Friday, June 13, 2008

Tesco jamin tidak naikkan harga barang

KUALA LUMPUR 12 Jun – Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. memberi jaminan tidak akan menaikkan harga barangan jualannya dalam masa terdekat walaupun kos bahan mentah meningkat.

Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perundangan Tesco, Azlam Shah Alias berkata, langkah itu sebagai menyokong usaha kerajaan mengurangkan bebanan pengguna yang berhadapan dengan kenaikan harga barangan keperluan.

Menurut beliau, pihaknya akan terus mengekalkan harga yang sedia ada termasuk menerusi pengurangan jumlah keuntungan yang dicapai daripada jualan barangan di rangkaian pasar raya miliknya.

“Kami memahami situasi pengguna yang berdepan dengan pelbagai tekanan terutama kenaikan harga barang. Jadi, kami memutuskan untuk mengekalkan harga sedia ada,’’ katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pelbagai pihak menaikkan harga jualan berikutan kos bahan mentah yang meningkat kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Semalam, rangkaian pasar raya borong, Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) memberi jaminan tidak akan menaikkan harga barangan jualannya dalam tempoh terdekat.

Menurut Azlam, keadaan itu bagaimanapun bergantung kepada keadaan pasaran dan kadar harga yang ditetapkan oleh pembekal.

“Kami akan memastikan pembekal dapat memberi harga terendah bagi setiap barangan agar tiada kenaikan harga berlaku menerusi pemantauan pada senarai barangan.

‘‘Bagaimanapun, jika mereka menaikkan harga terlalu tinggi, kami juga mungkin terpaksa mengambil tindakan sama namun akan memastikan ia tidak membebankan pengguna,’’ jelasnya.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...