Monday, July 7, 2008

Syed Ali Al-Habshee Saran Menteri Penerangan Jangan Teruskan Debat

07 Julai, 2008 19:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek disarankan agar tidak meneruskan debat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan 15 Julai ini.

Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Syed Ali Al-Habshee meminta agar Ahmad Shabery tidak melayan atau memberi peluang kepada Anwar untuk berdebat dalam pelbagai isu.

"Apakah pentingnya debat tersebut kepada rakyat dan negara," katanya menerusi satu kenyataan kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau mempertikaikan tindakan Kementerian Penerangan memberikan peluang kepada Anwar untuk berdebat kerana langkah itu tidak rasional dan boleh menjahanamkan masa depan orang Melayu.

Minggu lepas, Ahmad Shabery berkeras tetap akan meneruskan hasratnya untuk berdebat dengan Penasihat PKR itu berhubung kenaikan harga minyak walaupun pelbagai pihak menggesa Ahmad Shabery membatalkan hasratnya itu.

Ahmad Shabery dan Anwar telah mengesahkan penyertaan mereka di dalam debat bertema "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" anjuran portal berita Agenda Daily yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Syed Ali turut menggesa media massa termasuk media cetak dan elektronik agar tidak memberikan liputan terhadap pelbagai kenyataan yang dibuat Anwar.

"Tidak ada gunanya pihak media memberikan liputan terhadap aktiviti dan kenyataan Anwar kerana banyak lagi isu lain yang perlu diberikan keutamaan khususnya isu membabitkan agenda kerajaan dalam meneruskan pembelaan rakyat," kata Anggota Dewan Negara itu.

Beliau turut menegur sikap sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris yang sejak kebelakangan ini seperti sengaja memberikan liputan meluas terhadap isu yang membabitkan kepentingan politik Anwar dan PKR.

"Saya ingin menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri memantau laporan akhbar berkenaan bagi memastikan laporannya tidak mengelirukan rakyat dengan permainan politik Anwar," katanya.

-- BERNAMA

Pemuda PAS Pahang kesal aksi 'tunjuk punggung' sempena protes

Petikan: Harakah Daily

Basiron Abdul Wahab

Mon | Jul 07, 08 | 3:58:56 pm MYT

KUANTAN, 7 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pahang melahirkan rasa kesal yang amat sangat terhadap Jawatankuasa Protes kerana 'aksi tunjuk punggung' semasa Himpunan Memprotes Kenaikan Harga Minyak semalam.

Ketuanya, Ustaz Suhaimi Md Saad berkata, aksi memualkan itu membelakangi akhlak Isam dan budaya himpunan yang sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat telah menjadi himpunan ala 'fun fair'.

Dalam kenyataanya Suhaimi berkata, kehadiran ahli Pemuda PAS beramai-ramai ke perhimpunan itu adalah untuk ditipu oleh penganjur Protes dan kesengsaraan rakyat akibat kenaikan harga minyak dan barangan telah dipermainkan.

Sehubungan itu Pemuda PAS Pahang mendesak Jawatankuasa Protes meletakkan jawatan dan bertanggung jawab di atas aksi 'tunjuk punggung' di Pentas Kelana Jaya.

Berikut adalah kenyataan penuh Dewan Pemuda PAS Pahang.

Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa kesal atas insiden yang berlaku semasa penganjuran Himpunan Rakyat PROTES kali ini. Apa yang kita bimbangi berlaku dalam himpuan PROTES menjadi kenyataan. Memualkan dan menjelekkan apabila acara pentas membelakangkan akhlak Islam dan budaya luhur masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Himpunan yang sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat menjadi himpunan �ala Fun Fair�.

DPPNP telah dimaklumkan hasil perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS Pusat dengan jawatankuasa PROTES yang bersetuju untuk menggugurkan semua aktiviti nyanyian yang melibatkan band dan kumpulan-kumpulan tertentu sebagaimana yang tertera di poster sebelum ini. Tetapi malangnya Pemuda PAS turun beramai ramai hanya untuk ditipu oleh jawatankuasa PROTES.

Nama besar seperti PROTES tidak seharusnya menyajikan acara pentas sebegitu. Seharusnya kita belajar dari Kejayaan Himpuan BERSIH. Walaupun tekanan yang begitu hebat namun ia gagal mengekang kebangkitan rakyat menuntut demokrasi.

Semua rakyat terkesan dengan kenaikan harga minyak. Seharusnya himpunan ini lebih berjaya dan bermakna daripada Himpunan BERSIH.

Kami hadir kerana mahu membantah kenaikan harga minyak dan mahu mendesak agar kerajaan UMNO dan BN memahami derita rakyat lalu menurunkan harga minyak. Kami bukan datang untuk berhibur.

Suka diingatkan DPPNP bukan anti hiburan. Himpunan semurni ini bertujuan untuk membawa keluhan rakyat tidak sepatutnya bercampur aduk dengan hiburan ala barat.

Walaupun kami dimaklumkan liriknya mengutuk kedajalan Umno/BN, seperti lagu Hantu Raya di Putrajaya tetapi tak ada perkataan yang boleh difahami disebabkan muzik yang bingit dan menenggelamkan suara penyanyi. Dengan aksi londeh seluar dan tunjuk punggung menjadikan aksi itu lebih sesuai digelar �Hantu Raya di Pentas Kelana Jaya�.

Jawatankuasa PROTES seolah-oleh memperbodohkan peserta perhimpunan yang datang dari seluruh negara. Kesengsaraan rakyat jelas dipermainkan.

PROTES sampai turun bertukar kepada PROTES sampai nampak punggung!. Ahli jawatankuasa PROTES yang bertangung jawab membawa budaya buruk ini seharusnya disingkirkan daripada jawatankuasa Himpunan Rakyat pada masa akan datang.

DPPNP mengutuk acara hiburan ala barat dan aksi-aksi pentas terlampau yang berlaku dalam Himpunan PROTES dan seharusnya ia menjadi pengajaran kepada semua.

Sekian

SUHAIMI BIN MD SAAD
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang

"Ini bukan Protes tapi Karnival Turun Minyak"

Petikan: Harakah Daily

Izwan Abdul Halim

Mon | Jul 07, 08 | 2:28:29 pm MYT

KOTA SARANG SEMUT, 7 Julai (Hrkh) - Pemuda PAS Kedah melahirkan rasa kesal dengan pengendalian Himpunan Protes Sejuta Rakyat yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya semalam.

Bagi pemuda Kedah, himpunan semalam tidak mencapai tujuan asal gerakan Protes yang telah digerakkan sejak tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah (DPPNK), Ustaz Musoddak Ahmad di Kompleks PAS Kedah sebentar tadi.

Menurutnya, ramai kontingen pemuda dari kawasan-kawasan yang hadir ke himpunan berkenaan turut 'memprotes' pengendalian himpunan itu semalam.

"Pemuda-pemuda dari (Kawasan) Kuala Kedah, Pendang, Sik, Merbok, Padang Serai, Sungai Petani, Langkawi dan lain-lainnya pergi untuk menyatakan protes tetapi pulang awal kerana 'memprotes' cara himpunan itu.

"November lalu himpunan Bersih telah memasuki 'gear empat' suara rakyat dan sepatutnya gelombang itu menjadikan Protes memasuki 'gear lima' tetapi semalam himpunan jadi 'gear satu'," ujarnya kecewa.

Menurutnya, rakyat sudah ada keberanian untuk turun ke jalan dan tidak bimbang kepada risiko berhadapan 'water-cannon' dan semburan kimia.

Oleh itu, menurut beliau, mengadakan himpunan di stadium seolah-olah berundur semula ke belakang.

"Bila buat himpunan macam ini, protes yang dinyatakan tidak tampak kepada umum apatah lagi pihak yang diprotes juga tidak akan rasa apa-apa," tambahnya lagi.

Beliau turut menyatakan kekesalannya kerana wujud konsert pada himpunan berkenaan.

"Rata-rata pemuda Kedah pulang setelah konsert diadakan, mereka menggelar himpunan itu bukan 'protes' tetapi 'karnival turun minyak'.

"Pemuda Kedah datang bukan untuk berhibur, mereka datang atas nama perjuangan. Jadi sebarang sekatan yang mungkin berlaku mereka sanggup hadapi," jelasnya yang turut memaklumkan DPPNK akan menghantar nota bantahan kepada jawatankuasa penganjur himpunan itu. - mks. _

Siarkan debat Anwar-Shabery secara langsung

Petikan: Harakah Daily

Hashim Abdullah

Mon | Jul 07, 08 | 2:10:11 pm MYT

TEMERLOH, 7 Julai (Hrkh) - Orang ramai mendesak kerajaan menyiarkan siaran langsung debat yang dirancang membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan Dato' Ahmad Shabery Cheek tanpa sebarang sekatan agar rakyat dapat menilai idelisme pemimpin kerajaan dan pembangkang.

Debat mengenai isu minyak yang dihebohkan akan dilaksanakan pada 15 Julai nanti mendapat minat ramai kerana rakyat mahu melihat hala tuju kedua pihak agar selepas itu rakyat akan dapat membuat perhitungan untuk membina sikap mengarah kepada pembentukan kerajaan pada masa depan.

Orang ramai yang masih ragu wujudnya sikap keterbukaan pemimpin kerajaan khususnya Umno dalam mewujudkan suasana maklumat yang terbuka bimbang kerajaan akan menggunakan dolak dalih bila tiba masanya kerana pada peringkat awal inipun pemimpin Umno sudah menunjukkan pertelagahan sikap tentang kewajaran debat diadakan.

Mereka menyuarakan demikian ketika bertemu wartawan Harakahdaily dalam tinjuan rambang mengenai kenaikan harga barangan yang dibuat di sekitar Bandar Temerloh, baru-baru ini.

Seorang peniaga, Husin Sin mahukan debat dibuat siaran langsung kerana rakyat sekarang sangat tertekan dengan kos hidup yang melambung sedang pemimpin kerajaan tidak menunjukkan penyelesaian yang munasabah.

"Kerajaan jangan buat siaran langsung ala sidang Parlimen yang sangat membosankan bagi melepas batuk ditangga konon menunjukkan mereka sudah terbuka tetapi hakikatnya sangat menyakitkan hati melihatnya.

"Apa salah buat siaran langsung sepanjang persidangan, biarkan mereka berbalah bagi membela rakyat dan akhirnya kita semua boleh menilai. Kita juga harap debat nanti buat siaran langsung, jangan sekat-sekat. Kita nakkan penyelesaian masalah kita sekarang," katanya.

Pekerja swasta, Hisham Abi Zaid mahukan pemimpin debat terbabit membuat persediaan rapi supaya bahan debat bolehh dijadikan panduan rakyat membina sikap untuk membentuk kerajaan pilihan yang boleh diharapkan membela rakyat selepas itu.

"Lepas debat ini kita boleh berkira-kira sama ada teruskan bersama pemerintah BN atau memilih Pakatan Rakyat yang boleh diharapkan membela rakyat. Sebab itu pemimpin debat kena bersungguh-sungguh," katanya.

Bagi suri rumah, Puan Nor Fiza pula berharap rakyat mendapat sesuatu penyelesaian daripada debat tersebut kerana kenaikan harga minyak memang tidak munasabah.

"Saya harap debat itu jadi dan ada siaran langsung agar rakyat dapat menilai siapa lebih pintar mengurus ekonomi negara supaya rakyat dapat berlindung, jadi jangan tak jadi," katanya. - mns _

'Protes' Alak londeh seluar secara 'live' jadi tontonan!

Petikan: mStar Online

07-07-2008 01:25:22 PM

Oleh ZIEMAN

SATU protes yang berakhir dengan protes. Itu sahaja kesimpulan yang dapat diambil di perhimpunan 1 Juta Rakyat yang berlangsung di Stadium MBPJ Kelana Jaya semalam.

Bukan sahaja matlamat protes kenaikan minyak untuk mengumpul seramai mungkin orang jauh tergelincir dari harapan dan impian. Slot hiburan yang disajikan seperti tenggelam punca dan mendapat kecaman hebat. Dan semuanya gara-gara seorang artis yang belum sangat dikenali, iaitu Alak dari Carburetor Dung yang melondehkan seluarnya di khalayak ramai.

Sekaligus, niat murni untuk mengumpul orang ramai dan penyokong pembangkang dari tiga puak - Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tercemar dan berlangsung dalam suasana yang tidak harmonis. Bencana yang tidak disangka, yang disediakan oleh Alak akan dikenang sampai bila-bila.

Alak, vokalis kumpulan underground Carburetor Dung 'berjaya' menunjukkan sikap salah lakunya di khalayak ramai. Tapi bukan sahaja sorakan dan tempikan yang menantinya, Alak telah dibelasah oleh penonton di stadium.


Gara-gara cuba melondehkan seluar, Alak terlentang di atas lantai kerana dibelasah oleh penyokong PKR di Stadium Kelana Jaya petang semalam.

Yang lebih memalukan dia langsung tidak menunjukkan tata susila dan sensitiviti medan yang dia berada sehingga sanggup melondehkan seluar dan menonggeng ke arah penonton sambil menjerit perkataan ‘jilat, jilat, jilat bontot ku sampai berkilat."

Sudahlah kreativiti senikata lagu tidak munasabah, ditambah dengan kebingitan muzik yang tidak sesuai langsung untuk perhimpunan seperti itu. Antara lagu lain yang dipersembahkan ialah 'Potong Nama Tutup Buku" dan "Hantu Raya Di Putrajaya."

Adakah ini yang dinamakan keterujaan tidak terkawal? Perlakuan biadap satu hal, disertakan pula lirik lagu sinis, songsang dan menyesak akal. Lirik pasal liwat yang sedang hangat diperkatakan seperti hilang pedoman. Alak bagaikan sedang beraksi di luar kepompong Malaysia.

Sehinggakan apabila dia dibawa keluar dari Stadium, Alak masih tersenyum seolah-olah baru sahaja melakukan sesuatu yang begitu membanggakan. Sehingga kini, ramai yang masih tertanya-tanya apakah rasionalnya dia berbuat begitu?

Perlakuan Alak telah mendapat respon langsung dari penonton apabila beliau telah dibelasah penyokong parti pembangkang yang menyaksikan persembahan kumpulannya di "Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun" di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya, petang semalam.

Aksi Alak, yang seperti dirasuk meracau-racau hingga lupa diri masih segar dalam ingatan. Ketika memekik "jilat...jilat", Alak terus sahaja memperlihatkan keghairahannya menghayati senikata lagu itu dan tunjuk seluar dalamnya sambil tonggeng. Nyaris sahaja, seorang tua mengutip batu-batu kecil hampir melontarkan pada Alak tetapi telah disabarkan.

Yang menghairankan, mustahil Alak tidak diberi garis panduan apa sensitif, apa yang tidak boleh dilakukan?

Di kelompok kalangan artis pun, perlakuan Alak tidak mungkin dapat diterima. Inikan lagi di pentas di mana orang ramai dan penyokong politik berkumpul.

Slot hiburan yang boleh diklasifikasikan sebagai 'syok sendiri' ini telah berlaku pada jam 7 petang. Sebelum itu, pada jam 2 petang satu lagi band underground yang tampak jauh lebih sopan, telah cuba membuat persembahan tetapi dihalang.

Kurang pasti apa yang kurang atau 'terlebih' maka band ini dilarang.

Yang pasti Carburetor Dung telah berjaya meletakkan nama mereka setanding dengan artis-artis 'berani mati,' mencetus kontroversi bodoh dan kemungkinan besar akan menerima padahnya tidak lama lagi.

Bukan saja kekalutan artis ini telah membuat ramai penyokong pihak pembangkang terutama Pas prejudis terhadap kumpulan seperti ini. Golongan artis secara amnya akan mendapat tempiasnya juga.

Mungkinkah ini jalan pintas dan mudah untuk memahat nama agar dikenali. Kalau sebelum ini, nama Carburetor Dung tidak meniti di mulut ramai, selepas ini ramailah yang akan mengingati persembahan 'hari ini dalam sejarah' mereka.

Walaupun selepas kejadian melondeh seluar itu, 'penganjur' konsert itu Hishammuddin Rais memohon maaf dan hampir menitiskan airmata, kekecewaan yang berbekas di hati pengunjung-pengunjung bagaikan tidak boleh diubati.

Siapa sangka protes kenaikan minyak berubah menjadi satu peristiwa yang memalukan terutama sekali untuk kaum Melayu?

Perlakuan Alak melondeh seluar secara 'live' membuat aksi Faizal Tahir 'buka baju' sebagai sesuatu yang sopan. Maka sejujurnya, Alak layak mendapat 'pengiktirafan' artis paling berani pada tahun ini, sama hebat dengan beberapa artis yang mengambil gambar bogel mereka!

Joe Kidd: Londeh seluar perkara biasa, tak perlu minta maaf

Petikan: mStar Online

Aksi tak senonoh Alak ketika menonggengkan punggung dan melondehkan sedikit seluar yang menampakkan boxernya.

07-07-2008 05:11:07 PM

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

PETALING JAYA: Alah bisa tegal biasa!

Mungkin itu kesimpulan yang dapat diambil dengan aksi tidak senonoh vokalis kumpulan underground, Carburetor Dung ketika membuat persembahan pada Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya petang semalam.

"Dah lima tahun, kami menyanyi lagu Mari Menyanyi Menjilat dengan membuat aksi ini (melondeh seluar dan menonggeng punggung).

"Sudah jadi habit kami. Bukan niat kami untuk provokasi sesiapapun. Selama ini aksi itu sudah menjadi sebahagian dari act kami," kata Joe Kidd, ketua kumpulan dan pemain gitar Carburetor Dung ketika insiden vokalis Alak melondehkan seluar dan menonggeng punggungnya pada penonton di perhimpunan semalam.

Mari Menyanyi Menjilat merupakan antara lagu kumpulan tersebut yang ditubuhkan pada 1991.

Carburetor Dung terdiri daripada lima anak muda - Alak (vokalis), Fendi (pemain bass), Joe Kidd (gitaris), Bullet (drum) dan Tom (gitaris).

Kejadian itu berlaku pada pukul 6.50 petang, kira-kira tiga jam sebelum Ketua Umum Pakatan Rakyat berucap.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga berucap pada perhimpunan itu, yang menyasarkan kehadirna sejuta orang, yang bermula sejak pukul 10 pagi.

Kata Joe lagi, lagu tersebut adalah satu satira yang menceritakan pasal korupsi yang berlaku di sekeliling.

Bagaimanapun, Joe akur dengan reaksi penonton yang membelasah dan membaling objek ke arah Alak.

"Kami lupa yang kami tidak sepatutnya membuat aksi tersebut di khalayak ramai di tempat terbuka.

"Sebelum ini kami selalu buat persembahan di kelab tertutup dan gig tetapi tiada masalah dan mendapat bantahan daripada mana-mana. Mungkin sebab audiens kami lain.

"Kami cukup kesal apa yang sudah berlaku kerana kami tidak sedar apa yang kami lakukan," jelas Joe lagi.

Ketika ditanya, adakah mereka akan meminta maaf, Joe berkata, "Tidak.... kami tidak akan meminta maaf sebab kami tidak rasa bersalah. Bagi kami itu adalah perkara biasa."

Menurut Joe, Alak tidak berfikir panjang ketika membuat aksi spontan melondehkan seluar dan menonggengkan punggungnya.

"Mungkin disebabkan kebiasaan, dia terus melakukannya. Bagi kami ini adalah perkara normal," kata Joe lagi.

Joe berkata: "Kemungkinan besar yang meniup api kemarahan di kalangan penonton apabila lirik jilat..jilat itu kedengaran seperti liwat..liwat."

Penglibatan Carburetor Dung sebenarnya adalah atas pelawaan penganjur Hishamuddin Rais, kata Joe.

"Kami berbesar hati membuat persembahan ini secara percuma kerana kami memang ingin memberi hiburan kepada penyokong yang hadir dalam protes kenaikan harga minyak itu. Tapi tidak bermakna kami menyokong parti ini," jelas Joe.

Menurut Joe lagi, Alak yang dibelasah oleh penyokong protes hanya mengalami bengkak di kepala.

"Dia OK. Dia cuma mengalami bengkak di kepala akibat terhantuk...," katanya.

Anggota Parlimen Cadangkan Dasar Peruntuk Cuti Khas Untuk Mengerjakan Haji

07 Julai, 2008 15:37 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Seorang anggota Parlimen Barisan Nasional hari ini menggesa kerajaan melaksanakan satu dasar yang memperuntukkan cuti khas kepada rakyat beragama Islam negara ini yang ingin mengerjakan haji, terutama bagi ibadah itu kali pertama.

Pada masa ini kakitangan kerajaan diberi cuti khas 40 hari ini untuk mengerjakan haji.

Razali Ibrahim (BN-Muar) berkata cadangan itu selari dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

"Saya minta kerajaan segera meminda Akta Cuti 1955 untuk membolehkan orang (Islam) yang ingin mengerjakan haji untuk kali pertama, diberi cuti agar pemikiran orang yang hendak mengerjakan haji ini tenang dan dapat laksanakan (haji) sebaik mungkin," katanya.

Razali berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata, pada masa ini umat Islam di negara ini, kecuali kakitangan kerajaan, yang hendak mengerjakan haji terpaksa mengambil cuti tahunan ataupun cuti sakit untuk menunaikan ibadah itu.

Beliau turut menggesa kerajaan agar mengkaji cadangan penggunaan istilah Bahasa Malaysia, bagi menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.

Ini kerana katanya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, telah jelas bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.

"Saya harap kerajaan dapat bertindak tegas, jangan hanya kerana kita hendak berkompromi, kita sebut Bahasa Malaysia sedangkan dalam Perlembagaan telah termaktub Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Amerika Syarikat yang cuba campurtangan dalam perundangan negara dalam tuduhan liwat terhadap penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Razali berkata jika perkara itu dibiarkan berlanjutan, ia pasti akan mengganggu kedaulatan negara ini.

-- BERNAMA

Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka Meninggal Dunia

07 Julai, 2008 11:36 AM

MELAKA, 7 Julai (Bernama) -- Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Syed Ahmad Shahabudin, 83, meninggal dunia hari ini akibat sakit tua.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Omar Kaseh berkata Syed Ahmad meninggal dunia pada pukul 7.45 pagi di kediamannya di 90, Jalan Burhanudin Helmi 2, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Persiapan sedang dibuat oleh kerajaan negeri untuk membawa balik jenayah Allahyarham untuk disemadikan di Makam Pahlawan Melaka di perkarangan Masjid Al Azim selepas solat Asar hari Isnin, katanya.

Syed Ahmad, yang juga pernah menjadi Menteri Besar Kedah, adalah Yang Dipertua Negeri Melaka kelima.

Omar berkata bahawa sebelum dikebumikan, jenazah Allahyarham akan ditempatkan di Dewan Seri Negeri di Ayer Keroh di sini, untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Beliau berkata orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir boleh berbuat demikian mulai pukul 2 petang hingga 3.45 petang di dewan berkenaan.

"Masa menziarah bagi orang kenamaan ialah dari pukul 3.45 petang hingga 4.15 petang," katanya.

Beliau berkata pakaian bagi orang Islam terutama anggota mesyuarat kerajaan negeri dan pegawai kerajaan yang ingin menziarahi jenazah Allahyarham ialah pakaian kebangsaan hitam bagi lelaki manakala putih bagi wanita.

Katanya pakaian bagi orang bukan Islam pula ialah lounge suit berwarna gelap bagi lelaki dan pakaian sopan bagi wanita.

"Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat negeri Melaka ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham terutama kepada Toh Puan Sharifah Marfuza Sheikh Mohd Osman, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat," katanya.

Beliau berkata semua bangunan di negeri ini hendaklah mengibar bendera separuh tiang pada hari ini.

Allahyarham memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1948 sebagai seorang pegawai di Pejabat Kewangan negeri Kedah sehingga tahun 1955 dan 10 tahun kemudian dilantik pula sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai senator dari 1959 hingga 1964 sebelum menjawat jawatan Menteri Besar Kedah mulai Disember 1967 sehingga Julai 1978.

Pada 27 Julai 1978 Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri sehingga September 1980 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dari Februari 1981 hingga Disember 1984.

Allahyarham meletakkan jawatan sebagai Anggota Parlimen Padang Terap dan sebagai Ketua Umno bahagian Padang Terap sebaik sahaja dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka pada 4 Dis 1984 dan menjawat jawatan itu sehingga 3 Jun 2004.

-- BERNAMA

Perhimpunan 1 Juta Rakyat (Satu Analisis Awal)

Petikan: Laman Marhaen

Oleh Pajarao


6 Julai 2008 Perhimpunan 1 Juta Rakyat telah dilansungkan di Stadium MBPJ Kelana Jaya. Ia telah berjaya menarik ribuan pengunjung yang datang dan pergi ke Stadium MBPJ, tetapi apakah ianya benar-benar berjaya? Bagi pendapat saya banyak perkara yang perlu diperbaiki dan perlu di kaji semula memandangkan ada beberapa kekurangan yang masih lagi boleh diperbaiki.

Pertama, hari berlansungnya program tersebut adalah hari ahad yang mana ia menjadi hari cuti umum bagi Kuala Lumpur, Selangor dan kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia. Adakah pihak penganjur lupa untuk mengambil kira bahawa ianya adalah hari bekerja untuk beberapa negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Ketiga-tiga negeri ini adalah kubu kuat Pakatan Rakyat yang mana 2 Negeri iaitu Kedah dan Kelantan berada dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dari negeri-negeri berkenaan adalh berkurangan jika dibandingkan dengan kehadiran sewaktu Perhimpunan Bersih tempohari. Jadi kehadiran untuk program ini akan lebih baik kalau ia diadakan pada hari Sabtu iaitu hari yang sama diadakan Perhimpunan Bersih.

Kedua, lokasi perhimpunan ini diadakan. Pihak Polis minta perhimpunan ini diadakan di dalam Stadium. Mengapa? Apabila perhimpunan ini diadakan di dalam Stadium ia kurang efektif dari segi pandangan umum. Apabila diadakan di dalam Stadium ia tidak dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dan mendatangkan kegerunan pihak pemerintah. Ia tidak dapat dilihat olh orang ramai yang tidak menyertai perhimpunan. Pemandangan protes atau perhimpunan hanya dapat dilihat di dalam Stadium itu sahaja. dan sebenarnya apabila sesuatu protes dijalankan ia ingi menyampaikan mesej kepada orang ramai dan mendatangkan kegerunan pihak pemerintah apabila jumlah yang ramai menghadiri protes tersebut. Ini dapat dilihat dari tindak tanduk pemerintah yang tidak takut kepada protes ini, dengan cara mereka tidak menghantar anggota mereka ke lokasi dan tiadanya sekatan jalanraya untuk laluan ke lokasi perhimpunan.

Ketiga, masa yang terlalu panjang untuk program ini dan program ini boleh dinamakan Karnival jika pihak penganjur bersetuju. ramai yang telah datang pagi dan sebelah awal petang tidak lagi datang untuk waktu malam. ini menyebabkan kita tidak dapat benar-benar menghimpunkan ramai peserta atau pengunjung dalam satu-satu masa.

Seterusnya yang mencacatkan program ini adalah aksi kumpulan underground yang dijemput untuk memberi persembahan. Pihak penganjur dengan hati terbuka untuk membenarkan kumpulan ini melakukan persembahan dengan anggapan mereka ini adalah sebahagian dari masyarakat dan mereka mesti di beri peluang untuk mempersembahkan bakat mereka. Mereaka ini saya dimaklumkan telah diberi garispanduan untuk melakukan persembahan. malangnya mereka ingkar, selepas ini kumpulan terbabit mestilah di halang dari melakukan persembahan mereka dalam mana-mana program anjura Pakatan Rakyat selepas ini.

Program ini boleh dikatakan berjaya jika diambil kira tekanan dari media Pemerintah Bacul Nasional (BN). Harap perkara diatas mendapat perhatian dari Pakatan Rakyat apabila hendak mengadakan program di masa hadapan.

- Pajarao

07.07.2008

Anwar sedia bersumpah

Petikan: MalaysiaKinin
Muda Mohd Noor | Jul 6, 08 11:05pm

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup bersumpah dan dibicarakan di mahkamah syariah terhadap tuduhan liwat terhadapnya, dengan syarat ia mengikut undang-undang syariah sepenuhnya.

anwar ibrahim protes fuel price hike rally mppj stadium 070708"Saya mencabar mereka memberikan bukti-bukti sebelum menuduh dan mengaitkan saya," katanya dalam cermah kepada kira-kira 25,000 di Stadium Kelana Jaya, di Petaling jaya malam ini.

"Saya sedia menerima apa sahaja hukuman jika dibuat mengikut undang-undang yang adil.

"Saya akan tunduk jika mereka boleh memberikan bukti tuduhan terhadap saya.

"Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, Insya-Allah saya akan lakukan," katanya diikuti tepukan gemuruh para hadirin.

Ucapan beliau malam ini merupakan acara kemuncak perhimpunan rakyat membantah kenaikan harga minyak hari ini.

Menurut Anwar lagi, pada 1998, katanya, beliau dituduh dengan kes yang hampir sama.

"Saya telah bertanya kepada ulama-ulama, mereka melarang saya bersumpah.

"Tetapi saya tetap bersumpah, namun saya dipukul dan dipenjarakan.

'Selamatkan M'sia'

"Mengapa kes ini dibangkitkan sekarang? Kerana kita maju ke depan. Kamu main drama Sivaji The Boss, kita main drama Sivaji The Boss.

"Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan...," ulang Anwar sambil disambut temukan gemuruh dan laungan reformasi.

Pada 28 Jun lalu, pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa mantan timbalan perdana menteri itu meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, beberapa kali sekitar bulan Jun lalu.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau "sumpah" sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta mufti Perlis itu tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.

Dan hari ini, Dr Mohd Asri mencadangkan Mursyidul Am Pas menjadi orang tengah yang akan membawa Anwar dan Saiful untuk "mubahalah" atau 'bersumpah' sebagai jalan penyelesaian isu liwat yang kini menjadi tumpuan nasional.

Sedia berdebat

Dalam ceramahnya juga, Anwar mendakwa beliau tidak mahu isu tuduhan liwat ini menjadi isu peribadi beliau.

"Tetapi (ia) diulang dengan jahat dan (dengan) fitnah yang kejam. Kita tidak terima ini.

"Saya akan bongkar habis-habisan. Siasatan polis tidak seteruk tahun 1998-1999 tetapi akan beri kerjasama penuh untuk siasatan," kata Anwar lagi.

Anwar berkata, jika beliau dipukul, ditangkap dan dipenjarakan lagi, ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Beliau bertanya selama enam tahun beliau di dalam penjara, adakah politik baik, rasuah turun dan harga minyak turun?

Ketua umum PKR itu berkata, politik sudah tidak terkawal dan kerajaan Pakatan Rakyat mahu memulihkan keyakinan pelabur.

Mengenai dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar bahawa beliau memberi maklumat kepada Amerika Syarikat, Anwar berkata:

"Kalau ada bukti saya telefon dan surat yang saya hantar kepada Amerika Syarikat, saya boleh diambil tindakan.

"Jika tidak saya akan saman kamu," katanya disambut tepukan gemuruh pada hadirin.

Anwar juga berkata, beliau sedia berdebat dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 15 Julai ini berhubung isu kenaikan harga minyak.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik debat itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...