Saturday, July 26, 2008

Kereta Mercedes Terengganu Akan Dapat Permintaan Tinggi Penggunaannya, Kata Najib

25 Julai, 2008 22:53 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Julai (Bernama) -- Empat belas buah kereta Mercedes Benz E200 Kompressor kerajaan Terengganu, yang telah diputuskan untuk dijadikan sebagai kenderaan tetamu kerajaan negeri itu, akan mendapat permintaan tinggi terhadap penggunaannya pada masa depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai contoh, kereta Mercedes itu akan digunakan bagi membawa tetamu ternama di negeri itu semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja di sini, pertengahan Oktober depan.

"Permintaannya sudah tentu tinggi untuk kegunaan pelawat-pelawat tertentu terutama semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja," katanya kepada pemberita selepas melawat Hotel Felda Residence di sini, Jumaat.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Najib mengulas keputusan Kabinet bahawa kerajaan Terengganu perlu menggunakan kereta Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi anggota exconya manakala kereta Mercedes E200 Kompressor yang sudah dibeli, hanya untuk tetamu kerajaan negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata Felda akan berusaha mencari peluang pelaburan baru dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan agensi berkenaan.

Najib berkata pembukaan Hotel Felda Residence itu adalah yang keenam oleh agensi berkenaan kerana sebelum ini, lima daripadanya berbentuk resort.

"Langkah Felda membina Hotel Felda Residence ini juga selaras dengan usaha Felda untuk mengembangkan aktiviti kumpulannya dalam sektor pelancongan.

Tambahan pula permintaan terhadap bilik penginapan di Pantai Timur yang semakin bertambah sejak kebelakangan ini.

"Usaha ini turut memberi manfaat kepada semua pihak termasuk membantu kerajaan Terengganu dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak negeri yang merupakan 70 peratus daripada kakitangan hotel ini," katanya.

Hotel Felda Residence yang mula dibuka untuk tempahan kepada orang ramai pada 3 Julai lepas, menelan belanja pembinaannya sebanyak RM26.5 juta dan siap sepenuhnya pada Jun lepas.

Hotel setinggi 20 tingkat dan mempunyai 100 bilik penginapan serta 66 kakitangan, terletak berhampiran dengan Istana Bukit di Jalan Hiliran di sini.

-- BERNAMA

Bengong ker apa, setakat persidangan raja-raja jer nak guna kereta tu. Nak cover line la tu sebab MB Terengganu dah membazirkan duit rakyat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...