Saturday, July 26, 2008

Lima Lagi Dipanggil BPR Beri Keterangan Kes Perdana V6

26 Julai, 2008 22:25 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Julai (Bernama) -- Lima lagi individu dipanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi memberi keterangan berhubung kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco dan pegawai kanan kerajaan Terengganu antara 2004 dan 2008.

Pengarah BPR negeri Sharuddin Sapian berkata jumlah itu menjadikan sembilan orang telah dipanggil setakat ini, untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata lima individu itu adalah orang awam dan mereka telah dipanggil memberikan keterangan di pejabat BPR, sejak dua hari lepas.

"Kami mungkin memanggil beberapa lagi saksi bagi memberi keterangan dari semasa ke semasa, jika perlu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, antara lima individu yang dipanggil itu ialah mekanik bengkel kereta berkaitan, yang bertanggungjawab menyenggara kenderaan rasmi kerajaan Terengganu.

Sharuddin berkata kes itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1967.

Dua hari lepas, Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mokhtar Nong mengesahkan empat pemandu exco kerajaan negeri telah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive kerajaan negeri, yang disifatkan terlalu tinggi.

Sebelum itu, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi iaitu berjumlah RM1.07 juta untuk menyenggara kesemua 15 kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu, sejak 2004 hingga 2008.

Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said untuk meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...