Sunday, July 27, 2008

SEKITAR MESYUARAT BAHAGIAN MCA

mStar Online
27-07-2008 08:23:27 PM

BERIKUT GAMBAR PERSEKITARAN MESYUARAT BAHAGIAN MCA DI SELURUH HARI INI, YANG BERLANGSUNG SEJAK PAGI HINGGA MALAM

NAIB Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat (tengah) berbincang dengan penyandang jawatan Ketua Bahagian Puchong, Wong Hock Aun (kiri) dan timbalannya, Choo Choong Hee (kanan) ketika merasmikan mesyuarat bahagian itu hari ini.

SETIAUSAHA Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan berucap pada mesyuarat Bahagian Tapah hari ini.

DATUK Peter Lai Yit Fee mengangkat tangan selepas diumumkan pemenang dalam pemilihan merebut jawatan Ketua Bahagian MCA Seremban yang diadakan di Sekolah Tinggi Chung Hua, Seremban hari ini. Dia yang mendapat undi sebanyak 212 mengalahkan dua calon lain iaitu Datuk Lee Yuan Fong yang mendapat 134 undi dan Ng Chee Kong yang hanya mendapat 10 undi. --fotoBERNAMA

DATUK Ti Lian Ker dijulang penyokong-penyokongnya selepas diumumkan pemenang dalam pemilihan Ketua MCA Bahagian Kuantan bagi penggal 2008-2011 di Kuantan hari ini. Beliau yang merupakan penyandang jawatan itu, mengalahkan pencabarnya Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Chang Hong Seong dengan undian sebanyak 159 undi berbanding 77 undi. --fotoBERNAMA

Samy Bidas Golongan Yang Hanya Berminat Dengan Jawatan

27 Julai, 2008 18:27 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, hari ini membidas pemimpin "tertentu" parti yang telah memulakan kempen untuk jawatan peringkat pusat, sungguhpun pemilihan MIC hanya akan berlangsung sepuluh bulan lagi.

"Saya masih belum membuat sebarang persetujuan kepada sesiapa (untuk bertanding bagi jawatan dalam pemilihan parti). Ada ramai orang yang hanya begitu berminat untuk bertanding dalam pemilihan jawatan sahaja. Mereka tidak peduli tentang masyarakat India. Saya berada di pejabat dan bekerja dari 10 hingga 12 jam.

"Kesimpulan saya ialah, kita kalah dalam pilihan raya, kita kehilangan sokongan masyarakat India. Saya bekerja keras untuk membawa semula masyarakat kepada kita tetapi ada segelintir pihak dalam MIC yang hanya memikirkan mengenai jawatan 24 jam setiap hari. Itu saja yang mereka fikir dan usahakan," kata ahli politik kanan itu yang mengetuai parti politik berasaskan masyarakat India terbesar di negara ini selama hampir 30 tahun.

MIC akan mengadakan pemilihan presiden pada Mac, 2009 manakala pemilihan bagi jawatan peringkat pusat yang lain -- timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat -- akan berlangsung pada Jun, tahun depan.

"Saya fikir ini amalan yang sangat tidak baik (berkempen untuk memperoleh jawatan tanpa bekerja untuk parti) yang kita tidak sepatutnya galakkan. Saya pernah katakan sebelum ini jika sesiapa merasakan mereka mendapat sokongan daripada perwakilan, mereka boleh bertanding... tidak ada siapa pun yang menghalang mereka daripada bertanding," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi Pekerja Jaya Bhd (KPJ) di ibu pejabat parti di ini. KPJ adalah sayap koperasi MIC.

"Malah jika ada sesiapapun yang mahu bertanding jawatan presiden... biarkan mereka bertanding. Terpulang kepada perwakilan untuk memilih. Sekarang adalah masa untuk kita bersatu... sekarang adalah masa untuk kita membawa semula masyarakat bagi memastikan Barisan Nasional memenangi pilihan raya akan datang. Itulah yang sedang kita usahakan," kata bekas Menteri Kerja Raya.

Samy Vellu berkata berdasarkan siri jelajahnya ke seluruh negara sehingga kini, "saya mendapat banyak sokongan", dan rakyat menyatakan bahawa mereka melakukan kesilapan dengan mengundi pembangkang.

"Sekarang mereka mahu kembali semula kepada MIC dan memperbetulkan kesilapan yang dilakukan. Saya berasa sangat gembira.

"Saya tahu ada sesetengah orang yang mempunyai ketagihan... ketagihan itu ialah mereka mahu berada dalam politik. Bagi saya politik adalah satu permainan. Dalam politik, kalau anda bekerja untuk rakyat, anda akan kekal, kalau anda tidak bekerja untuk rakyat, anda tidak (dikekalkan)," katanya.

Beliau berkata terdapat dua jenis ahli politik dalam MIC, satu daripadanya mahu menjadi instrumen kepada rakyat untuk maju manakala jenis yang satu lagi hanya memikirkan tentang diri sendiri dan "ahli politik jenis ini, tidak mengambil berat mengenai rakyat".

-- BERNAMA

ni sorang lagi. Bekas Menteri yang tak reti-reti sedar diri.

Tidak Mustahil Umno-PAS Bersatu, Kata Ahmad Shabery

27 Julai, 2008 14:04 PM

KUALA TERENGGANU, 27 Julai (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata penyatuan antara Umno dan PAS bukan sesuatu yang mustahil kerana kedua-dua parti itu pernah bersatu di bawah sebuah pakatan sebelum ini.

Beliau berkata apa yang lebih penting, kedua-dua parti itu perlu berbincang dengan hati yang ikhlas bagi memastikan penyatuan itu dapat memberi kebaikan kepada mereka.

"Insya-Allah...tiada apa yang mustahil kalau kita lihat kepada sejarah dahulu pun pernah waktu yang lebih runcing lagi pada 1969, akhirnya kita boleh wujudkan satu formula yang lebih besar iaitu pakatan yang dinamakan Barisan Nasional (BN), bersama PAS," katanya.

Ahmad Shabery diminta mengulas mengenai cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik semalam, supaya UMNO dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ramah mesra Pengerusi Badan Perhubunan Umno Terengganu Datuk Ahmad Said dengan pemimpin empat peringkat Bahagian-Bahagian Umno negeri itu di sini malam tadi.

Menteri Besar Kelantan itu berkata Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar.

Mengulas perkara itu, Ahmad Shabery berkata tiada sebab kenapa kedua-dua parti itu tidak boleh mencari formula untuk bersatu demi kepentingan negara pada masa depan dan ia tidak semestinya melihat hanya untuk orang Melayu dan Islam tetapi perpaduan yang boleh dimanfaatkan oleh semua kaum di negara ini.

Beliau berkata kedua-dua parti berkenaan perlu melihat penyatuan itu dalam konteks yang lebih besar berbanding sebelum ini, terutama dalam menghadapi keadaan sekarang yang lebih mencabar.

"Kalau ada hasrat suci untuk melihat ada penyatuan di kalangan orang Melayu dan Islam, saya rasa baik kita kembali kepada asal iaitu pakatan yang pernah kita tubuhkan atas nama UMNO itu sendiri.

"Kalau kita ikhlas tentang soal penyatuan, soal apakah bentuknya tidak penting. Tetapi yang pentingnya kesediaan untuk kita duduk berbincang dan muzakarah, dapat kita teruskan.

"Kita tidak mengenakan apa-apa syarat sebab bagi PAS sendiri sekiranya dia boleh duduk bersama parti-parti lain yang tidak pun bercakap tentang soal Islam, yang ada rekod menentang negara Islam, kenapa ia ingin mengenakan pelbagai syarat dan bentuk kerjasama dengan UMNO," katanya.

-- BERNAMA

UMNO berminat nak bergabung sebab depa semua tak nak Pak Lah jadi PM. Bila bergabung, Tuan Guru Haji Hadi jadi ketua pakatan dan seterusnya PM Malaysia ke 6. Hehehehe ...

Pemimpin T'ganu Kurang Senang Laporan Media Berhubung Isu Mercedes

27 Julai, 2008 13:25 PM

KUALA TERENGGANU, 27 Julai (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata ahli politik perlu bersikap positif berhubung peranan yang dimainkan media dalam melaporkan sesuatu isu sehingga mendapat perhatian umum.

"Media hanya melaporkan dan kita mesti lihat laporan itu secara positif kerana apa sahaja yang melibatkan rakyat sudah tentu rakyat ingin tahu. Ini peranan media.

"Seperti apa yang disebut oleh falsafah Perancis, dalam negara yang mengamalkan demokrasi, media adalah "estet keempat" iaitu organisasi keempat terpenting dalam masyarakat," katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra Menteri Besar Datuk Ahmad Said dengan pemimpin empat peringkat Bahagian-bahagian Umno negeri itu di sini malam tadi.

Dalam konteks itu, Ahmad Shabery berkata semua pihak perlu mencari jalan penyelesaian terbaik, misalnya PROTON, pengeluar kereta nasional, mesti memperbaiki mutu kenderaan yang dikeluarkannya kerana sebagai kereta yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin negara, tahap keselamatannya perlu dipertingkatkan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap segelintir pemimpin di negeri itu yang kurang senang terhadap pendedahan media berhubung isu penggunaan Mercedez E200 Kompressor oleh kerajaan Terengganu sebagai kenderaan rasmi bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive.

Isu itu timbul apabila wartawan bertanyakan soalan mengenai isu itu kepada Menteri Besar selepas majlis itu.

Mereka yang hadir dalam sidang akhbar itu mempertikaikan wartawan yang menyiarkan isu berkenaan dan menganggap tahap kredibiliti golongan itu rendah dan soalan yang ditanya berhubung perkara tersebut tidak bertaraf nasional dan antarabangsa.

"Wartawan pun kena belajar tanya soalan...biar "kelas" sikit. Isu benda-benda (apa jua isu) biar nasional, biar antarabangsa punya soalan," kata seorang daripada pemimpin terbabit.

Semasa soalan itu diajukan, Ahmad kelihatan tenang tetapi beberapa pemimpin negeri mencelah dan meluahkan perasaan tidak puas hati berhubung tindakan media memainkan isu penggunaan Mercedes.

Seorang lagi pemimpin terlibat mempersoalkan tindakan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan isu berkenaan di muka hadapan akhbar tersebut pada Ahad lepas sehingga ia menjadi besar dan menimbulkan polemik yang melibatkan perhatian umum.

"Saya lihat kualiti wartawan kita bila buat soalan...apa yang awak semua mahu. Adakah (berita) dipantau oleh pengarang atau memang awak fikir berita ini (penggunaan Mercedes) baik untuk rakyat atau kerajaan," soalnya.

Bagi pemimpin berkenaan, isu pembelian Mercedes itu yang melibatkan perbelanjaan lebih RM3 juta adalah jumlah yang kecil bagi perbelanjaan sesebuah kerajaan negeri dan beliau hairan mengapa ia diperbesar-besarkan.

"Awak fikir RM3 juta beli Mercedes ini besar sangat bagi sesebuah negeri. Apa pendapat wartawan? Kenapa tidak paparkan perkara-perkara yang positif. Cuba anda jawab," katanya.

-- BERNAMA

RM3 Juta memang lah tak besar bagi orng UMNO, tapi bagi rakyat terutamanya golongan miskin dah boleh beli berapa kampit beras?
Inilah mentaliti pemimpin BN.

Saturday, July 26, 2008

7 Lagi Bekas Adun BN, Bakal Ikuti Jejak Dato' Fauzi !!

Blog Cucumatkilau:u. www.cucumatkilau.blogdrive.com]


Tamparan hebat buat UMNO/BN Pahang, maklumat terkini diterima tujuh lagi bekas Adun BN bakal mengikuti jejak langkah Dato' Fauzi Abd Rahman. Memang inilah yang ingin disaksikan sejak sekian lama, evolusi kehancuran "Dinasti UMNO" di Pahang akan bermula. Biarpun ada dikalangan pemimpin UMNO Pahang yang masih mempertahankan kononnya UMNO makin utuh biarpun tokoh UMNO Pahang itu menyertai PKR baru-baru ini. Namun mereka harus ingat dan sedar bahawa Fauzi bukan sembarangan. Beliau merupakan bekas Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Ahli Parlimen, ADUN dan juga Ketua UMNO Bahagian. Bahkan, ayahandanya juga adalah merupakan bekas Menteri Pelajaran yang cukup terkenal di zaman PM Tuanku Abdul Rahman. Maka itu, UMNO Pahang harus menerima kenyataan bahawa kemasukan Fauzi bakal mendorong lebih ramai lagi pemimpin UMNO Pahang berbuat demikian.

MB Pahang, Dato' Nan kini semakin kepanasan. Tidurnya juga mungkin tak lena. Mandi mungkin tak basah. Apa tidaknya, penyertaan Fauzi dalam PKR merupakan satu tamparan hebat buat kepimpinan beliau. Sebelum ini UMNO Pahang dikecohkan dengan tindakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga bekas Adun Lepar, Dato' Tajuddin Sulaiman meletakkan jawatannya. Kini angin semakin bertiup kencang bahawa negeri Pahang bakal menerima kejutan yang lebih besar selepas ini. Umum sudah mengetahui bahawa, sebuah syarikat pembalakan telah menyaman dan menfailkan tindakan mahkamah untuk menyita negeri Pahang. Ini kerana kegagalan UMNO Pahang untuk mematuhi arahan mahkamah yang mengarahkan kerajaan negeri membuat bayaran gantirugi jutaan ringgit terhadap syarikat terbabit, akibat penipuan isu balak.

Baru-baru ini juga turut didedahkan tentang penjualan tanah UMNO Pahang kepada syarikat asing dan juga pembalakan haram yang masih berleluasa di negeri ini. Entah apa nak jadi dengan negeri Darul Makmur ini, sejak sekian lama segala hasil mahsul negeri diceroboh oleh pemimpin-pemimpin yang rakus dan tamak. Sebelum ini juga Dato' Fauzi pernah membuat laporan polis tentang penyelewengan yang dilakukan oleh bekas MB yang kini menjadi "Sultan" Melaka iaitu Khalil Yaakob terhadap isu pembalakan. Apa tidaknya, bagi memastikan Sabah jatuh ketangan BN, Khalil telah merompak hasil balak Pahang hingga ke tahun 2010. Habis hutan dara ditarahnya. Akhirnya, beliau bertuah kerana dianugerahkan gelaran "Tun" dan menjadi "Yang Di Pertua Melaka" oleh PM Mahathir hasil jasa-jasanya itu. Entah mengapa, sejak sekian lama isu pencerobohan tanah dan balak Pahang tidak dapat dibenteras oleh pemimpin UMNO/BN ini?. Apakah yang mereka lakukan selama ini agaknya.

Difahamkan, sebenarnya pencerobohan balak di Pahang didalangi oleh pemimpin UMNO negeri ini sendiri. Ia sebenarnya pencerobohan berlesen yang langsung tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Apa tidaknya, jika ada pun pegawai perhutanan yang ingin menyiasat dan mengambil tindakan. Maka amaran keras akan diberikan oleh penceroboh itu sendiri, seolah-olah ada "lampu hijau" dari pihak atasan. Jika tidak pun, semua pegawai terbabit akan disuap siap-siap dengan "imbuhan" untuk tujuan menutup mulut. Justeru itulah, dari sehari ke sehari kawasan hutan di Pahang semakin pupus. Jika UMNO/BN terus diberi kuasa, maka sudah pasti generasi akan datang tidak lagi dapat hidup aman dan makmur seperti yang terdapat dalam motto pilihanraya BN baru-baru ini.

Akibat kesedaran yang maha meluap-luap inilah menyebabkan rakyat sudah mula celik dan menuntut perubahan. Hasilnya, belum pernah tercipta dalam sejarah dua buah kawasan parlimen paling penting di Pahang telah berjaya ditakluki oleh Pakatan rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu. Bahkan, lima buah DUN juga telah jatuh biarpun selama ini ianya terlalu sukar untuk diramalkan. Sokongan rakyat sebenarnya semakin melonjak, apatah lagi kini dengan isu "liwat" Anwar Ibrahim. Rata-rata rakyat sudah muak dengan "sandiwara politik" ciptaan UMNO ini. Majoritinya sudah tidak yakin lagi dengan apa yang disajikan. Mereka melihat dan yakin bahawa kes terbaru Anwar ini adalah sememangnya satu tindakan drastik untuk menghalang Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Mereka sedar, jika ini berlaku ramai pemimpin UMNO/BN ini akan "terkencing" di buatnya apabila sistem kehakiman di negara ini dirombak dan diperbetulkan kembali nanti.

Lantaran itulah kemarahan rakyat tidak dapat dibendung lagi kini !. Jika Anwar menjadi pencetus gelombang kebangkitan rakyat di seluruh negara. Maka, Fauzi bolehlah dianggap pencetus gelombang perubahan di negeri Pahang. Maka itu, hijrahnya Fauzi ke dalam PKR bakal menyaksikan lebih ramai pemimpin UMNO/BN Pahang berbuat demikian. Harus diingat, Fauzi lebih hebat dari Adnan Yaakob, Tan Aminuddin, Sharkar Shamsuddin serta lain-lain exco kerajaan negeri sekarang. Mungkin boleh dikatakan ketokohan Fauzi berada setakuk di belakang Najib di bumi Darul Makmur ini. Jika Najib mewarisi kepimpinan ayahandanya PM Tun Razak. Maka, apa kurangnya Fauzi, beliau turut mewarisi ketokohan ayahandanya Abd rahman Talib, bekas menteri di zaman Tuanku. kekuatan inilah yang diramalkan bakal menyaksikan satu gelombang kebangkitan yang lebih besar di negeri Pahang selepas ini.

Maklumat diterima daripada SB Cucu, tujuh lagi bekas Adun BN dari UMNO bakal mengucapkan selamat tinggal kepada parti karat itu. Mungkin masanya sudah tiba untuk mereka bersama rakyat, setelah berjuang sekian lama dalam UMNO. Kabarnya, beberapa pertemuan "sulit" telah diatur di dalam dan luar negara sebelum ini. Pertemuan tersebut telah diuruskan oleh salah seorang bekas pemimpin kanan PKR Pahang, yang kini tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti lagi. Menurut laporan, hasil pertemuan tersebut kesemua mereka telah bersetuju untuk "mengganyang" pimpinan UMNO Pahang dalam pilihanraya umum akan datang.

Mereka kini hanya menunggu isyarat rasmi daripada pihak tertentu untuk tujuan ini. Sebelum ini UMNO Pahang telah dikecohkan apabila dua orang pemimpin UMNO yang berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri dikatakan bakal bersama Pakatan Rakyat. Laporan tersebut menyebabkan UMNO Pahang sedikit bergolak hingga memaksa individu terbabit membuat kenyataan terbuka yang mereka masih sayangkan UMNO. Begitulah nasib wakil rakyat UMNO ini sebenarnya, biarpun mereka sudah jijik berada dalam parti karat itu namun dek kerana tekanan akhirnya mereka terpaksa akur dan tidak tergamak untuk berpaling tadah.

Apapun, kita masih menantikan lebih ramai lagi pemimpin UMNO negeri untuk melakukan penghijrahan selepas ini. Mungkin ada yang membuat kenyataan secara terbuka dan ramai juga yang secara senyap-senyap. Inilah yang amat ditakuti oleh UMNO Pahang sebenarnya. Mereka tahu, Pahang masih selamat dari gelombang "Tsunami Pilihanraya" kerna paksaan, sogokan dan tekanan yang dibuat kepada golongan peneroka Felda dan orang asli di negeri ini. Umum mengetahui bahawa negeri Pahang mempunyai skim rancangan Felda yang paling luas. Tambahan pula menteri yang ditugaskan menjaga Felda ialah, anakanda pengasas Felda (Tun Razak) itu sendiri iaitu Najib. Maka itulah ada yang mengatakan Pahang terlalu sukar untuk jatuh ke tangan pembangkang. bayangkan setiap kali musim pilihanraya, berbagai tekanan dibuat terhadap peneroka. Itu belum termasuk "imbuhan ribuan ringgit" yang dihulur beberapa hari menjelang hari pengundian. Atas alasan inilah, Pahang dilihat terlalu sukar untuk ditakluki.

Namun, manusia hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Siapa sangka Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang boleh jatuh ke tangan Pakatan rakyat baru-baru ini?. Semuanya kerana takdir dan perubahan minda rakyat yang berlaku sejak sekian lama. Maka itu, kemasukan Fauzi ke PKR diharap bakal meranapkan "rejim UMNO" di negeri ini. Kita juga berharap agar tujuh bekas Adun yang kini sedang memanaskan badan di bangku simpanan sudah bersedia untuk masuk ke padang, bagi berjuang membela nasib rakyat. Soalnya, siapakah bekas Adun dan YB terbabit? Nantikan "pembongkaran" seterusnya selepas ini. Apapun, lebih elok nama-nama mereka ini "dirahsiakan" terlebih dahulu, kerana kita khuatir mereka juga akan diberi tekanan oleh pemimpin UMNO negeri selepas ini. Mungkin mereka bakal melakukannya bila-bila masa sahaja mulai sekarang. Sama-sama kita nantikan dan berdoa agar pendirian mereka tidak akan berubah walau apa jua dugaan yang bakal mendatang.

[ Apakah kepimpinan PKR Pahang bakal berubah dengan kemasukan para pemimpin UMNO yang cukup berpengalaman dan amat dikenali ini?. Segalanya berkemungkinan sekarang. Apapun Cucu ucapkan ribuan terima kasih kepada SB Cucu atas maklumat terkini ini. Mungkin beliau juga akan kembali bersama kepimpinan PKR Negeri tidak lama lagi ].

Blog Cucumatkilau:u. www.cucumatkilau.blogdrive.com]

- Cucu Mat Kilau

25.07.2008

Lima Lagi Dipanggil BPR Beri Keterangan Kes Perdana V6

26 Julai, 2008 22:25 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Julai (Bernama) -- Lima lagi individu dipanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi memberi keterangan berhubung kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco dan pegawai kanan kerajaan Terengganu antara 2004 dan 2008.

Pengarah BPR negeri Sharuddin Sapian berkata jumlah itu menjadikan sembilan orang telah dipanggil setakat ini, untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata lima individu itu adalah orang awam dan mereka telah dipanggil memberikan keterangan di pejabat BPR, sejak dua hari lepas.

"Kami mungkin memanggil beberapa lagi saksi bagi memberi keterangan dari semasa ke semasa, jika perlu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, antara lima individu yang dipanggil itu ialah mekanik bengkel kereta berkaitan, yang bertanggungjawab menyenggara kenderaan rasmi kerajaan Terengganu.

Sharuddin berkata kes itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1967.

Dua hari lepas, Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mokhtar Nong mengesahkan empat pemandu exco kerajaan negeri telah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive kerajaan negeri, yang disifatkan terlalu tinggi.

Sebelum itu, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi iaitu berjumlah RM1.07 juta untuk menyenggara kesemua 15 kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu, sejak 2004 hingga 2008.

Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said untuk meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

-- BERNAMA

Dokumen Lama Yang Mungkin Disorok Sukarkan Proses Tuntutan Dokumen, Kata Sidek

26 Julai, 2008 22:22 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Proses menuntut dokumen-dokumen lama berkaitan Malaysia yang disimpan di peringkat antarabangsa amat sukar dibuat ekoran timbulnya masalah-masalah seperti kewujudannya yang tidak dapat dikesan dan kemungkinan ia 'disorok' pihak tertentu.

Ketua Pengarah Arkib Negara Sidek Jamil berkata faktor itu merupakan salah satu punca mengapa dokumen berkaitan sejarah negara sukar dituntut, dan bukan semata-mata kerana kurangnya kerjasama daripada negara terbabit.

"Biasanya kita minta dalam bentuk salinan 'mikrofilem' dan ada sesetengah negara yang tidak mempunyai atau tidak mampu membuatnya (salinan mikrofilem)," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Kongres Arkib Antarabangsa (ICA) ke-16.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal Khamis lepas yang mahukan Sidek menggunakan ICA untuk mendapatkan dokumen lama berkaitan negara yang disimpan di luar negara. Sidek berkata dalam Kongres ICA yang berakhir hari ini, beliau turut membangkitkan masalah berhubung perkongsian dokumen maklumat dan berbincang mengenai isu berhubung dokumen bersejarah sesebuah negara yang disimpan di negara lain.

Menurutnya jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa serta penyelidikan yang terperinci amat diperlukan bagi mengesan kedudukan sesebuah dokumen asal yang lama.

Sidek seterusnya berkata Kongres ICA juga membuat ketetapan untuk memberikan Algeria tanggungjawab menyediakan kertas kerja serta cadangan bagi membangunkan polisi dan mewujudkan rangkaian antara anggota ICA dalam memperoleh kembali sesuatu dokumen asal.

"Algeria akan buat cadangan yang akan dibawa kepada ICA untuk dibincangkan, seperti langkah mewujudkan perjanjian antara negara," katanya.

Beliau berkata Algeria dipilih kerana mereka mempunyai latar belakang mengendalikan penyelesaian kes menuntut kembali dokumen lama yang dibawa keluar dari negaranya.

Kongres lima hari yang berakhir hari ini melibatkan penyertaan lebih 1,200 peserta dari 138 negara termasuk Amerika Latin, Jepun, United Kingdom, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA

Fong Dan Chua Jadi Tumpuan Ramai Pada Pemilihan Peringkat Bahagian

26 Julai, 2008 19:20 PM

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Pemilihan peringkat bahagian MCA hari Ahad akan menjadi misi 'hidup atau mati' bagi Naib Presiden parti Datuk Seri Fong Chan Onn dan bekas naib presiden Datuk Chua Jui Meng, semasa kedua-dua mereka dilihat cuba 'kembali' ke arus perdana politik menerusi parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) itu.

Kedua-dua pemimpin kanan MCA itu perlu menang dalam pemilihan di peringkat bahagian masing-masing bagi membolehkan mereka melangkah ke pertandingan peringkat nasional pada pemilihan MCA 18 Okt ini.

Chua berhadapan dengan setiausaha bahagian MCA Bakri Tay Khim Seng dan timbalan pengerusi cawangan MCA Jln Bandar (Bakri) Tan Geok San dalam pertandingan tiga penjuru, bagi jawatan tertinggi bahagian itu.

Ia merupakan bahagian MCA yang terbesar di Johor dengan 15,000 anggota.

Bekas Menteri Kesihatan itu sebelum ini dilaporkan menganggap dua lawannya itu sebagai pengkhianat, dengan mendakwa kedua-dua mereka pernah menyokongnya, dan hanya menghantar borang pencalonan masing-masing kira-kira 15 minit sebelum tempoh pencalonan ditutup pada pukul 8 malam Selasa lepas.

Menurut sumber kedua-dua mereka mungkin bertindak sebagai proksi bagi pemimpin tertentu yang ingin melihat Chua kalah di peringkat bahagian, kerana ini akan memastikan bekas menteri itu tidak dapat mara untuk merebut kedudukan dalam parti di peringkat kebangsaan.

Sekiranya Chua, 65, kalah dalam pemilihan esok, beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sebarang harapan untuk kembali aktif dalam arena politik, memandangkan perlembagaan parti menetapkan bahawa mana-mana anggota yang ingin bertanding di peringkat nasional perlu terdiri daripada perwakilan peringkat bahagian atau memegang jawatan di peringkat bahagian.

Bagaimanapun senario itu tidak sama bagi Fong, bekas Menteri Sumber Manusia dan penyandang pengerusi bahagian Alor Gajah, yang akan dicabar oleh Naib Pengerusi bahagian Ngow Duo Soon.

Sumber-sumber dalaman parti melihat cubaan Fong, yang menjadi perwakilan pusat disebabkan statusnya sebagai Anggota Parlimen Alor Gajah, mempertahankan kedudukan itu sebagai usaha beliau mengukuhkan gengamannya terhadap perwakilan bahagian itu yang akan ke pemilihan MCA nanti.

Seorang lagi bekas Naib Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatan parti ekoran tercetus skandal seks, memenangi jawatan ketua bahagian MCA Batu Pahat tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup pada hari Selasa lepas.

Daripada 191 bahagian MCA di seluruh negara, 71 bahagian menyaksikan pertandingan bagi pelbagai jawatan, esok. Antara spekulasi yang timbul dalam parti ketika ini adalah kemungkinan ketiga-tiga mereka akan bertanding bagi jawatan naib Presiden sekiranya menang dalam pemilihan peringkat bahagian esok.

Lain-lain pemimpin MCA seperti setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Naib Presiden Datuk Donald Lim mengekalkan jawatan ketua bahagian masing-masing di Tapah dan Petaling Jaya Selatan.

Satu lagi pertandingan yang dijangka menarik membabitkan bahagian Seremban di mana bekas Anggota Dewan Rakyat Temiang Datuk Lee Yuen Fong yang akan berentap dengan setiausaha MCA Negeri Sembilan Datuk Peter Lai Yit, dan seorang lagi calon, Ng Chee Kong.

Pertandingan itu dianggap sebagai pertembungan gergasi di Negeri Sembilan.

Satu lagi pertarungan hebat dijangka berlangsung di Rembau di mana bekas exco negeri Datuk Goh Siow Huat akan menghadapi penyandang pengerusi Rembau, Senator Lee Chee Keong.

Pada pemilihan peringkat bahagian 2005, Chee Keong yang merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Mambau, menewaskan Goh dengan dua undi untuk menyandang jawatan ketua bahagian.

Keputusan pemilihan bahagian esok dijangka akan membentuk lanskap pertandingan kepimpinan MCA peringkat kebangsaan Oktober ini. -- BERNAMA

Penggunaan Mercedes Untuk Tetamu Satu Pembaziran - MB Perak

26 Julai, 2008 18:59 PM

IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menyifatkan keputusan kerajaan Pusat supaya 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang dibeli kerajaan negeri Terengganu tidak boleh digunakan oleh Menteri Besar, exco dan pegawai kanan negeri itu, sebagai satu pembaziran.

Beliau berkata ini kerana keputusan itu akan menyebabkan kenderaan-kenderaan yang baru dibeli itu tersadai tidak digunakan.

"Kita tidak tahu kenapa Kabinet buat keputusan tidak boleh pakai...sekarang sudah jadi pembaziran, 14 buah kereta bernilai RM3.4 juta tersadai kerana bukan hari-hari ada tetamu," katanya ketika diminta mengulas keputusan yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam supaya kereta baru yang dibeli kerajaan Terengganu itu hanya digunakan untuk membawa tetamu kerajaan negeri.

Pembelian kereta baru oleh kerajaan negeri Terengganu itu menimbulkan kontroversi kerana bercanggah dengan dasar kerajaan yang mengutamakan penggunaan kereta Nasional.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen PAS Perak ke-13 oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini, Mohammad Nizar berkata adalah lebih baik jika kereta yang dibeli itu digunakan kerana anggota exco Terengganu turut perlu melakukan perjalanan yang jauh dan lasak.

Beliau berkata penggunaan kereta jenis lain selain Proton Perdana sepatutnya tidak menjadi masalah kerana ada akitiviti dan penggunaan yang memerlukan kereta lebih lasak seperti Mercedes.

Mohammad Nizar berkata seperti di Perak, kereta Proton Perdana yang diguna turut melibatkan perjalanan yang jauh dan terdapat tiga kereta sering mengalami kerosakan dan mungkin perlu ditukar.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri Perak tidak bercadang menukar kereta rasminya kepada model lain kerana menghormati arahan penggunaan kereta Nasional.

Menurut beliau pembelian Mercedes pada masa kini hanya akan membawa persepsi kerajaan yang membazir kerana ia memberi gambaran kemewahan.

"Walaupun kita mempunyai peruntukan membeli kereta baru yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini, kita mengambil keputusan menggunakan kereta sedia ada," katanya.

Beliau berkata keputusan untuk menggantikan kereta hanya akan dibuat apabila keadaan memerlukan serta mempunyai justifikasi dan apabila kerajaan negeri mempunyai kemampuan.

-- BERNAMA

Najib Harap Semua Pimpinan Umno Bahagian Terima Pelan Peralihan Kuasa

26 Julai, 2008 16:07 PM

PEKAN, 26 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usul yang dibuat oleh cawangan tertentu yang mencadangkan beliau bertanding jawatan Presiden pada pemilihan UMNO Disember depan, bukanlah bermakna ia juga menggambarkan pendirian bahagian Umno kawasan terbabit.

Sambil mengulangi pendiriannya bahawa beliau tetap komited kepada pelan peralihan yang telah dipersetujui dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu pada Jun 2010, Timbalan Perdana Menteri itu juga berharap semua pimpinan bahagian dapat menerima pelan peralihan kuasa itu.

"Cuma bahagian sahaja boleh buat pencalonan yang sah, jadi sebab itulah pendirian cawangan ini tak perlu sebenarnya dibuat liputan oleh media sebab dalam satu bahagian mungkin ada 200, 300 cawangan, kalau satu sahaja buat ketetapan tidak bererti ianya keputusan bahagian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir daerah Pekan 2007, di sini, hari Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai dua cawangan UMNO di Pahang yang membuat usul mencadangkan beliau bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Disember depan.

Pada 17 Julai lepas, Umno Cawangan Kampung Ubai, dalam Bahagian Pekan, mencadangkan Najib untuk jawatan Presiden, sementara pada mesyuarat cawangan Bukit Kuantan 3 dalam Bahagian Paya Besar, dua hari lepas, selain mencadangkan Najib bertanding jawatan itu, cawangan itu juga mencadangkan supaya peralihan kuasa kepada Najib dipercepatkan sebelum Disember ini bagi mengelak pertandingan jawatan tertinggi parti itu.

Najib berkata: "Cawangan tak ada (kuasa menamakan pencalonan), yang penting bahagian, saya percaya bahagian di Pahang akan ikut pelan peralihan kuasa, apa pun kita tak boleh nak sekat (usul yang dibuat cawangan), yang penting pada persidangan bahagian nanti.

"Tak ada (sebarang arahan), tapi ini saranan kita, saya dah pun bercakap beberapa kali, Presiden pun dah cakap beberapa kali, harap pimpinan bahagian terima (pelan peralihan kuasa),".

Mengulas mesyuarat cawangan yang telah pun bermula 17 Julai lepas, Najib berkata setakat ini beliau amat berpuashati dan pada keseluruhannya, ia berjalan lancar.

"Setakat ini nampaknya perjalanan mesyuarat cawangan-cawangan Umno berjalan baik dan lancar, Majlis Tertinggi atas syor Jawatankuasa Pengurusan telah bersetuju supaya ditubuhkan jawatankuasa pemantau di peringkat negeri dimana semua kes pertikaian cawangan dirujuk ke Jawatankuasa Peringkat Negeri sebelum dibawa ke Jawatakuasa Pengurusan, kalau ada (kes)," kata Najib.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan wang ehsan kepada 1,224 mangsa banjir tahun lepas bagi daerah Pekan.

Najib berkata bantuan itu merupakan siri bantuan terakhir di daerah Pekan yang keseluruhannya berjumlah 3,834 mangsa melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM3.4 juta.

"Bagi seluruh negara, jumlah bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM58 juta dan telah pun diagihkan kepada mangsa banjir yang terbabit pada tahun lepas di tujuh buah negeri," katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...