Monday, July 28, 2008

Lebih separuh sokong Shahidan

Malaysia Kini
Abdul Rahim Sabri
Jul 28, 08 4:29pm

Lebih separuh daripada 123 cawangan Umno di bahagian Arau mencalonkan semula Datuk Seri Shahidan Kassim, meninggalkan pencabarnya jauh di belakang, setakat ini.

Setiausaha bahagian Seruandi Saad berkata lebih kurang 70 cawangan yang bermesyuarat setakat ini menamakan kembali bekas menteri besar itu.

Mesyuarat cawangan-cawangan itu yang bermula 19 Julai lalu juga tidak mencalonkan sebarang nama lain kecuali dua untuk Amier Hassan, setiausaha politik menteri besar kini Datuk Dr Md Isa Sabu.

Seruandi bagaimanapun tidak dapat memberikan angka tepat jumlah cawangan yang telah mengadakan mesyuarat agung kerana berada di luar pejabat sewaktu dihubung Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur membenarkan cawangan-cawangan di bahagian itu mengadakan mesyuarat dalam satu suratnya yang diterima dua minggu lepas.

Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat di bahagian itu bagi bersiap menghadapi kemungkinan pilihanraya kecil di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang terletak bawah bahagian tersebut.

Selain Amier, dua lagi yang berminat mencabar ketua perhubungan Umno Perlis itu - wakil rakyat Pauh, Syed Razlan Jamalullail dan ahli jawatankuasa bahagian itu Azlan Man.

Amier setakat ini mendapat dua pencalonan daripada cawangan yang telah bermesyuarat, sementara dua lagi belum mendapat sebarang pencalonan.

Lebih 40 cawangan di bahagian Arau belum mengadakan mesyuarat, kebanyakannya di DUN Pauh dan Guar Sanji.

Sumber-sumber Umno melihat perkembangan ini sebagai Shahidan masih lagi seorang pemimpin yang "berbisa dan mantap" yang membuatkan pencabar-pencabarnya sukar menembusi kubu-kubunya.

"Tidak dinafikan 13 tahun menjadi menteri besar, memberi kesan yang mendalam kepada hati dan sanubari terutama rakyat Perlis di Arau," kata sumber, mengulas pencalonan besar kepada bekas menteri besar itu.

Menurut pengamat, walaupun 11 tahun Amier tidak aktif berpolitik, dua pencalonan awal itu menampakkan kemampuannya menggerakkan semula jenteranya di peringkat akar umbi.

Amier masih berpeluang mencabar Shahidan jika mendapat pencalonan 23 lagi cawangan sebelum atau pada mesyuarat terakhir cawangan-cawangan pada 23 atau 24 Ogos ini.

Calon bagi jawatan ketua bahagian memerlukan 20 peratus daripada jumlah cawangan, timbalan ketua (15%), naib ketua (10%) dan ahli jawatankuasa (2 cawangan).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...