Friday, June 13, 2008

Hubungan suami isteri hanya sekali - Isteri Beego

KUALA LUMPUR 12 Jun - Isteri pelakon dan penyanyi Beego memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini bahawa beliau hanya mengadakan sekali hubungan seks dengan suaminya sepanjang 20 hari tempoh perkahwinan mereka.

Ketika disoal balas oleh peguam syarie mewakili Beego, Md. Nor Md. Din sama ada pelakon itu mendesaknya untuk mengadakan hubungan itu, Intan Shahira Mohd. Shahru, 27, berkata, suaminya mengejutkannya yang ketika itu sedang tidur.

Md. Nor bertanyakan soalan tersebut setelah Intan Shahira tidak memahami soalan asal peguam itu yang bertanyakan sama ada Beego ada menganiayanya secara serius atau sebaliknya sepanjang tempoh perkahwinan itu.

Intan Shahira sebelum itu menyatakan, usia perkahwinan mereka ialah selama 20 hari iaitu mulai hari pernikahan pada 28 Disember tahun lalu sehingga Beego meninggalkan rumah.

Intan Shahira juga menyatakan, beliau tahu defendan tidak mendirikan solat dan tidak berpuasa sebelum mereka menjadi suami isteri memandangkan pernikahan mereka dilangsungkan selepas bulan Ramadan tahun lalu.

Intan Shahira berkata demikian pada perbicaraan kes tuntutan fasakh (cerai) yang dikemukakan olehnya terhadap Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 28, di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zain.

Intan Shahira seterusnya menafikan tindakannya mengambil suntikan mencegah hamil sehingga menyebabkan sakit perut selama empat bulan dan mengalami haid yang tidak teratur sebagai alasan untuk tidak mengadakan hubungan suami isteri dengan Beego.

Dalam perbicaraan yang bermula kira-kira pukul 6 petang itu, Intan Shahira selaku saksi pertama plaintif berkata, beliau sehingga kini tidak redha dengan perkahwinan tersebut.

Menurutnya, perasaan benci dan marah memang ada dalam dirinya ekoran daripada panas baran Beego dan sikap biadap suaminya terhadap ibu bapanya.

''Saya rasa setiap manusia boleh rasa marah dan benci walaupun mempunyai hati yang baik,'' katanya.

Ketika pemeriksaan semula oleh peguam syarie, Marlina Amir Hamzah, Intan Shahira berkata, selepas Beego pulang dari Singapura, beliau telah meminta suaminya menjauhkan diri daripadanya untuk membolehkannya menenangkan fikiran.

Beliau bagaimanapun menafikan bahwa tindakannya itu bermaksud beliau mahu Beego keluar dari rumahnya.

Perbicaraan bersambung esok.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...