Thursday, July 3, 2008

Jangan Sertai Perhimpunan Bantah Kenaikan Harga Minyak Ahad Ini, Ketua Polis Selangor

03 Julai, 2008 19:13 PM

SHAH ALAM, 3 Julai (Bernama) -- Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan membantah kenaikan harga minyak, dijadualkan pada Ahad ini di Padang Timur, Petaling Jaya dekat sini kerana ia merupakan perhimpunan haram.

Beliau berkata penganjur perhimpunan berkenaan tidak memohon permit polis dan kawasan, yang sempit itu tidak sesuai untuk penganjuran apa-apa perhimpunan, hanya akan mengundang ketidakselesaan dan kesesakan lalu lintas.

"Jangan sertai perhimpuanan berkenaan kerana ia tidak ada permit polis dan tindakan boleh dikenakan kepada mereka yang menyertainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Polis dan Komuniti bagi memberi kesedaran mencegah jenayah anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Klang bersama Hyundai Sime Darby Motors Sdn Bhd.

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik, dijadual mengadakan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak yang membebankan rakyat.

Khalid berkata beliau juga menasihatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan perhimpunan diadakan dan jika masih ingin meneruskannya, ia boleh dipindahkan ke lokasi lebih sesuai seperti Stadium Shah Alam atau Stadium Malawati.

"Saya ada bercakap hal ini dengan Menteri Besar kelmarin, beliau kata akan mempertimbangkannya namun sehingga hari ini saya belum mendapat sebarang maklum balas," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhamad Sabtu Osman berkata polis Kuala Lumpur turut mengadakan persiapan rapi sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kekecohan.

"Kita akan mengawal beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur, selain itu juga akan membantu Selangor sekiranya berlaku sebarang kekecohan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Muhamad Sabtu berkata antara kawasan yang diberi tumpuan adalah di sekitar sempadan Kuala Lumpur-Selangor, KLCC dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...