Friday, June 13, 2008

Keluar Umno, saya nampak gagal tapi kesannya? - Mahathir

KUALA LUMPUR: Selepas tiga minggu keluar Umno, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau “nampak gagal” dalam perjuangannya yang terbaru, tetapi tindakan ke atas beliau oleh kepimpinan parti akan membawa kesan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“Saya nampak gagal tapi saya percaya kesannya dalam pilihan raya akan datang kerana tindakan parti terhadap saya, ramai pengundi akan tolak BN,” kata beliau dalam temu bual bersama mStar Online di pejabatnya di Menara Berkembar Petronas di sini.

Ditanya mengenai peluang beliau berjaya dalam ‘perjuangan’ melawan kepimpinan parti kali ini, Dr. Mahathir berkata: “Mungkin tiada peluang, tapi tak apa.”

“Saya dapat menunjukkan saya menentang. Kalau orang hendak kata saya salah, OK.”

Bekas Presiden Umno itu keluar parti pada 19 Mei lalu. Isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang turut keluar Umno berada di pejabat Dr. Mahathir ketika sesi temu bual dengan mStar Online.

Kedua-dua mereka memegang nombor keahlian Umno 0000001 dan 0000002.

Sama ada yakin atau tidak akan mencapai kejayaan dalam usaha untuk mengubah kepimpinan Umno, kata Dr. Mahathir, apa yang penting ialah beliau menyuarakan pandangannya apabila tidak setuju dengan kepimpinan parti.

Dr. Mahathir, yang lantang bersuara dalam banyak perkara dan berhadapan dengan pelbagai isu sepanjang kepimpinan 22 tahun sebagai Perdana Menteri pernah dianggap sebagai pemimpin yang makin berpengaruh dan mantap apabila berhadapan isu-isu yang mencabar.

Menjawab soalan itu, beliau hanya berkata, “saya tidak tahu, kamu tengok sahajalah.”

Dr. Mahathir juga mengakui beliau seolah-olah kelihatan seorang diri cuba membawa perubahan dalam Umno sejak keluar parti 19 Mei lalu.

Selain Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah, yang turut keluar secara terbuka ialah anak mereka, Datuk Mokhzani dan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

“Ya, nampak saya seorang diri, tapi ramai yang sokong, mereka tak ambil tindakan, tak berani ambil tindakan,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini tiada pihak yang datang menemui untuk meminta beliau mengubah pendirian dalam soal tersebut.

“Saya duri dalam daging, sekarang sudah dikeluarkan, tak akan nak masuk balik,” kata Dr. Mahathir dan menambah, beliau tidak akan kembali sama sekali ke Umno selagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Majlis Tertinggi Umno meskipun menerima keputusan keluar parti tetapi bersedia untuk menerima beliau jika Dr. Mahathir berhasrat untuk kembali semula.

“Dulupun, saya balik ke Umno apabila Tunku (Abdul Rahman Putra Al-Haj) sudah tarik diri (berundur). Inipun saya kata kalau Abdullah tarik diri, keluar daripada parti atau letak jawatan, saya masuk parti.

“Bagi saya, saya tiada pilihan, selagi ada Pak Lah, saya tak (akan) kembali,” katanya.

Selepas tiga minggu keluar Umno, Dr. Mahathir berkata, keadaan tidak banyak berbeza.

“Tiada beza, bila saya ada dalam Umno selepas saya letak jawatan (tahun 2003), saya terus berada dalam Umno.

“Layanan kepada saya seolah-olah saya daripada parti lawan, saya disekat tidak boleh bercakap, tak boleh bertemu dengan orang Umno, menteri tak boleh jumpa saya, saya tak boleh jumpa menteri, kalau saya ada syarahan, ahli Umno tidak boleh hadir, ketua bahagian tidak boleh hadir.

“Jadi sekarang ini saya bukan ahli Umno, (keadaan) sama saja. Keadaan itu tidak berbeza,” katanya.

Dr. Mahathir memberitahu, beliau memang bebas pada masa lalu tetapi orang tidak berani menemui dan masih tidak berani berbuat demikian.

“Sekarang ini pun tak berani datang jumpa, dia (mereka) takut. Hari ini (Selasa lalu) saya bercakap di Bankers Club. Walaupun ada ahli Umno jadi anggota Bankers Club, tetapi tidak hadir,” katanya.

Ekoran itu, tambah beliau, jika situasi tersebut berterusan ramai akan tetap merasa kecewa dengan Umno dan akan menyokong parti lawan sehingga bakal membawa kepada kekalahan BN dalam pilihan raya akan datang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...