Thursday, July 3, 2008

Najib Sifatkan Kandungan Akuan Bersumpah Pembohongan Dan Fitnah Bagi Jejas Imejnya

03 Julai, 2008 20:21 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dakwaan kononnya beliau mengenali dan pernah berjumpa wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu seperti terkandung dalam Akuan Bersumpah penyiasat persendirian P.Balasubramaniam adalah satu pembohongan yang amat dashyat.

Menegaskan tuduhan itu adalah rekaan semata-mata, berniat jahat, berunsur fitnah dan bertujuan untuk mencemar imejnya, Timbalan Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali mengenali atau berjumpa dengan Altantuya.

"Saya amat yakin bahawa tindakan ini merupakan satu usaha yang terdesak, oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk mengalih pandangan daripada tuduhan liwat yang beliau sedang hadapi sekarang," katanya pada sidang akhbar yang dihadiri puluhan wartawan termasuk wartawan asing di pejabatnya di Parlimen, d sini hari ini.

Najib berkata apa yang penting sekarang ialah rakyat mahu tahu sama ada perkara kes liwat yang dihadapi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.

"Saya berharap pihak berkenaan akan menyiasat sepenuh-penuhnya dan akan membuat ketetapan dan pengumuman kepada pengetahuan umum secepat mungkin," katanya.

Kes perbicaraan pembunuhan Altantuya sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Berhubung akuan bersumpah itu, Timbalan Perdana Menteri berkata oleh kerana akuan itu subjudis dengan kenyataan di mahkamah dan juga dengan laporan Balasundramaniam kepada polis, maka beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sepenuhnya perkara itu.

"Pihak yang bertanggungjawab mestilah sanggup menerima apa-apa tindakan akibat daripada perbuatannya itu sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kesalahan daripada segi undang-undang," katanya.

Ditanya adakah beliau akan membuat laporan polis terhadap Balasundramaniam atau mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu, Najib berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan.

Mengenai sama ada beliau menyifatkan pendedahan itu sebagai satu serangan peribadi daripada Anwar, Najib berkata: "Soalnya mengapa ia berlaku sekarang setelah kes liwat itu timbul, tiba-tiba semua pihak diserang, Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) diserang, Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail), saya diserang, kenapa sekarang".

"Ini persoalannya, jadi kita tidak boleh alih daripada isu utama, iaitu sama ada kes liwat itu berlaku atau tidak...ini yang kita hendak tahu," katanya.

Anwar semalam membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor terhadap Musa dan Abdul Gani, mendakwa kononnya kedua-duanya menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes membabitkan serangan fizikal terhadap Anwar oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor pada 20 Sept 1998.

Laporan itu dibuat susulan daripada laporan polis oleh pembantu Anwar Khamis lepas, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Balai Polis Jalan Travers di sini yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar di sebuah kondominium di Bukit Damansara.

Ditanya mengapa beliau merasakan Anwar sengaja menyerang peribadinya dengan menggunakan kes tersebut, Najib berkata beliau tidak pasti.

"Saya tidak tahu...mungkin dia anggap saya yang di belakang (mendalangi) budak ini (Mohd Saiful), sebenarnya tidak ada konspirasi. Budak ni datang berjumpa saya kerana dia mengadu hal bahawa dia telah diliwat Datuk Seri Anwar," katanya.

Balasubramaniam yang turut dipanggil memberikan keterangan dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya, hari ini turut mengedarkan kepada media salinan akuan bersumpah itu dan memberikan beberapa butiran maklumat yang didakwa menunjukkan hubungan awal antara Altantuya dan Najib.

Penyiasat persendirian itu berbuat demikian pada sidang media bersama Anwar di ibu pejabat PKR Petaling Jaya.

Najib berkata ketika mula-mula dimaklumkan berhubung kes dakwaan liwat terhadap Anwar, beliau tidak begitu yakin sama ada cerita itu benar atau tidak dan sehubungan itu menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Najib menafikan bahawa beliau pernah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya atau beliau berkonspirasi untuk menutup rahsia pembunuhan wanita itu seperti didakwa dalam akuan bersumpah penyiasat persendirian itu.

"Pastinya tidak sebab saya tidak pernah bertemu dengan dia (Altantuya)," katanya sambil mengaku yang beliau boleh mengambil tindakan peribadi (terhadap mereka yang terlibat) tetapi memilih menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

"Apa yang lebih penting ialah tindakan diambil terhadap orang yang berkenaan kerana tiada definisi di bawah undang-undang seperti definisi jenayah dan sebagainya," katanya.

Ditanya sama ada beliau merasakan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara sewajarnya tidak melibatkan diri dalam siasatan kes itu berikutan nama kedua-duanya turut dikaitkan, Najib berkata: "Hanya jika ia membabitkan kedudukan peribadi mereka sendiri, tetapi mereka masih ketua organisasi penguatkuasa masing-masing, dan mereka perlu menjalankan kerja mereka."

Ditanya sama ada tuduhan itu akan menjejaskan reputasi beliau selaku pemimpin negara dan Timbalan Presiden Umno terutama menjelang pemilihan Umno Disember ini, Najib berkata, beliau tidak risau mengenai perkara itu.

"Saya amat relaks mengenainya, seperti yang anda lihat saya masih boleh senyum, saya tidak bimbang kerana kebenaran akan terbukti.

Saya percaya dengan sistem, saya yakin saya tidak melakukan kesalahan, tiada apa yang perlu saya bimbangkan...perlu teruskan hidup dan bagi saya semuanya berjalan seperti biasa," katanya.

Mengenai sama ada beliau bersedia disiasat jika ada siasatan lanjut terhadap kes itu, Najib sebaliknya bertanya kepada pemberita yang mengajukan soalan itu supaya memberikan satu alasan yang kukuh kenapa beliau perlu disiasat.

Polis telah menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap kes bunuh Altantuya dan mereka sudah tahu segalanya, katanya.

Pada akhir sidang akhbar itu, Najib sekali lagi mempersoalkan motif Anwar membangkitkan isu itu sekarang dan menurutnya jika Anwar benar-benar prihatin dengan kes bunuh itu, beliau sepatutnya membangkitkan isu itu lebih awal.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...