Saturday, July 26, 2008

Dokumen Lama Yang Mungkin Disorok Sukarkan Proses Tuntutan Dokumen, Kata Sidek

26 Julai, 2008 22:22 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Proses menuntut dokumen-dokumen lama berkaitan Malaysia yang disimpan di peringkat antarabangsa amat sukar dibuat ekoran timbulnya masalah-masalah seperti kewujudannya yang tidak dapat dikesan dan kemungkinan ia 'disorok' pihak tertentu.

Ketua Pengarah Arkib Negara Sidek Jamil berkata faktor itu merupakan salah satu punca mengapa dokumen berkaitan sejarah negara sukar dituntut, dan bukan semata-mata kerana kurangnya kerjasama daripada negara terbabit.

"Biasanya kita minta dalam bentuk salinan 'mikrofilem' dan ada sesetengah negara yang tidak mempunyai atau tidak mampu membuatnya (salinan mikrofilem)," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Kongres Arkib Antarabangsa (ICA) ke-16.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal Khamis lepas yang mahukan Sidek menggunakan ICA untuk mendapatkan dokumen lama berkaitan negara yang disimpan di luar negara. Sidek berkata dalam Kongres ICA yang berakhir hari ini, beliau turut membangkitkan masalah berhubung perkongsian dokumen maklumat dan berbincang mengenai isu berhubung dokumen bersejarah sesebuah negara yang disimpan di negara lain.

Menurutnya jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa serta penyelidikan yang terperinci amat diperlukan bagi mengesan kedudukan sesebuah dokumen asal yang lama.

Sidek seterusnya berkata Kongres ICA juga membuat ketetapan untuk memberikan Algeria tanggungjawab menyediakan kertas kerja serta cadangan bagi membangunkan polisi dan mewujudkan rangkaian antara anggota ICA dalam memperoleh kembali sesuatu dokumen asal.

"Algeria akan buat cadangan yang akan dibawa kepada ICA untuk dibincangkan, seperti langkah mewujudkan perjanjian antara negara," katanya.

Beliau berkata Algeria dipilih kerana mereka mempunyai latar belakang mengendalikan penyelesaian kes menuntut kembali dokumen lama yang dibawa keluar dari negaranya.

Kongres lima hari yang berakhir hari ini melibatkan penyertaan lebih 1,200 peserta dari 138 negara termasuk Amerika Latin, Jepun, United Kingdom, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...