Saturday, July 26, 2008

Najib Harap Semua Pimpinan Umno Bahagian Terima Pelan Peralihan Kuasa

26 Julai, 2008 16:07 PM

PEKAN, 26 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usul yang dibuat oleh cawangan tertentu yang mencadangkan beliau bertanding jawatan Presiden pada pemilihan UMNO Disember depan, bukanlah bermakna ia juga menggambarkan pendirian bahagian Umno kawasan terbabit.

Sambil mengulangi pendiriannya bahawa beliau tetap komited kepada pelan peralihan yang telah dipersetujui dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu pada Jun 2010, Timbalan Perdana Menteri itu juga berharap semua pimpinan bahagian dapat menerima pelan peralihan kuasa itu.

"Cuma bahagian sahaja boleh buat pencalonan yang sah, jadi sebab itulah pendirian cawangan ini tak perlu sebenarnya dibuat liputan oleh media sebab dalam satu bahagian mungkin ada 200, 300 cawangan, kalau satu sahaja buat ketetapan tidak bererti ianya keputusan bahagian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir daerah Pekan 2007, di sini, hari Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai dua cawangan UMNO di Pahang yang membuat usul mencadangkan beliau bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Disember depan.

Pada 17 Julai lepas, Umno Cawangan Kampung Ubai, dalam Bahagian Pekan, mencadangkan Najib untuk jawatan Presiden, sementara pada mesyuarat cawangan Bukit Kuantan 3 dalam Bahagian Paya Besar, dua hari lepas, selain mencadangkan Najib bertanding jawatan itu, cawangan itu juga mencadangkan supaya peralihan kuasa kepada Najib dipercepatkan sebelum Disember ini bagi mengelak pertandingan jawatan tertinggi parti itu.

Najib berkata: "Cawangan tak ada (kuasa menamakan pencalonan), yang penting bahagian, saya percaya bahagian di Pahang akan ikut pelan peralihan kuasa, apa pun kita tak boleh nak sekat (usul yang dibuat cawangan), yang penting pada persidangan bahagian nanti.

"Tak ada (sebarang arahan), tapi ini saranan kita, saya dah pun bercakap beberapa kali, Presiden pun dah cakap beberapa kali, harap pimpinan bahagian terima (pelan peralihan kuasa),".

Mengulas mesyuarat cawangan yang telah pun bermula 17 Julai lepas, Najib berkata setakat ini beliau amat berpuashati dan pada keseluruhannya, ia berjalan lancar.

"Setakat ini nampaknya perjalanan mesyuarat cawangan-cawangan Umno berjalan baik dan lancar, Majlis Tertinggi atas syor Jawatankuasa Pengurusan telah bersetuju supaya ditubuhkan jawatankuasa pemantau di peringkat negeri dimana semua kes pertikaian cawangan dirujuk ke Jawatankuasa Peringkat Negeri sebelum dibawa ke Jawatakuasa Pengurusan, kalau ada (kes)," kata Najib.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan wang ehsan kepada 1,224 mangsa banjir tahun lepas bagi daerah Pekan.

Najib berkata bantuan itu merupakan siri bantuan terakhir di daerah Pekan yang keseluruhannya berjumlah 3,834 mangsa melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM3.4 juta.

"Bagi seluruh negara, jumlah bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM58 juta dan telah pun diagihkan kepada mangsa banjir yang terbabit pada tahun lepas di tujuh buah negeri," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...