Friday, June 6, 2008

Ketua Gerakan Wilayah Persekutuan Digantung Keanggotaan

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Ketua Gerakan Wilayah Persekutuan Datuk Dr Tan Kee Kwong digantung keanggotaan dalam parti itu dan bakal dikenakan tindakan disiplin kerana menerima jawatan dalam kerajaan Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata pada mesyuaratnya malam Rabu lepas, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Gerakan mengambil keputusan menggunakan Perkara 17 perlembagaan parti itu bagi menggantung keanggotaan Dr Tan dan mengambil tindakan tatatertib terhadap beliau.

"Berdasarkan Perkara 17 perlembagaan, Dr Tan juga perlu tunjuk sebab kenapa beliau tidak boleh dipecat daripada Gerakan dan diberi masa satu minggu menjawabnya.

"CWC telah berbincang dengan panjang lebar beberapa faktor sebelum membuat keputusan ini," kata Chia dalam kenyataan akhbar Jumaat.

Chia berkata sebagai anggota jawatankuasa itu, Dr Tan, yang juga Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tentu tahu dengan jelas pendirian parti itu yang tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemimpin atau anggotanya yang menerima pelantikan bagi menyandang jawatan rasmi dalam agensi atau jawatankuasa mana-mana kerajaan negeri yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini, Dr Tan, yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, menerima pelantikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mengetuai pasukan petugas mengenai hal berkaitan tanah di negeri itu.

Chia berkata Dr Tan membuat keputusan itu tanpa berunding atau memaklumkan kepada kepimpinan pusat Gerakan dan CWC tidak dapat menerima dua alasan yang diberi oleh Dr Tan apabila menerima pelantikan itu -- bahawa beliau adalah kawan rapat Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan hasratnya untuk berkhidmat kepada rakyat melalui "jawatan yang mempunyai kuasa".

Kata Chia, sejak Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas, pemimpin dan anggota Gerakan telah mengambil pendirian bahawa parti itu akan memainkan peranannya sebagai pembangkang yang membina terhadap lima kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dan pada waktu yang sama, melaksanakan pembaharuan dalam Barisan Nasional (BN) dan parti itu sendiri.

"Oleh itu, satu perbezaan yang jelas perlu diperlihatkan daripada segi kedudukan dalam kerajaan.

"Seperkara lagi ialah walaupun kebanyakan pemimpin dan anggota parti tidak pernah diberi kedudukan atau kuasa semasa parti itu merupakan parti gabungan BN yang memerintah di negeri berkenaan, mereka tetap boleh terus berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Chia berkata CWC juga mengambil kira sikap dan pendirian Dr Tan yang secara terang-terangan mengkritik kepimpinan parti itu sebelum dan selepas menerima pelantikan berkenaan.

Sebagai contoh, baru-baru ini, semasa beliau mengumumkan menerima pelantikan oleh Menteri Besar Selangor itu, Dr Tan secara terbuka memberitahu pemberita bahawa “Gerakan rasa saya tidak ada nilai untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat", di samping kenyataan lain yang bertujuan merosakkan imej parti.

Oleh itu, kata Chia, memandangkan sikap dan pendekatan negatif Dr Tan, CWC membuat keputusan untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap beliau dan memintanya memberi tunjuk sebab.

Apabila dihubungi kemudiannya, Chia berkata Dr Tan telah diberi tempoh tujuh hari hingga 13 Jun ini untuk menjawab surat tunjuk sebab terbaru yang diberi kepadanya dan CWC akan bersidang sekali lagi bagi membuat keputusan tentang perkara itu.

Sementara itu, apabila dihubungi, Dr Tan mengulangi kenyataannya bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan mempersoalkan sama ada tindakan menggantung keanggotaan beliau dalam parti itu dibuat kerana tujuan politik memandangkan baru-baru ini, beliau telah dipilih sebagai pengerusi Gerakan Cawangan Taman Bunga Raya di bahagian Segambut.

"Adakah saya merupakan suatu ancaman besar hingga mereka perlu menghalang saya dengan menggantung keanggotaan saya? Adilkah sistem ini", tanya beliau.

Dr Tan berkata beliau telah memberi penjelasan tentang keputusannya menerima pelantikan oleh kerajaan Selangor dalam surat bertarikh 4 Jun kepada kepimpinan Gerakan sebagai jawapan kepada surat tunjuk sebab sebelum ini yang meminta beliau memberi sebab kenapa beliau menerima pelantikan itu.

"Pakatan Rakyat adalah sebuah organisasi politik yang kini secara sah mentadbir kerajaan Selangor. Ia bukan sebuah pertubuhan haram. Lagipun, saya bukannya mengendalikan sebuah kongsi gelap, rangkaian pelacuran, syarikat perjudian atau perniagaan lain yang diharamkan. Kenapa saya perlu digantung?

"Pelik sungguh, saya dengar tentang penggantungan saya kira-kira pukul 2 petang melalui seorang pemberita. Saya hanya menerima surat penggantungan yang dihantar melalui faksimili ke rumah saya pada pukul 3.30 petang. Kenapa saya tidak diberitau terlebih dulu?" kata beliau.

Dr Tan berkata apa yang telah beliau lakukan sekadar mengikut jejak bapa beliau Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, tokoh politik yang digelar "Mr Opposition" dalam politik Malaysia pada 1970-an.

Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...