Friday, June 6, 2008

Rebat tunai di 686 pejabat pos

KUALA LUMPUR 5 Jun - Bayaran subsidi minyak kepada pemilik kenderaan persendirian boleh ditunaikan di 686 rangkaian pejabat pos di seluruh negara.

Urusan pembayaran balik rebat tunai itu berkuat kuasa pada 1 Julai ini.

Pemangku Pengarah Urusan Pos Malaysia Berhad, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya bersedia mengendalikan urusan pembayaran balik rebat tunai seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

"Selaras dengan keputusan kerajaan, pemilik kenderaan yang layak mendapatkan subsidi ini boleh mengemukakan tuntutan mereka di pejabat pos mulai 1 Julai,'' katanya.

Beliau berkata, pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan dari 1 April lalu sehingga 31 Mac tahun hadapan boleh mendapatkan bayaran balik subsidi tahunan sebanyak RM625 bagi setiap kenderaan.

Abdullah turut berkata, pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun dan bayaran tunai itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan melalui Pos Malaysia.

Abu Huraira berkata, pemilik kenderaan yang datang sendiri untuk mendapatkan subsidi tersebut di pejabat pos akan menerima bayaran secara tunai.

Katanya, bagi mereka yang melantik pihak ketiga untuk mendapatkan subsidi ke atas pemilikan kenderaan tersebut, pemiliknya akan menerima subsidi dalam bentuk Kiriman Wang.

Beliau berkata, orang ramai perlu menunggu pengumuman berhubung prosedur dan dokumen yang perlu dikemukakan sebelum pembayaran subsidi dilakukan.

"Maklumat lanjut untuk pembayaran subsidi akan diumumkan dalam tempoh terdekat,'' katanya.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Pos Malaysia di talian 1-300-300-300 atau layari laman web www.pos.com.my.

petikan utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...