Friday, July 11, 2008

`Tolong jangan pukul saya lagi’

Petikan: Harian Metro

Oleh Efindi Badarudin dan Sarah Zulkifli

am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Ustaz tolong jangan pukul saya lagi. Saya minta nyawa...saya dah tak tahan sakit.” Itu kata-kata terakhir seorang penghuni pusat pemulihan yang tidak tahan diseksa kononnya bagi memulihkannya yang menghadapi masalah sosial.

Beberapa penghuni terdengar rayuan lelaki terbabit ketika menyaksikan dia didera dan diperlakukan seperti haiwan.

Mereka bagaimanapun tidak berani membantunya kerana bimbang akan menerima balasan sama.

Beberapa jam selepas itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Seorang penghuni terbabit yang mahu dikenali sebagai Amir, 18, memberitahu Harian Metro, sehari selepas dihantar ibu bapanya, mangsa cuba melarikan diri dari pusat pemulihan berkenaan tetapi dia ditahan semula.

“Sebaik ditahan, mangsa dibawa ke ruang tamu dan semua 65 penghuni berkumpul untuk melihat hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya.

“Seorang petugas pusat pemulihan itu memaklumkan, mangsa cuba melarikan diri kerana mahu membuat laporan polis mengenai kes penderaan di situ...jadi dia kata kalau nak lapor polis, lebih baik dia didera betul-betul,” katanya di sini, semalam.

Amir berkata, petugas kemudian mengarahkan semua penghuni menampar muka mangsa masing-masing 10 kali seorang dan merotan kaki sebanyak lima kali.

“Kalau sesiapa tak mahu buat, mereka akan kena dera macam itu...jadi kami semua yang takut didera kena ikut cakap petugas,” katanya.

Selepas itu, katanya, petugas terbabit mula membelasah mangsa dengan menendang kepala dan memijak lehernya sehingga dia tidak bermaya.

“Saya dan beberapa rakan yang kasihan melihat mangsa membawanya ke bilik air dan mencuci kesan lukanya. Ketika itu, dia tidak bercakap dan hanya meraung kesakitan.

“Dia kemudian tidur dengan mengerang kesakitan sebelum kami menyedarinya tidak lagi sedarkan diri dan memaklumkan kepada petugas supaya membawanya ke hospital.

“Petugas pun tak nak bawa kerana bimbang dengan keadaan mangsa, tetapi apabila penghuni mendesak baru mereka hantar ke hospital. Kami kemudian dimaklumkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Beberapa jam selepas mangsa meninggal dunia, kata Amir, semua penghuni diminta berkumpul di ruang tamu untuk diberi penerangan supaya jangan memaklumkan kepada polis jika ditanya mengenai kejadian itu.

“Kami juga diingatkan supaya membuat cerita mangsa melarikan diri dan parah ketika dibawa balik selain van yang membawa mangsa mengalami kerosakan.

“Tetapi kami semua sepakat tidak mahu menipu polis kerana perbuatan pihak pengurusan pusat pemulihan itu melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Razali, 20, berkata petugas pusat itu sering menzalimi penghuni dengan merotan tapak kaki dan mencabut kuku ibu jari kaki.

“Mereka akan ikat kaki dan mulut penghuni supaya jeritan kami tidak didengar ketika penderaan dilakukan. Mereka akan pijak kaki supaya lurus dan memegang badan penghuni ketika menjalankan hukuman.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut didera dan jika mengadu kepada keluarga, kami kena menjalani hukuman,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang penghuni pusat pemulihan itu meninggal dunia akibat menjalani rawatan pemulihan yang tidak masuk akal.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala dan kesan lebam di seluruh anggota badan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...