Monday, July 28, 2008

Aziz masih minat bertanding di Kulim

Malaysia Kini
Muda Mohd Noor | Jul 28, 08 6:27pm

Calon BN kerusi perlimen Kulim-Bandar Baharu dalam pilihanraya umum lalu Datuk Aziz Sheikh Fadzir berminat bertanding sekali lagi dalam pilihanraya kecil kelak jika berpeluang.

Bagaimanapun, katanya, biar Umno yang menentukan calon BN di kawasan tersebut selepas Mahkamah Pilihanraya mengisytiharkan kemenangan PKR dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu sebagai tidak sah.

"Sama ada saya atau orang lain termasuk Mohamad Ezam Mohd Noor akan bertanding di situ, ia merupakan satu spekulasi... masih terlalu awal untuk bercakap mengenai calon.

"Tetapi peluang BN kali ini lebih baik daripada yang dialami dalam pilihanraya lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pilihanraya umum lalu, Abdul Aziz kalah kepada Zulkifli Noordin dengan majoriti 5,583 undi – beliau mendapat 16,672 undi, manakala pencabarnya itu memperolehi 22,255.

Kulim-Bandar Baharu mempunyai 67.93% pemilih Melayu, 21.13% Cina dan 11.48% India daripada jumlah keseluruhan 51,444 orang.

Abdul Aziz menambah, selepas empat bulan Pakatan Rakyat memerintah empat negeri, termasuk Kedah, rakyat mula membuat perbandingan antara kerajaan gabungan pembangkang itu dengan BN.

"Saya mendapat maklum balas bahawa ramai yang menyesal kerana mengundi Pakatan dalam pilihanraya umum lalu.

"Ini kerana kerajaan Pakatan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak tidak melakukan apa-apa untuk membantu rakyat di negeri berkenaan," katanya lagi.

Sementara itu, pengerusi perhubungan PKR Kedah, Johari Abdul ketika dihubungi berkata, Anwar tidak gentar menentang sesiapa sahaja dalam pilihanraya kecil nanti.

"Sama ada Mohamad Ezam atau sesiapa, ia bukan persoalan yang besar bagi Anwar dan PKR," katanya.

Johari berkata, memandangkan sokongan semasa, peluang bekas timbalan perdana menteri itu untuk menang amat cerah.

Katanya, isu dakwaan liwat yang sedang dikaitkan dengan Anwar kini sama sekali tidak akan menyekat sokongan rakyat kepada beliau.

"Ini kerana rakyat lebih melihat kepada isu-isu seperti kenaikan harga barangan dan harga minyak dan bukannya isu yang karut-marut itu," katanya.

Johari berkata, PKR bahagian dan negeri telah bersiap sedia bagi menghadapi pilihnaraya kecil berkenaan.

Katanya, komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS dan DAP sudah setuju untuk memberikan sokongan kepada Anwar jika beliau bertanding di Kulim-Bandar Baharu.

Beliau berkata, inilah masanya untuk Anwar bertanding bagi menguji sokongan rakyat sama ada rakyat terhadapnya.

so, amacam Ezam??

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...