Monday, July 28, 2008

Jui Meng Kekal Di Bakri, Tiada Halangan Bertanding Jawatan Tertinggi MCA

28 Julai, 2008 00:30 AM

Oleh Alan Ting

MUAR, 28 Julai (Bernama) -- Bekas Naib Presiden MCA Datuk Chua Jui Meng kini sedia untuk kembali berpolitik secara aktif selepas mengekalkan jawatan Ketua MCA bahagian Bakri, di sini hari Ahad.

Berikutan kejayaannya menewaskan dua pencabar lain untuk jawatan itu, Chua disebut-sebut akan bertanding satu daripada dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan MCA peringkat kebangsaan Oktober ini.

Chua, yang juga bekas Menteri Kesihatan, mengekalkan jawatan dalam bahagian MCA terbesar di Johor selepas memperoleh 226 undi, menewaskan setiausaha bahagian Tay Kim Seng yang mendapat 134 undi dan Timbalan Pengerusi cawangan Jalan Bandar William Tan Geok San yang meraih tujuh undi.

Sejumlah 369 perwakilan, mewakili 16,000 anggota sah dari 39 cawangan mengundi dalam pertandingan yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Chua menyandang jawatan pengerusi MCA bahagian Bakri sejak 1986. Bahagian itu juga satu daripada beberapa bahagian MCA yang besar di negara ini dan bahagian Kapar menjadi bahagian terbesar di Selangor dengan 17,000 anggota sah.

Bercakap kepada Bernama selepas keputusan diumumkan, Chua yang kelihatan sangat gembira, berkata beliau kini mempunyai "tiket untuk perjalanan di lebuh raya dari Bakri (Johor) ke Kuala Lumpur."

"Perwakilan bahagian telah menyangkal serangan peribadi yang membabitkan reputasi saya terutamanya dalam beberapa akhbar berbahasa Cina. Demokrasi telahpun bersuara dan saya kini seorang delegasi pusat," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan khusus jawatan apakah, sekiranya ada, yang akan ditandinginya di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, naib presiden MCA Datuk Seri Dr Fong Chan Onn mengekalkan jawatan Ketua MCA bahagian Alor Gajah (Melaka) dengan mengalahkan bekas naib presiden bahagian itu, Ngow Duo Soon.

Fong mendapat 166 undi berbanding Ngow 120 undi.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman keputusan, Fong berkata beliau masih belum menentukan jawatan yang akan ditandinginya di peringkat kebangsaan.

"Saya mahu memperkukuhkan MCA, terutamanya MCA Melaka bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Ada banyak kerja untuk dilakukan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...