Wednesday, July 9, 2008

Harga Minyak Tinggi Diada-adakan, Kata Presiden Iran

08 Julai, 2008 21:23 PM

Oleh Nor Baizura Basri, M. Saraswathi & Ahmad Farizal Abdul Hajat


KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad hari ini menyelar pihak yang menjaga kepentingan sendiri yang menyebabkan kenaikan tinggi harga minyak mentah, sambil menyatakan ia adalah lebih kepada dorongan politik dan tidak mencerminkan keadaan pasaran sebenarnya.

Beliau berkata harga minyak mentah yang tinggi mencecah paras rekod sehingga AS$146 setong "diada-adakan" memandangkan pengeluaran kini jauh melebihi permintaan.

"(Jadi), ia merupakan isu politik yang memerlukan penyelesaian politik," kata beliau pada persidangan akhbar selepas sidang kemuncak negara-negara Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8).

Iran mempunyai rizab minyak ketiga terbesar di dunia.

Pemimpin Iran itu turut menuduh kerajaan Amerika Syarikat terlibat dalam peningkatan mendadak harga minyak dengan membiarkan dolar pada nilai rendah.

Penganalisis berkata nilai mata wang dolar yang rendah akan menjuruskan kepada pemesongan modal dari pasaran modal ke pasaran-pasaran komoditi dan ini membawa sebab kepada spekulasi terlampau dalam niaga hadapan minyak mentah.

Beliau berkata faktor-faktor inilah yang menghalang pengaruh pasaran iaitu penawaran dan permintaan daripada berfungsi seperti sepatutnya, sekali gus menyebabkan "pasaran penuh dengan minyak".

Sehubungan itulah, beliau berkata harga-harga terus meningkat meskipun terdapatnya usaha Arab Saudi untuk meningkatkan pengeluaran. Negara itu merupakan pengeluar minyak mentah terbesar dunia dengan kapasiti pengeluaran tujuh juta tong sehari.

Ahmadinejad berkata ketegangan situasi geopolitik yang berterusan di Timur Tengah, terutamanya di negara pengeluar minyak akan terus memberi tekanan pada harga sejagat.

Penganalisis berkata harga minyak yang melambung adalah disebabkan gabungan faktor-faktor seperti permintaan kukuh dari China dan India, ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan spekulasi dalam pasaran-pasaran minyak.

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) menjangkakan harga untuk mencecah AS$170 setong dalam bulan-bulan akan datang.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...