Friday, June 6, 2008

Sepanyol makin gah

SANTANDER, Sepanyol – Sepanyol terus mengekalkan kehebatan sebagai pasukan yang tidak dapat ditewaskan untuk 16 perlawanan berturut-turut apabila menewaskan Amerika Syarikat 1-0 pada perlawanan terakhir sebelum saingan Kejohanan Eropah (Euro 2008).

Bagaimanapun, gol tunggal yang dijaringkan oleh Xavi Hernandez pada minit ke-79 itu telah menukar keseluruhan perlawanan apabila ia menjadi tegang dan tidak teratur.

“Jika kami bermain dengan rentak yang sama seperti di separuh masa pertama, ia akan menjadi sukar. Kami tidak mempunyai pilihan.

“Mempunyai pemain di bahagian sayap pasukan, kami boleh menghasilkan lebih banyak peluang dan ia adalah perlawanan baik kami dalam bola sepak,” kata jurulatih Sepanyol, Luis Aragones.

Pemain tengah Barcelona, Xavi menyentak semangat penyokong Amerika Syarikat apabila berjaya menewaskan penjaga gol gantian lawan, Brad Guzan menerusi percubaan rendah.

“Mereka (Sepanyol) tidak banyak mempunyai peluang pada perlawanan tersebut dan saya fikir, jika itu sahaja yang boleh dilakukan oleh mereka, ia seharusnya menjadi tumpuan utama untuk difikirkan.

“Adakah itu sahaja cabaran yang boleh diberikan oleh mereka apabila bermain dalam perlawanan akhir sesi pemanas badan, sebelum menyertai kejohanan besar dan ia sebahagian daripadanya,” kata jurulatih Amerika Syarikat, Bob Bradley.

Pada perlawanan menentang Peru, Satu lalu, Sepayol menjaringkan gol di masa kecederaan untuk menang 2-1.

Kemenangan kali ke-33 yang dicapai oleh Aragones itu menyaksikan dia telah melepasi Miguel Munoz, iaitu jurulatih kedua Sepanyol paling berjaya membimbing pasukan tersebut.

Aragones yang berusia 69 tahun itu mendahului Javier Clemente dengan tiga kejuaraan setakat ini.

Sepanyol akan membuka saingan Kumpulan D Euro 2008 dengan bertemu Rusia, Selasa ini dan diikuti pertemuan seterusnya dengan Sweden dan penyandang juara, Greece.

“Kami akan bersaing. Suasana dalam pasukan adalah terbaik setakat ini dan jurulatih mempunyai keyakinan bahawa kami boleh melakukannya,” kata pemain konsisten Sepanyol, Xavi.

Pada perlawanan tersebut, beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan, termasuk penyerang berbisa David Villa yang masih dibelenggu dengan kecederaan teruk serta Andres Iniesta yang mengalami keracunan makanan.

Ketiadaan pemain tersebut mungkin mendorong Aragones menggunakan Fernando Torres sebagai penyerang solo, iaitu seperti sistem yang digunakan olehnya untuk memperoleh kedudukan teratas dalam kumpulan ketika kelayakan Euro 2008.

utusan online

Gamberini ambil tugas Cannavaro

MOEDLING, Austria - Pemain pertahanan, Alessandro Gamberini menyertai skuad bola sepak Itali ke Kejohanan Eropah (Euro 2008), kelmarin dan menyertai sesi latihan pertamanya sejak menggantikan ketua pasukan, Fabio Cannavaro.

Jurulatih Roberto Donadoni memiliki Marco Materazzi dan Andrea Barzagli yang digandingkan bersama di pertahanan tengah dalam sebuah pasukan ketika satu latihan separuh padang manakala benteng Fiorentina, Gamberini bermain dengan Giorgio Chiellini di pasukan lain.

Juara Piala Dunia itu memulakan latihan, setengah jam lewat gara-gara petir.

Cannavaro terkoyak ligamen buku lalinya, Isnin lalu dalam sesi latihan pembukaan Azzurri pada Euro dan menjalani pembedahan semalam di Vienna.

Presiden UEFA, Michel Platini membenarkan Cannavaro diberi satu tauliah khas supaya dia boleh terus bersama skuad Itali.

Menampilkan gaya rambut Mohawk, Gamberini yang hanya bermain dua kali untuk Itali berbual seketika dengan Donadoni sebelum perlawanan latihan.

utusan online

Zabidi rampas gelaran pecut - Siti Fatima ungguli gelaran 100 meter wanita

KUALA TERENGGANU – Atlet tuan rumah, Mohd. Zabidi Ghazali dan Siti Fatima Mohamad dari Johor merampas gelaran raja dan ratu pecut 100 meter akhir Sukan Malaysia XII, semalam.



JUARA baru... Atlet Terengganu, Mohd. Zabidi Ghazali meraikan kejayaannya mengungguli larian 100 meter lelaki Sukma XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam

Mohd. Zabidi dan Siti Fatima yang merupakan atlet kebangsaan mencatat kepantasan 10.57s saat dan 11.82s.

Dalam pada itu, Terengganu mula menunjukkan taring apabila menduduki tempat teratas pungutan pingat emas dengan memintas Sarawak pada hari keenam temasya.

Majoriti emas Terengganu disumbangkan oleh pasukan kanu yang beraksi di Taman Rekreasi Tasik Putri, Bukit Besi, Dungun selepas menyapu bersih enam emas.

Malah, atlet lontar peluru tuan rumah, Adi Alifuddin Hussein juga berjaya memadamkan rekod lama kejohanan yang dilakukannya sendiri selepas berjaya melakukan lontaran sejauh 15.87 meter untuk menggondol emas.


pelari pecut Johor, Siti Fatimah Mohamad (kiri) mencecah garisan penamat untuk pingat emas 100 meter wanita di Kuala Terengganu, semalam.


Sementara itu, kepantasan larian 11.82s Siti Fatima, semalam memadam rekod kejohanan milik sendiri yang dicatatnya dalam saringan separuh akhir, kelmarin.

Pingat perak pula dimenangi pelari Pulau Pinang, Nor Jannah Jamaluddin manakala gangsa, Siti Nurhayati Zulkifli dari Wialayah Persekutuan.

Mohd. Zabidi pula mencatat masa terbaik peribadi untuk memenangi emas dengan menewaskan juara bertahan, Mohd. Latif Nyat (10.64s) dari Johor, manakala Daniel Azwan Amar dari Perlis ketiga (10.82s).

Sementara itu, atlet Selangor, Lee Hup Wei memadamkan rekod 14 tahun lompat tinggi kejohanan dengan melakukan lompatan 2.20m, mengatasi catatan yang di buat Loh Kum Zee 2.15m di Sukma 1994 Perak.

Acara renang sekali lagi menyaksikan Foo Jian Beng memecahkan rekod kebangsaan melalui kategori 50 meter renang gaya bebas dengan catatan 23.45 saat, memadam rekod lama kejohanan milik Allan Ong pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali kedua Jian Beng memadamkan rekod kebangsaan milik Allan selepas berjaya kali pertama melalui 100m gaya bebas.

Secara keseluruhan, tuan rumah masih selesa di tangga teratas ekoran acara renang dan wushu yang didominasi peserta Sarawak sudah berakhir.

Apa pun, hari ini tumpuan pasti terarah ke acara olahraga di mana kategori 400m lari berpagar lelaki dan wanita, 1,500m lelaki dan wanita, 4X100m lelaki dan wanita akan diadakan dan kemungkinan lebih banyak rekod yang bakal dipecahkan.

petikan utusan online

Pemberian air percuma seperti dijanjikan

SHAH ALAM 5 Jun - Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor memberi jaminan rakyat di negeri itu akan menikmati kemudahan air percuma bagi 20 meter padu pertama bermula bulan ini seperti yang dijanjikan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebarang permasalahan antara pihak-pihak berkaitan berhubung pemberian air percuma yang timbul sebelum ini telah diselesaikan.

"Kita berjaya menemui kaedah penyelesaian berhubung masalah yang timbul sebelum ini.

"Mulai esok semuanya selesai dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) akan mengenakan potongan untuk 20 meter padu pertama air pada bil pengguna," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek sumbangan Piala Sultan Selangor 2008 yang dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini hari ini.

Bermula 1 Jun, kira-kira 1.5 juta pengguna meter individu di Selangor akan menerima air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan atau bersamaan RM11.40 sebagai memenuhi satu daripada manifesto yang dijanjikan oleh pakatan pembangkang dalam kempen pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, Syabas dalam kenyataannya hari ini memaklumkan akan mengeluarkan bil air kepada pengguna di Selangor seperti biasa tanpa sebarang penurunan atau potongan subsidi sehingga ada arahan bertulis daripada kerajaan negeri dan Pusat.

Keputusan itu dibuat kerana perbincangan antara Syabas dengan kerajaan negeri Selangor masih belum ada keputusan berikutan banyak perkara yang perlu diambil kira seperti perundangan, kos dan kelulusan kerajaan Pusat.

Ditanya tindakan Syabas itu, Abdul Khalid menjelaskan, terdapat salah faham antara syarikat tersebut dengan kerajaan negeri.

"Persoalan yang timbul adalah siapa yang sepatutnya mengeluarkan surat arahan kepada Syabas.

"Sebenarnya arahan rasmi datangnya daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (yang memiliki 30 peratus saham dalam Syabas) dan bukan kerajaan negeri," ujarnya.

Sementara itu pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin menerima cek-cek sumbangan bernilai RM800,000 daripada para penaja Piala Sultan Selangor 2008 yang akan berlangsung esok di Stadium Shah Alam.

Piala Sultan Selangor yang diperkenalkan pada 2001 akan menampilkan aksi dua perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor bertemu Pilihan Singapura dan Veteran Selangor bertemu Veteran Singapura.

Pengunjung yang membeli tiket perlawanan bernilai RM5 berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik dan menyaksikan persembahan hiburan oleh artis-artis popular seperti Ella, Mas Idayu serta David Arumugam daripada Kumpulan Alleycats.


petikan utusan online

Rebat tunai di 686 pejabat pos

KUALA LUMPUR 5 Jun - Bayaran subsidi minyak kepada pemilik kenderaan persendirian boleh ditunaikan di 686 rangkaian pejabat pos di seluruh negara.

Urusan pembayaran balik rebat tunai itu berkuat kuasa pada 1 Julai ini.

Pemangku Pengarah Urusan Pos Malaysia Berhad, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya bersedia mengendalikan urusan pembayaran balik rebat tunai seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

"Selaras dengan keputusan kerajaan, pemilik kenderaan yang layak mendapatkan subsidi ini boleh mengemukakan tuntutan mereka di pejabat pos mulai 1 Julai,'' katanya.

Beliau berkata, pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan dari 1 April lalu sehingga 31 Mac tahun hadapan boleh mendapatkan bayaran balik subsidi tahunan sebanyak RM625 bagi setiap kenderaan.

Abdullah turut berkata, pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun dan bayaran tunai itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan melalui Pos Malaysia.

Abu Huraira berkata, pemilik kenderaan yang datang sendiri untuk mendapatkan subsidi tersebut di pejabat pos akan menerima bayaran secara tunai.

Katanya, bagi mereka yang melantik pihak ketiga untuk mendapatkan subsidi ke atas pemilikan kenderaan tersebut, pemiliknya akan menerima subsidi dalam bentuk Kiriman Wang.

Beliau berkata, orang ramai perlu menunggu pengumuman berhubung prosedur dan dokumen yang perlu dikemukakan sebelum pembayaran subsidi dilakukan.

"Maklumat lanjut untuk pembayaran subsidi akan diumumkan dalam tempoh terdekat,'' katanya.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Pos Malaysia di talian 1-300-300-300 atau layari laman web www.pos.com.my.

petikan utusan online

Desak kaji semula - Rakyat anggap harga baru petrol, diesel membebankan


HARGA BARU... Pemilik kenderaan, Izreen Munira Mohamed Zakri mengisi minyak sebanyak RM50 di sebuah stesen minyak di Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam dan dia hanya mendapat 18.49 liter berbanding 26 liter sebelum harga petrol dinaikkan kelmarin.– Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


KUALA LUMPUR 5 Jun – Kerajaan diminta mengkaji semula harga baru petrol dan diesel yang masing-masing naik 78 sen dan RM1 seliter kerana ia membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Saranan supaya kenaikan itu disemak kembali dibuat kerana orang ramai menjangkakan kenaikan harga petrol dan diesel akan menyebabkan harga barangan keperluan, kos perkhidmatan dan tambang pengangkutan awam akan menjadi bertambah mahal.

Orang ramai yang ditemui hari ini menghargai langkah kerajaan terus memberikan subsidi kepada mereka berikutan kenaikan harga bahan api itu tetapi berharap harganya diturunkan sedikit kerana kenaikan kali ini terlalu tinggi.

Kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter merupakan peningkatan sebanyak 40 peratus dan 63 peratus berbanding harga sebelumnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa negeri termasuk di Kedah, Johor, Pahang dan Pulau Pinang mendapati orang ramai mengakui kenaikan harga barangan akibat penstrukturan semula subsidi minyak tidak dapat dielakkan.

Kenaikan harga minyak, menurut mereka, akan menyebabkan kos yang ditanggung oleh pelbagai pihak khususnya peniaga meningkat menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kos pengangkutan.

Seorang peniaga kedai runcit di Johor Bahru, Tan Lian Chu, 40, berkata, kenaikan harga minyak memberi impak besar kepada pengguna, peruncit dan pemborong yang saling berkaitan antara satu sama lain.

“Bahan mentah selalunya tidak menentukan harga kerana ia sekejap naik, sekejap turun, tetapi apabila harga petrol naik, pasti akan berlaku kenaikan harga,” katanya.

petikan utusan online

Harga Minyak Yang Terburuk Dan Melampau…Pemimpin Menipu.. Rakyat Ditipu

KUALA LUMPUR (BebasBersuara): Kenaikan yang melampau! Pemimpin menipu, rakyat ditipu! Itulah ungkapan yang boleh diluahkan berikutan kenaikan harga minyak yang melampau.

Kenaikan petrol RM2.70 seliter berbanding RM1.92 sebelum ini manakala diesel Rm2.58 amat membebankan dan rakyat seolah-olah ditipu para pemimpin kerajaan yang mana mengatakan tiada kenaikan sehingga Julai atau Ogos. Datuk Shahril, menteri yang bertanggungjawab juga berulang kali membayangkan kenaikan hanya sekitar Ogos sebaliknya Pak Lah menaikkannya tanpa sebarang tanda-tanda awal.

Tinjauan BebasBersuara ke stesen-stesen minyak mendapati kenderaan berpusu-pusu dan kesesakan yang agak panjang berlaku. Lebih dikesali ada pengusaha stesen minyak menutup beberapa pam dan hanya membuka 2 atau 3 pam sahaja dengan alasan kehabisan minyak.

Bayangkan jika rakyat di Sabah yang agak miskin menikmati harga petrol baru, kita akan melihat kemungkinan ada keluarga yang akan makan bukan saja ubi kayu sebaliknya siput babi juga.

Para pemimpin Sabah yang sayangkan anak bangsa mu, diharapkan terus memberikan “nasihat” kepada pemimpin BN pusat agar tidak memperbodohkan rakyat dengan tindakan ini.

http://kebebasanbersuara.blogspot.com

Thursday, June 5, 2008

Pakatan Rakyat komited turunkan harga minyak - Anwar


Azamin Amin
Thu | Jun 05, 08 | 11:22:05 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membantah keras sikap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terus mengabaikan tanggung jawab dan membebankan rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar yang diumumkan semalam.

"Saya ulangi pendirian saya dan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak dan meletakkan asas ekonomi manusiawi," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau menyatakan kenaikan tersebut menyebabkan kehidupan rakyat semakin rumit yang akan merebak kepada kenaikan taraf elektrik, kos pengangkutan dan harga barang keperluan yang lain.

"Persoalannya keuntungan Petronas yang jenuh melimpah tertiris dan bocor ke mana? Tidak ada pertanggungjawaban waima kepada Parlimen sekalipun.

"Yang arif mengenai kedudukan kewangan Petronas hanya Perdana Menteri dan yang terserlah adalah projek mega dan koridor (ekonomi)!" katanya yaang membidas pembaziran wang rakyat oleh kerajaan.

Beliau menyatakan bahawa rakyat bukan sahaja dinafikan maklumat malah limpahan dan habuan dari khazanah utama negara tidak dirasakan tetapi manfaatnya hanyalah buat keluarga dan kroni yang sekonyong-konyong dianugerah kontrak dan projek.

"Inilah yang kami sering ungkapkan sebagai pengurusan ekonomi yang lembab dan tidak bertanggungjawab. Amalan hidup pimpinan negara terus boros, pembaziran dan rasuah terus berleluasa.

"Setelah gagal mengurus ekonomi dan menjamin keselesaan hidup rakyat, pimpinan Umno-BN seharusnya berundur!" katanya. - tajdid

Petikan Harakah Daily

Ekoran harga minyak naik, PM buat negara 'huru-hara'

M Khaleel Kas
Thu | Jun 05, 08 | 7:28:45 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Pengumuman kenaikan harga minyak oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya semalam telah menyebabkan keadaan huru-hara di ibu kota dan seluruh negara.



Selepas pengumuman tersebut, wartawan Harakahdaily yang melakukan tinjauan sekitar Kuala Lumpur mendapati semua stesen minyak di ibu kota menjadi sesak dan hampir tidak terkawal.

Tindakan para pemilik kenderaan yang berpusu-pusu mengisi minyak di stesen minyak Caltex di Jalan Pahang Barat telah menyebabkan kesesakan di Bulatan Pahang dan manakala keadaan serupa di stesen minyak Petronas di Jalan Tun Razak telah mengakibatkan kesesakan teruk di sepanjang jalan berkenaan.

Seorang petugas di stesen Caltex di Jalan Pahang yang enggan dikenali berkata, keadaan agak sukar dikawal kerana para pengguna seolah-olah diserang histeria.

"Seawal jam 5 petang kenderaan mula berpusu. Ramai yang serbu sehingga ada beberapa pelanggaran kecil dan situasi di hadapan Hospital Tawakal sesak teruk,"jelasnya.



Sementara itu, seorang penunggang motosikal yang ditemui, Birang Abdullah, 58, berkata ada pengusaha stesen yang sengaja menutup perniagaan lebih awal.

"Ini dah stesen keempat saya masuk. Sebelum ini beberapa stesen mereka tutup dan hanya dibuka satu atau dua pam sahaja.

"Bila kita soal mereka kata minyak dah habis. Mana boleh begitu, takkan baru jam 6 petang dah habis. Mesti mereka berkomplot nak jual dengan harga baru lepas tengah malam tadi," marahnya setelah gagal untuk mengisi minyak di beberapa stesen minyak sebelum itu.

Selain itu, beliau juga agak kesal kerana ada pengusaha yang menolak untuk mengisi minyak apabila beliau membawa tong minyak tambahan.

"Mana ada undang-undang kata kita tak boleh isi tong tambahan, saya bukan nak seludup hanya nak isi tong tambahan untuk motosikal saya yang satu lagi di rumah," ulasnya sambil menunjukkan sebuah tong kosong sebesar tong minyak pelincir 4 liter.

ImageSementara itu di jalan-jalan lain, warga kota turut mengambil peluang yang ada sehingga tengah malam tadi untuk mengisi petrol kenderaan mereka.

Kesemua stesen minyak yang terletak di sekitar bandar raya "ditawan" dalam masa beberapa minit sahaja selepas kenaikan bahan api diumumkan Abdullah.

Tinjauan juga mendapati Jalan Kuching, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Bangsar, Jalan Sultan Ismail, Cheras dan Ampang antara jalan yang paling teruk mengalami kesesakan lalulintas.

Di Jalan Kuching misalnya kenderaan bergerak terlalu perlahan dalam jarak empat kilometer. Seorang pengurus stesen minyak Shell di Batu 5, Gombak, Abdul Selamat, 45, berkata beliau terkejut dengan ratusan kenderaan yang menyerbu stesen minyak itu.

"Ini adalah kali pertama keadaan seumpama ini berlaku sejak 1998. Sehingga kami terpaksa meminta lori tangki petrol datang isi simpanan petrol.

Ada juga pemilik kenderaan yang tidak sabar dan potong barisan," katanya ketika ditemui di sini.


Kesesakan lalulintas ini menyebabkan polis trafik terpaksa ditugaskan bagi mengawal keadaan di beberapa jalan yang sesak teruk.

Ada juga kenderaan yang kehabisan petrol, akibat terperangkap terlalu lama dalam kesesakan lalulintas dan ada juga yang berlanggar sesama sendiri untuk berebut mengisi petrol.

Sementara itu sebuah stesen minyak di Taman Melawati terpaksa ditutup selepas kehabisan petrol.

Di PULAU PINANG, Bernama melaporkan sejam selepas Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel, hampir kesemua stesen minyak di negeri ini diserbu pengguna yang mahu mengisi tangki minyak kenderaan mereka sebelum pukul 12 malam ini.

Tinjauan di beberapa stesen minyak mendapati kenderaan beratur panjang sehingga menimbulkan kesesakan lalulintas yang teruk antaranya di Jalan Perak, Jalan Datuk Keramat, Jalan Argyll dan Jalan Anson.

ImagePetugas di stesen minyak juga dilihat sibuk melayan pelanggan manakala pemandu yang tidak tahu mengenai kenaikan harga petrol dan diesel berkuatkuasa esok kelihatan terpinga-pinga melihat kesesakan di stesen berkenaan.

Seorang pesara polis, Harun Ismail, 56, menyifatkan kenaikan harga petrol secara mengejut itu amat melampau dan membebankan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.

Harun, yang mengetahui mengenai kenaikan harga itu melalui berita TV petang ini, bergegas ke stesen berhampiran untuk mengisi tangki keretanya.

"Saya baru tengok berita petang ini. Kalau tanya semua pengguna pun mereka akan kata kenaikan ini sangat melampau.

Pengumuman dibuat tiba-tiba sahaja dan ini membebankan orang ramai terutamanya pesara macam saya," katanya.

Seorang kakitangan penjara, Suhaimi Ismail, 27, yang kebetulan berada di stesen minyak Jalan Perak terkejut melihat deretan kenderaan menunggu giliran.

Kakitangan MAS Kargo, Rahmat Abdul Majid,35, pula kesal dengan pengumuman itu kerana baru sahaja dimaklumkan bahawa kenaikan itu mungkin pada bulan depan atau Ogos ini.

"Ini melampau. Kata nak naik bulan Julai atau Ogos tetapi tiba-tiba sahaja umum esok akan naik harga.

Kerajaan perlu pantau balik keadaan ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim ketika dihubungi mahu kerajaan mencari jalan yang lebih efektif untuk mengurangkan beban rakyat terutamanya sewaktu harga barangan makanan semakin meningkat.

"Saya dukacita dengan berita kenaikan harga petrol dan diesel secara mendadak ini. Sepatutnya, setiap kenaikan harus dibuat secara beransur-ansur dan bukan drastik begini," katanya.

Ketika ditanya bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang kepada penduduk di sini, beliau berkata: "Kalau harga beras naik, kita boleh lagi bagi bantuan beras kepada orang miskin seperti yang telah kita lakukan baru baru ini tetapi sekarang harga minyak pula naik. Takkan kita kena bagi minyak pula."

Presiden Persatuan Teksi Orang India Pulau Pinang, P.Raman berkata, kenaikan harga petrol dan diesel akan memberi kesan kepada sektor pengangkutan.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan anggota persatuan itu dalam masa terdekat ini untuk menentukan sama ada tambang teksi akan dinaikkan atau tidak.

Pengerusi Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Wilayah Utara, Dato' O.K.Lee berkata, kenaikan harga petrol dan diesel serta kenaikan tarif elektrik sebanyak 18 peratus untuk pengguna domestik dan 26 peratus untuk industri akan memberikan kesan yang amat besar terutamanya pengusaha industri kecil dan sederhana (SMI) di negara ini.

Katanya, pengusaha berkenaan mungkin akan menaikkan harga produk dan beban kenaikan kos itu akan ditanggung rakyat yang menggunakan produk berkenaan atau terpaksa "menutup kedai" jika harga tidak dinaikkan.

Beliau bimbang Malaysia akan kehilangan kompetitif dari segi tarikan pelaburan berikutan kenaikan itu.

Katanya dengan kenaikan harga minyak, Petronas akan menjadi semakin kaya dan jika mereka menaikkan pula harga gas kepada pengeluar elektrik seperti Tenaga Nasional (TNB) dan pengeluar tenaga persendirian (IPP), mereka dijangka mempunyai keuntungan yang berlipat kali ganda.

"Saya cadangkan Petronas membiayai pengwujudan lebih banyak sistem tenaga pengangkutan seperti pengangkutan transit ringan (LRT) di negara ini bagi mengurangkan kos pengangkutan yang perlu ditanggung rakyat," katanya. - mks.

petikan Harakah Daily

Kenaikan harga minyak, hadiah kerajaan 'PM terlampau' - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Jun 04, 08 | 9:01:36 pm MYT

KOTA BHARU, 4 Jun (Hrkh) - Pengumuman kenaikan harga minyak (diesel RM1.00 dan petrol RM0.78 sen) oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai hadiah dari kerajaan 'PM terlampau' kepada rakyat.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kepada Harakahdaily hari ini ketika diminta mengulas pengumuman kenaikan harga minyak yang dibuat kerajaan sebentar tadi.

Sambil menyatakan ia sebagai satu tindakan yang terlampau, Mahfuz berkata kerajaan Abdullah Badawi sekali lagi menipu rakyat dengan tanpa sebarang petanda terus mengumumkan kenaikan harga minyak pada tahap tertinggi, sedangkan sebelum ini menyatakan kenaikan harga bahan bakar akan dikaji dan berkemungkinan berlaku pada Ogos ini.

Namun tanpa sebarang isyarat awal, kerajaan terus membelakangkan kepentingan rakyat dengan menaikkan sekali lagi harga minyak pada satu tahap yang cukup menjerat kehidupan rakyat.

"Ini keputusan dari kerajaan yang terlampau, rakyat dihadiahkan dengan kenaikan RM0.78 sen harga petrol sementara diesel sehingga RM1.00; satu kenaikan tertinggi yang pernah dicatatkan," ujarnya.

"Dengan tindakan ini, rakyat dihumban kerajaan Umno/BN kepada satu kehidupan yang lebih teruk tanpa sebarang belas kasihan," ujar Mahfuz.

Baginya tindakan ini sekali lagi satu penipuan di mana sebelum ini semasa pilihan raya umum yang lalu, kerajaan berjanji tidak akan menaikkan harga minyak.

Sebaliknya selepas tiga bulan pilihan raya umum berlalu dengan rakyat hampir menolak kerajaan yang ada, kerajaan BN membalas dendam dengan menaikkan harga kepada tahap yang melampau.

"Kita akan berbincang dengan NGO dan Pakatan Rakyat untuk membuat tindakan bantahan.

"Saya bimbang jika pilihan raya lalu rakyat telah memberi signal yang jelas kepada kerajaan agar jangan mempermainkan rakyat, kali ini rakyat bakal memberi signal kepada kerajaan untuk berundur dengan kenaikan harga minyak ini," ujarnya.

Sementara itu dalam tinjauan Harakahdaily di stesen-stesen minyak di sekitar Ketereh dan Machang, deretan kenderaan sedang bersesak untuk mengisi minyak berikutan pengumuman kerajaan sebentar tadi.

Kesesakan hampir 5 kilometer berlaku di Ketereh sementara di Kok Lanas pula kesesakan bermula daripada Jalan Kok Lanas ke Ketereh berhampiran Stesen Minyak Caltex Jalan Kota Bharu Kuala Krai.

Ramai yang ditemui merungut dengan kenaikan harga minyak yang melampau ini.

Petikan Harakah Daily

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...