Wednesday, July 23, 2008

Kerajaan Terengganu Tetap Perlu Beli Kereta Nasional, Kata Shahrir

23 Julai, 2008 19:39 PM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata kerajaan Terengganu tetap perlu membeli kereta nasional dan bukannya Mercedes Benz yang dipasang dalam negara untuk anggota pentadbirannya.

Beliau berkata kerajaan Terengganu telah tersilap tafsir maksud kenderaan yang dipasang dalam negara mengikut Arahan Penbendaharaan kerana ia tidak melibatkan kereta tetapi hanya melibatkan kenderaan lain termasuk jip dan pacuan empat roda.

"Kadangkala ada keperluan kenderaan seperti pacuan empat roda untuk jabatan kerajaan. Jabatan kerajaan juga ada guna jip, jika nak beli jip bukan yang diimport tetapi yang dipasang di sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa kerajaan negeri akan menggunakan kereta jenis Mercedes Benz sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Executive kerana ia tidak melanggar Pekeliling Perbendaharaan yang berkaitan.

Shahrir berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini dan perbincangan berasaskan kepada Arahan Perbendaharaan itu.

Memang dari segi kerajaan adanya Arahan Perbendaharaan yang membolehkan membeli kenderaan yang dipasang dalam negara tetapi bagi anggota pentadbiran, ianya khusus kepada kenderaan Proton Perdana Executive. Mungkin itu yang jadi salah faham.

"Mereka mungkin tak baca untuk anggota pentadbiran, maknanya menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang perlu pakai Proton Perdana, bukan terbuka kepada kenderaan yang dipasang di dalam negara," katanya.

Shahrir berkata tiada keputusan baru dibuat berhubung perkara itu.

"Keputusan sudahpun dibuat bahawa sebenarnya sudah ada Arahan Perbendaharan menyatakan bahawa untuk kegunaan anggota pentadbiran iaitu termasuk ahli majlis mesyuarat kerajaan, digunakan Proton Perdana Executive," katanya.

Beliau berkata jikapun ada masalah mengenai kereta Proton, maka kerajaan negeri perlu memberi input kepada Proton untuk meningkatkan kualiti produknya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...