Friday, July 11, 2008

Pak Lah umum bersara 2010, laluan Najib tidak semudah dijangka

Petikan: mStar Online

11-07-2008 03:28:27 PM

Oleh G. MANIMARAN, SA'ODAH ELIAS, ARIFFUDDIN ISHAK, SITI AZIRA ABD. AZIZ dan NURUL AIN HUSSAIN

INI PENGGANTI SAYA... Mungkin ini yang cuba disampaikan oleh Abdullah Ahmad Badawi dengan menepuk bahu Mohd. Najib Tun Razak (kiri) pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur petang tadi. - foto The Star Art Chen

PETALING JAYA: Selepas 12 jam Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa dengan menamakan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai penggantinya Jun 2010, langkah beliau diterima secara bercampur aduk dengan pelbagai teori diketengahkan tentang kemungkinan yang bakal dilalui sepanjang 23 bulan akan datang.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh yang telah pun menawarkan diri untuk mencabar Abdullah bagi jawatan Presiden Umno Disember menyifatkan pengumuman semalam sebagai langkah silap.

Penganalis-penganalisis politik pula melahirkan pandangan yang berbeza terhadap pelan peralihan kuasa yang diumumkan petang semalam.

Pensyarah Pusat pengajian Undang-undang dan Pentadbiran Awam Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein berkata pelan tersebut harus dilihat dari dua aspek yang berbeza.

Beliau berkata, aspek pertama dapat dilihat dari sebab mengapa Perdana Menteri menetapakan tempoh masa dua tahun untuk peralihan kuasa.

Katanya, tempoh tersebut ditetapkan kerana Abdullah berpendapat beliau perlu mengukuhkan parti terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Najib.

“Namun keadaan politik semasa yang berlaku akan mempengaruhi landskap politik yang cuba dicapai oleh Umno dan Barisan Nasional dalam usaha mengukuhkan kedudukan mereka kembali,” kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Jelas beliau, isu-isu yang melanda kerajaan Pakatan Rakyat seperti isu liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu korupsi pemimpin PKR di Selangor serta Perjanjian Pangkor II di Perak mengakibatkan kenyakinan terhadap pembangkang sedikit terjejas.

“Saya lihat isu-isu tersebut telah membuka mata rakyat untuk memberi respons positif kepada Pak Lah. Namun adakah sokongan itu akan berterusan?” ujarnya.

Jelasnya, beliau lebih cenderung memilih aspek yang kedua yang merupakan suara ahli Umno di peringkat akar umbi yang mahu peralihan kuasa dicepatkan.

“Hampir dua pertiga ahli Umno yang saya temui mahu peralihan kuasa dipercepatkan, kerana mereka mahu parti dikukuhkan dengan segera. Saya lihat ia perlu dilaksanakan sebelum pemilihan parti Disember ini,” katanya.

Tegasnya, ramai ahli Umno berpendapat proses peralihan kuasa perlu dilaksanakan segera sebelum pemilihan parti Disember ini.

“Ramai ahli Umno menyatakan mereka mahu Pak Lah serah kuasa kepada Najib dengan segera baru pulihkan parti.

“Saya lihat cadangan ini lebih sesuai, namun terpulang kepada ahli-ahli Umno untuk menentukannya,” katanya.

Tambahnya, tempoh dua tahun yang diletakkan itu terlalu lama dan keadaan politik ketika itu pasti berbeza dan mungkin juga BN akan kehilangan banyak sokongan rakyat.

“Tempoh dua tahun agak lama dan apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Sekarang ini PAS sudah mendapat tempat saya bimbang jika ia tidak dibendung BN akan kehilangan lebih banyak kerusi kelak,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd Agus Yusof menyifatkan tindakan Perdana Menteri semalam merupakan satu kaedah bagi meredakan keadaan politik dalam Umno.

“Ia (pelan peralihan kuasa) tidak lebih kepada satu kaedah untuk redakan politik dalam Umno itu sendiri dan saya rasa tindakannya itu tidak salah,” katanya.

Menurutnya, pelan itu akan berfungsi jika Umno tidak menyekat proses demokrasi yang pada pemilihan parti Disember ini.

“Asalkan ia (peralihan kuasa), tidak menyekat peluang untuk sesiapa sahaja bertanding dalam pemilihan parti nanti. Saya rasa pelan tersebut akan berjaya,” katanya.

Namun demikian, tegas beliau, peralihan kuasa tidak lebih sebagai satu janji

“Politik satu perkara yang dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan dan perlu di ingat senario politik boleh berubah bila-bila masa,” katanya.

Tambahnya, apa yang perlu diingat terdapat halangan-halangan yang perlu dilalui sebelum pelan peralihan kuasa itu terlaksana.

Seorang lagi pensyarah UKM, Dr. Ahmad Nizamudin Sulaiman berkata, ramai yang terkejut dengan pengumuman Abdullah semalam.

Menurutnya, ramai menyangka Abdullah akan mengumumkan peralihan kuasa secepat mungkin sebelum pemilihan parti Disember ini tetapi ternyata jangkaan itu meleset sama sekali.

"Ramai ahli Umno menjangka peralihan kuasa sebelum pemilihan parti. Nampaknya jangkaan itu meleset sama sekali," katanya.

Tambahnya, perkara tersebut akan menambah kekecewaan ahli-ahli Umno yang mahukan perubahan pucuk pimpinan.

"Dari aspek politik, ia memberi kesan kepada Barisan Nasional dan Umno itu sendiri kerana pasti timbul rasa tidak selesa di kalangan ahli yang mahukan perubahan," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...