parti UMNO mengamalkan demokrasi.

"Saya tak takut dicabar...ini politik dan dalam UMNO kita amalkan demokrasi. Kita tengoklah dalam pemilihan nanti siapa menang siapa kalah," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu diminta mengulas mengenai keputusan Azman yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Seliau, Rantau, Negeri Sembilan untuk mencabar Khairy yang kini menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau.

Azman dalam laporan akhbar semalam berkata, keputusannya itu diambil atas hasrat ingin membawa angin perubahan dan memupuk perpaduan yang telah lama ditunggu oleh ahli-ahli pergerakan Pemuda UMNO bahagian.

Katanya, beliau juga optimis akan menerima sekurang-kurangnya 28 pencalonan bagi melayakkan diri bertanding menentang Khairy.

Mengenai dakwaan Azman bahawa sebahagian besar ahli Pemuda UMNO bahagian itu berpandangan kepimpinan sedia ada dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja serta gagal membawa perubahan yang diharapkan, Khairy berkata:"Itu pendapat dia, ada ramai lagi yang tidak sependapat dengan dia." - Utusan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...