Friday, June 13, 2008

Tempatkan BPR di pejabat MB - Khalid

SHAH ALAM, 12 Jun (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) menempatkan salah seorang pegawainya di pejabat Menteri Besar Selangor bagi membuat kajian bagaimanakah prosedur pentadbiran dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di SUK, semalam.

“Mungkin ada yang terperanjat pegawai BPR berada di pejabat MB. Sebenarnya ini bukan perkara baru menempatkan pegawai BPR di pejabat-pejabat. Sewaktu saya di PNB, saya juga telah bekerjasama dengan BPR.

“Pada waktu itu juga saya mencadangkan kepada BPR supaya menempatkan pegawainya dalam tempoh satu atau dua bulan untuk mengkaji cara-cara pentadbiran supaya BPR tahu apa yang berlaku,”katanya.

Sementara itu katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada BPR berikutan kepantasan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan pegawai kanan di pejabat MB.

Katanya, siasatan awal mendapati bahawa tiada unsur-unsur rasuah di kalangan pegawai kanan yang terlibat.

Sehubungan itu katanya, pegawai yang berkenaan akan diminta supaya menghadiri seminar atau kursus yang berkaitan dengan integriti serta kebertanggungjawaban supaya beliau akan lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugas pada masa hadapan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana individu yang disabitkan kesalahannya.

Jelasnya, pegawai berkenaan telah membuat laporan kepada BPR bagi mengkaji laporan tersebut serta menyelidik fakta-fakta berkaitan.

Jelas Khalid, pegawai BPR juga mengadakan perbincangan dengannya mengenai siasatan yang telah dilakukan serta mencadangkan kepadanya beberapa perkara yang perlu diperhatikan bagi mengurangkan kebolehan melakukan rasuah atau salah guna kuasa.

http://www.harakahdaily.net

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...