Friday, June 6, 2008

Pemberian air percuma seperti dijanjikan

SHAH ALAM 5 Jun - Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor memberi jaminan rakyat di negeri itu akan menikmati kemudahan air percuma bagi 20 meter padu pertama bermula bulan ini seperti yang dijanjikan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebarang permasalahan antara pihak-pihak berkaitan berhubung pemberian air percuma yang timbul sebelum ini telah diselesaikan.

"Kita berjaya menemui kaedah penyelesaian berhubung masalah yang timbul sebelum ini.

"Mulai esok semuanya selesai dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) akan mengenakan potongan untuk 20 meter padu pertama air pada bil pengguna," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek sumbangan Piala Sultan Selangor 2008 yang dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini hari ini.

Bermula 1 Jun, kira-kira 1.5 juta pengguna meter individu di Selangor akan menerima air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan atau bersamaan RM11.40 sebagai memenuhi satu daripada manifesto yang dijanjikan oleh pakatan pembangkang dalam kempen pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, Syabas dalam kenyataannya hari ini memaklumkan akan mengeluarkan bil air kepada pengguna di Selangor seperti biasa tanpa sebarang penurunan atau potongan subsidi sehingga ada arahan bertulis daripada kerajaan negeri dan Pusat.

Keputusan itu dibuat kerana perbincangan antara Syabas dengan kerajaan negeri Selangor masih belum ada keputusan berikutan banyak perkara yang perlu diambil kira seperti perundangan, kos dan kelulusan kerajaan Pusat.

Ditanya tindakan Syabas itu, Abdul Khalid menjelaskan, terdapat salah faham antara syarikat tersebut dengan kerajaan negeri.

"Persoalan yang timbul adalah siapa yang sepatutnya mengeluarkan surat arahan kepada Syabas.

"Sebenarnya arahan rasmi datangnya daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (yang memiliki 30 peratus saham dalam Syabas) dan bukan kerajaan negeri," ujarnya.

Sementara itu pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin menerima cek-cek sumbangan bernilai RM800,000 daripada para penaja Piala Sultan Selangor 2008 yang akan berlangsung esok di Stadium Shah Alam.

Piala Sultan Selangor yang diperkenalkan pada 2001 akan menampilkan aksi dua perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor bertemu Pilihan Singapura dan Veteran Selangor bertemu Veteran Singapura.

Pengunjung yang membeli tiket perlawanan bernilai RM5 berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik dan menyaksikan persembahan hiburan oleh artis-artis popular seperti Ella, Mas Idayu serta David Arumugam daripada Kumpulan Alleycats.


petikan utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...