Wednesday, July 23, 2008

Laluan Berbeza Ke Puncak Bagi Dua Chua Dalam MCA

22 Julai, 2008 23:01 PM

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Dua bekas naib presiden MCA, yang berkongsi banyak persamaan dalam kehidupan politik mereka, melalui pengalaman berbeza dalam usaha mereka untuk kembali dalam arus perdana politik parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional itu.

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menang tanpa bertanding pengerusi MCA Bahagian Batu Pahat manakala Datuk Chua Jui Meng ditentang bendahari bahagian Tay Kim Seng dan timbalan pengerusi MCA cawangan Jalan Abdullah, Tan Geok Chan dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi Bahagian Bakri.

Kedua-dua Chua, yang merupakan "kawan baik", juga merupakan bekas Menteri Kesihatan dan bekas naib presiden MCA dan kedua-duanya berasal dari Johor.

Kedua-dua mereka juga dijangka akan menggunakan pemilihan MCA peringkat bahagian sebagai batu loncatan untuk kembali aktif dalam politik.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting dan Timbalan Presiden Tan Sri Chan Kong Choy baru-baru ini mengumumkan yang mereka tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti yang dijadual pada 18 Okt.

Pencalonan bagi 191 bahagian MCA diadakan hari ini dengan pemilihan dijadualkan Ahad ini.

Kedua-dua Chua perlu memegang jawatan tertinggi bahagian dalam usaha untuk bertanding jawatan peringkat kebangsaan pada pemilihan parti.

Dengan memenangi pemilihan peringkat bahagian, mereka akan menjadi perwakilan ke perhimpunan agung MCA, dengan itu melayakkan mereka bertanding jawatan tertinggi parti peringkat kebangsaan mengikut ketetapan perlembagaan MCA.

Hanya anggota Parlimen, anggota Dewan Undangan Negeri, senator dan penyandang anggota jawatankuasa pusat layak secara automatik sebagai perwakilan, dan melayakkan mereka bertanding jawatan peringkat pusat tanpa perlu bertanding bagi menjadi perwakilan di peringkat bahagian.

Wujud desas desus dan spekulasi dalam parti bahawa kedua-dua Chua itu akan bertanding dua jawatan tertinggi parti --presiden dan timbalan presiden -- jika mereka menang dalam pemilihan peringkat bahagian.

Dr Chua, meletakkan jawatan sebagai ketua MCA Bahagian Batu Pahat, naib presiden MCA dan Menteri Kesihatan pada 2 Jan selepas mengaku beliau ialah orang yang dipaparkan dalam video seks yang dirakamkan tanpa pengetahuannya di sebuah bilik di Johor.

Sementara Chua digugurkan oleh pucuk pimpinan MCA pada pilihan raya umum Mac lepas.

Hari ini selepas proses pencalonan ditutup pada 8 malam, Dr Chua mengekalkan jawatan pengerusi bahagian tanpa bertanding selepas menerima sokongan padu daripada kesemua 33 cawangan di Bahagian Batu Pahat.

Bercakap kepada pemberita selepas proses pencalonan ditutup, Dr Chua berkata beliau akan berjumpa dan mendapatkan pandangan daripada para perwakilan parti sebelum memutuskan untuk bertanding jawatan mana di peringkat pusat.

Ahli politik berpengalaman itu bagaimanapun berkata beliau menerima banyak panggilan daripada penyokongnya yang mendesak beliau bertanding bagi satu daripada dua jawatan tertinggi parti.

"Saya menerima banyak panggilan telefon daripada anggota MCA mendesak saya bertanding.

"Mereka minta saya bertanding jawatan tertinggi parti. Mereka kata saya telah mengaku kesalahan saya dan mereka menerima permohonan maaf saya dan bersedia menerima saya semula ke dalam pucuk pimpinan parti," katanya.

Seorang lagi Chua, penyandang ketua bahagian Bakri, bagaimanapun terpaksa berdepan dengan Tay, bendahari bahagian, dalam usahanya mempertahankan jawatan pengerusi bahagian Bakri.

Secara keseluruhannya, kira-kira 35 peratus daripada 191 bahagian akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan tertinggi bahagian.

Naib presiden parti Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, yang juga bekas Menteri Sumber Manusia akan dicabar naib pengerusinya, Ngow Duo Soon bagi jawatan ketua bahagian Alor Gajah.

Dr Fong ialah penyandang pengerusi bahagian itu.

Disebalik hakikat yang beliau ialah perwakilan pusat selaku naib presiden parti, keputusan Dr Fong untuk mempertahankan jawatan ketua bahagian dilihat sebagai usaha untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai perwakilan bahagian.

Seorang lagi naib presiden Datuk Donald Lim Siang Chai mengekalkan jawatan ketua bahagian Petaling Jaya Selatan tanpa bertanding. Dr Fong dan Lim juga disebut-sebut sebagai calon berpotensi bagi dua jawatan tertinggi.

Setiausaha agung parti Datuk Seri Ong Ka Chuan juga memenangi jawatan ketua bahagian Tapah tanpa bertanding dan diuar-uarkan akan bertanding jawatan timbalan presiden pada Oktober.

Setiausaha agung Pemuda parti Dr Wee Ka Siong yang juga anggota Parlimen Ayer Hitam juga memenangi jawatan ketua bahagian Johor Baharu tanpa bertanding dan dijangka akan bertanding jawatan ketua Pemuda pusat.

Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai tidak mempertahankan jawatan timbalan pengerusi bahagian Bentong dan sebaliknya akan bertanding jawatan peringkat kebangsaan.

Dua pemimpin veteran MCA, Datuk Yap Pian Hon dan Tan Sri Dr Ting Chew Peh juga telah memfailkan pencalonan untuk menjadi perwakilan pusat -- Yap di Puchong dan Ting di Bahagian Kapar. Di Kedah, tiga daripada 15 bahagian iaitu Alor Star, Kulim dan Jerlun akan menyaksikan pertandingan.

Pertandingan satu lawan satu di Alor Star antara setiausaha bahagian Datuk Chong It Chew dan naib pengerusi Ng Swee Keong.

Di Selangor, semua kecuali tiga bahagian -- Subang, Ampang dan Petaling Jaya Selatan -- akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan pengerusi manakala penyandang pengerusi bagi empat bahagian tidak mempertahankan jawatan.

Mereka ialah Shah Alam (Tan Kim Un), Petaling Jaya Utara (Datuk Dr Wong Sai Hou), Hulu Selangor (Tan Chong Seng) dan Sepang (Datuk Liew Chee Khong).

Selayang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Datuk Tang See Hang, Lee Kong Long dan Tang Chai Onn. Di Wilayah Persekutuan, pengerusi badan perhubungan yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho mempertahankan jawatan pengerusi bahagian Bandar Tun Razak tanpa bertanding.

Jawatan pengerusi di Cheras dan Setiawangsa juga tidak ditandingi. Di Segambut, membabitkan pertandingan satu lawan satu antara Ling Hee Keat, anak lelaki bongsu bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik dan penyandang timbalan pengerusi Tan Ho Chew.

Sementara di Pahang, tujuh daripada 14 bahagian MCA akan menyaksikan pertandingan bagi merebut jawatan pengerusi bahagian.

Setiausaha MCA Pahang, Datuk Lee Jian Xian berkata sehingga proses pencalonan berakhir pada 8 malam ini, bahagian Kuantan, Paya Besar, Pekan, Bera, Raub dan Rompin akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu sementara bahagian Cameron Highlands pula akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Sementara bahagian Temerloh menyaksikan pengerusinya, Senator Hiang Li mengundur diri dan memberi laluan kepada timbalannya, Chuah Boon Seong yang juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab.

Pengerusi MCA Pahang, Datuk Hoh Khai Mun yang juga anggota Exco kerajaan negeri bagaimanapun tidak dicabar di bahagian Bentong.

Seorang lagi anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Fong Koong Fuee turut tidak dicabar di bahagian Kuala Lipis.

Di Perlis, dua daripada tiga bahagian akan menyaksikan pertandingan iaitu Padang Besar antara penyandang Loh Yoon Foo dan setiausaha bahagian Lai Thing San manakala di bahagian Kangar antara penyandang Dr Por Choo Chor dan Ong Tai How.

Tiada pertandingan di Arau.

Di Negeri Sembilan, tujuh daripada lapan bahagian menyaksikan pertandingan iaitu Kuala Pilah, Jelebu, Teluk Kemang, Tampin, Rembau, Seremban dan Jempol.

Di Pulau Pinang, hanya tiga daripada 13 bahagian menyaksikan pertandingan.

Antara pemimpin negeri yang berjaya mempertahankan jawatan pengerusi bahagian tanpa bertanding ialah timbalan ketua penerangan MCA negeri Lau Chiek Tuan di bahagian Bukit Mertajam.

Bekas wakil rakyat Paya Terubong Datuk Dr Loh Hock Hun ditentang Loh Poh Chye bagi jawatan pengerusi bahagian Tanjung manakala bekas timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Lye Siew Weng dicabar Tan Hiap Seng di bahagian Bukit Bendera.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...