Sunday, July 20, 2008

Pembelian Mercedes Bukan Guna Duit Royalti, Kata Ahmad

20 Julai, 2008 18:26 PM

KUALA TERENGGANU 20 Julai - Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said hari ini mempertahankan tindakan kerajaan negeri membeli 14 kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri dalam usaha menjimatkan kos perbelanjaan tahunan.

Ahmad berkata, pembelian kereta itu menggunakan peruntukan yang disediakan sebelum ini dan bukan menggunakan wang royalti minyak.

"Ia tidak melibatkan royalti minyak. Bagaimana nak guna wang royalti minyak, kita masih belum menerimanya daripada kerajaan pusat," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung pembelian kenderaan bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Ahmad berkata, keputusan pembelian kenderaan berjumlah RM3.43juta itu dibuat berikutan kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan oleh Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri sebelum ini terlalu tinggi.

"Bukannya kita nak kata kereta keluaran nasional tidak baik, tetapi hakikatnya kereta itu tidak sampai dua tahun terpaksa diselenggara kerana beberapa komponen kereta seperti kotak gear rosak.

"Contohnya kereta yang dinaiki Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar, Toh Chin Yaw sudah dua kali diselenggara yang melibatkan kos sehingga RM50,000. Tetapi kalau kereta Mercedes walaupun mahal tetapi ia jimat dari segi penyelenggaraan tempoh jangka panjang," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis tahlil sempena Keputeraan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah di sini hari ini.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...