Wednesday, July 23, 2008

Kos Senggara Perdana V6 Adalah Munasabah, Kata Proton

23 Julai, 2008 21:07 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pengeluar kereta nasional, PROTON, berkata kos penyelenggaraan dan keberkesanan model Perdana V6 adalah munasabah dan sederhana berdasarkan kepada rekod-rekodnya.

Walaupun kos bagi menggantikan kotak gear mungkin agak mahal, kemungkinan yang berlaku itu boleh dielakkan dengan menghantar kenderaan itu untuk pemeriksaan berjadual dan teratur di pusat-pusat khidmat yang diiktiraf dan dipasang dengan alat ganti tulen, kata PROTON dalam satu kenyataan hari ini.

"Setiap pemeriksaan berjadual ditambah dengan penapis minyak, kebiasaannya akan menelan kos sekitar RM200, tidak termasuk alat ganti yang lain, kata kenyataan itu.

PROTON berkata pada umumnya prestasi kenderaan akan mencapai jangkaan yang diharapkan dan kurang dilanda masalah jika dijaga dengan sempurna dan dikendalikan dengan tabiat pemanduan yang baik.

Bagi Perdana V6, katanya, kekerapan penyelenggaraannya disyorkan bagi jarak di antara 5,000km atau selepas tiga bulan penggunaannya, mengikut mana yang dahulu.

"Dengan merujuk kepada salah sebuah kereta yang dibeli kerajaan negeri Terengganu pada Mei 2004, dengan dakwaan terpaksa berbelanja lebih daripada RM100,000 untuk penyelengaraan dan membaikpulih, rekod kita menunjukkan setakat ini tiada tuntutan jaminan dibuat oleh mereka sejak Oktober 2004 bagi kenderaan terbabit, kata kenyataan itu.

PROTON berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menghubungi kerajaan negeri Terengganu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung rekod penyelenggaraan bagi kenderaan terbabit dalam usaha PROTON menyediakan khidmat bantuan sewajarnya.

Semalam, kerajaan Terengganu dilaporkan bersedia untuk mengemukakan bukti terperinci berhubung dakwaan mengenai kos penyelenggaraan dan membaikbulih yang tinggi bagi Proton Perdana V6 Executive yang digunakan sebagai kereta rasmi untuk menunjukkan kewajaran pembelian kereta Mercedez Benz.

Kerajaan negeri telah membeli 14 kereta Mercedez E200 Kompressor yang berharga RM3.43 juta bagi menggantikan kereta Perdana V6 Executive untuk kegunaan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai kanan kerajaan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...