Friday, July 11, 2008

Pemeriksaan Gigi Bagi Bayi Diwajibkan Di Semua Hospital, Klinik Kerajaan

11 Julai, 2008 21:00 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menjadikan pemeriksaan kesihatan gigi dan mulut terhadap bayi sejak mereka berusia setahun, sebagai sesuatu yang wajib di semua hospital dan klinik kerajaan, berkuatkuasa serta merta.

Menteri berkenaan Datuk Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan itu akan dilakukan apabila seseorang bayi dibawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan.

"Ia akan menjadi sebahagian daripada proses pemeriksaan. Kami mahu, apabila ibu bapa membawa anak mereka mendapatkan pemeriksaan perubatan setiap bulan, kanak-kanak itu juga akan menjalani pemeriksaan berkaitan kebersihan mulut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Pergigian Paediatrik Asia keenam di sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu juga sejajar dengan matlamat kementerian berkenaan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya penjagaan gigi dan mulut, yang kini meliputi kanak-kanak berusia bawah empat tahun.

"Kami percaya, penjagaan gigi perlu bermula seawal yang mungkin. Janganlah sampai gigi dah rosak baru nak selamatkan gigi tu," katanya.

Beliau berkata sejajar dengan keputusan itu, lebih banyak jururawat akan dilatih bagi menjalankan tugas berkenaan dan memberi penerangan yang diperlukan kepada ibu bapa.

Kementerian Kesihatan dengan kerjasama sektor swasta, katanya akan mengadakan kempen pergigian paediatrik di seluruh negara, terutama di pusat penjagaan kanak-kanak, taman didikan kanak-kanak dan pusat beli-belah bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan penjaga kanak-kanak tentang kesihatan gigi dan mulut.

Liow berkata kementerian juga akan melatih lebih banyak doktor gigi bagi meningkatkan nisbah doktor gigi:penduduk daripada 1:8000 pada masa ini kepada 1:4000 pada 2020. -- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...