Friday, June 6, 2008

Sepanyol makin gah

SANTANDER, Sepanyol – Sepanyol terus mengekalkan kehebatan sebagai pasukan yang tidak dapat ditewaskan untuk 16 perlawanan berturut-turut apabila menewaskan Amerika Syarikat 1-0 pada perlawanan terakhir sebelum saingan Kejohanan Eropah (Euro 2008).

Bagaimanapun, gol tunggal yang dijaringkan oleh Xavi Hernandez pada minit ke-79 itu telah menukar keseluruhan perlawanan apabila ia menjadi tegang dan tidak teratur.

“Jika kami bermain dengan rentak yang sama seperti di separuh masa pertama, ia akan menjadi sukar. Kami tidak mempunyai pilihan.

“Mempunyai pemain di bahagian sayap pasukan, kami boleh menghasilkan lebih banyak peluang dan ia adalah perlawanan baik kami dalam bola sepak,” kata jurulatih Sepanyol, Luis Aragones.

Pemain tengah Barcelona, Xavi menyentak semangat penyokong Amerika Syarikat apabila berjaya menewaskan penjaga gol gantian lawan, Brad Guzan menerusi percubaan rendah.

“Mereka (Sepanyol) tidak banyak mempunyai peluang pada perlawanan tersebut dan saya fikir, jika itu sahaja yang boleh dilakukan oleh mereka, ia seharusnya menjadi tumpuan utama untuk difikirkan.

“Adakah itu sahaja cabaran yang boleh diberikan oleh mereka apabila bermain dalam perlawanan akhir sesi pemanas badan, sebelum menyertai kejohanan besar dan ia sebahagian daripadanya,” kata jurulatih Amerika Syarikat, Bob Bradley.

Pada perlawanan menentang Peru, Satu lalu, Sepayol menjaringkan gol di masa kecederaan untuk menang 2-1.

Kemenangan kali ke-33 yang dicapai oleh Aragones itu menyaksikan dia telah melepasi Miguel Munoz, iaitu jurulatih kedua Sepanyol paling berjaya membimbing pasukan tersebut.

Aragones yang berusia 69 tahun itu mendahului Javier Clemente dengan tiga kejuaraan setakat ini.

Sepanyol akan membuka saingan Kumpulan D Euro 2008 dengan bertemu Rusia, Selasa ini dan diikuti pertemuan seterusnya dengan Sweden dan penyandang juara, Greece.

“Kami akan bersaing. Suasana dalam pasukan adalah terbaik setakat ini dan jurulatih mempunyai keyakinan bahawa kami boleh melakukannya,” kata pemain konsisten Sepanyol, Xavi.

Pada perlawanan tersebut, beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan, termasuk penyerang berbisa David Villa yang masih dibelenggu dengan kecederaan teruk serta Andres Iniesta yang mengalami keracunan makanan.

Ketiadaan pemain tersebut mungkin mendorong Aragones menggunakan Fernando Torres sebagai penyerang solo, iaitu seperti sistem yang digunakan olehnya untuk memperoleh kedudukan teratas dalam kumpulan ketika kelayakan Euro 2008.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...