Sunday, July 20, 2008

Umno Bahagian Tapah Mahu Kerusi Parlimen Dikembalikan

20 Julai, 2008 16:46 PM

TAPAH, 20 Julai (Bernama) -- Kerusi Parlimen Tapah yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) mungkin akan terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang jika tidak diserahkan kembali kepada calon UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Tapah Datuk Samsudin Abu Hassan.

Beliau berkata UMNO telah menyerahkan kerusi berkenaan selama lima penggal kepada parti komponen sejak 1981 dan kini desakan daripada akar umbi supaya ia dikembalikan adalah terlalu kuat.

"Ini bukan ugutan atau amaran tetapi saya cuma menzahirkan hasrat dan kehendak ahli-ahli parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak mesyuarat cawangan-cawangan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian berkenaan di sini hari Ahad.

Samsudin berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai usul mendesak BN menyerahkan kerusi Parlimen Tapah kepada calon UMNO pada pilihan raya umum ke-13 yang sebulat suara dipersetujui 83 cawangan UMNO untuk dikemukakan kepada mesyuarat bahagian Oktober depan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning itu berkata desakan itu lahir atas kekecewaan anggota UMNO yang telah dijanjikan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-12.

"Pada pilihan raya umum ke-12 tidak selesai juga isu penyerahan balik kerusi kepada UMNO...kita khuatir pada pilihan raya akan datang kawasan ini tidak lagi menjadi kubu BN," katanya.

Pada pilihan raya lepas, calon BN dari MIC Datuk M. Saravanan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan memenangi kerusi Parlimen Tapah dengan majoriti 3,020 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Seng Toh.

Samsudin berkata kawasan Parlimen Tapah yang mempunyai kira-kira 40,000 pengundi adalah kawasan majoriti pengundi Melayu iaitu 51 peratus.

Selain DUN Ayer Kuning, satu lagi kerusi negeri iaitu Chenderiang diwakili oleh calon BN daripada MCA.

"Pengalaman pada pilihan raya umum lalu amat berguna kepada kami, nasib baik Umno Bahagian Tapah ini sentiasa bersatu dan setia kepada BN kalau tidak calon-calon kita mungkin kalah seperti di bahagian lain," katanya merujuk kepada prestasi buruk BN apabila terlepas Perak kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...