Wednesday, July 23, 2008

Pemuda Pastikan PAS Tak Sertai BN

23 Julai, 2008 17:38 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Dewan Pemuda PAS akan menentang sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno jika ia tujuan mewujudkan pakatan politik, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

"Pemuda PAS akan pastikan jika berlakupun muzakarah antara PAS dan Umno selepas ini, ia tidak akan berakhir dengan PAS menyertai BN atau berkongsi kuasa dengan BN dan meninggalkan Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dicapai selepas Pemuda PAS bermesyuarat selama kira-kira tiga jam semalam bagi membincangkan mengenai pertemuan beberapa pemimpin PAS diketuai Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah diadakan sebelum ini. Perbincangan itu dilaporkan mendapat persetujuan Dewan Syura Ulama PAS.

Salahuddin berkata Pemuda PAS tidak mahu mana-mana pihak khususnya BN mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan perpaduan anggota PAS dan meretakkan hubungan baik parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat dalam Pakatan Rakyat.

"Apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat kita akan selesaikan secara dalam rumahtangga sendiri. Kita tidak akan khianati rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Salahuddin berkata agenda muzakarah selepas ini belum dikemukakan oleh Umno kepada PAS.

"Itu terpulang kepada Umno kerana mereka yang mencadangkan muzakarah itu. Pemuda (PAS) akan teliti jika agenda itu relevan atau tidak.

"Kita tidak akan bersetuju untuk adakan muzakarah itu jika jelas agendanya menjurus kepada perkongsian kuasa atau agenda politik," katanya.

Beliau berkata adalah lebih wajar jika kedua-dua parti berbincang sebagai dua entiti berbeza sekiranya muzakarah mahu diadakan atas dasar perpaduan.

"Walaupun berbincang soal perpaduan Melayu, tidak perlulah PAS dan Umno untuk duduk sebumbung sebab kalau PAS dan Umno duduk sebagai entiti yang sama, rakyat tidak lagi akan yakin dengan perjuangan PAS dan mungkin juga mereka akan mentafsirkan kepimpinan PAS mahukan jawatan," katanya.

Ditanya sama ada kepimpinan parti itu bersetuju dengan pendirian Pemuda PAS itu, Salahuddin berkata pergerakan itu tidak kisah jika ada yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Mengenai kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mengakui pernah bertemu pemimpin PAS untuk membentuk kerjasama antara BN dan parti itu selepas pilihan raya umum lepas, Salahuddin berkata Pemuda PAS turut menentang sebarang usaha untuk menawarkan jawatan kepada kepimpinan parti itu.

"Saya tegaskan di sini, kita akan menentang sesiapa sahaja yang datang menawarkan kedudukan yang menggiurkan. Kita ada prinsip, ada harga diri, kepimpinan PAS tidak akan tunduk dengan tawaran jawatan sedemikian," katanya.

Dr Mohamad Khir dalam blognya sebelum ini berkata beliau mencadangkan supaya jawatan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar serta empat kerusi exco diberikan kepada PAS sebagai inisiatif untuk membentuk kerajaan negeri PAS-Umno selepas pilihan raya 8 Mac lepas, yang menyaksikan kerajaan Selangor jatuh kepada Pakatan Rakyat.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...