Wednesday, July 23, 2008

Najib dicalon jadi regu Ku Li

Malaysia Kini
Jul 23, 08 12:23pm

Umno cawangan Ciku Dua B dalam Bahagian Gua Musang telah mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai regu ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Disember depan.

najib tun razakCawangan tersebut telah mencalonkan Najib bertanding jawatan timbalan presiden manakala Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno bahagian berkenaan dicalon bertanding jawatan presiden.

Sebanyak 87 cawangan lain dalam Bahagian Gua Musang yang bermesyuarat setakat ini tidak mencalonkan sesiapa untuk jawatan timbalan Presiden.

Menurut laporan Bernama, semua cawangan berkenaan mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan presiden.

Baki 28 lagi cawangan dalam bahagian Gua Musang akan mengadakan mesyuarat masing-masing esok.

tengku razaleigh 01Ketika mencadangkan usul menamakan Najib sebagai regu Tengku Razaleigh, ketua cawangan Ciku Dua B, Ahmad Narsuki Harun berkata Najib adalah gandingan mantap dengan ahli Parlimen Gua Musang tersebut.

Cadangan itu, katanya, adalah juga bagi menghargai jasa timbalan perdana menteri kepada golongan peneroka Felda.

"Daripada kehidupan kami yang dihimpit pelbagai masalah terutama pendapatan dan kediaman, kami menerima pembaharuan yang amat baik hasil perjuangan Datuk Najib selama ini," katanya.

Sipitang calon Pak Lah, Najib

Sementara itu, Umno Bahagian Sipitang di Sabah menyokong pencalonan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai presiden Umno dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai timbalan presiden dalam pemilihan parti Disember ini.

Ketuanya, Datuk Sapawi Ahmad berkata sokongan itu mencerminkan pendirian Umno bahagian yang menghormati persetujuan pelan peralihan kuasa antara perdana menteri dengan timbalan perdana menteri dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Motivasi Sijil Rendah Ugama 2008 DUN Lumadan di Dewan Seri Dayang, Kampung Lumadan, dekat Beaufort, malam tadi.

Sapawi berkata beliau berharap proses peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib akan dilaksanakan secara tersusun dan mengikut tradisi.

Beliau seterusnya meminta anggota Umno supaya terus memberi sokongan padu kepada barisan kepimpinan parti sedia ada demi memantapkan kekuatan Umno yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...