Monday, July 7, 2008

Syed Ali Al-Habshee Saran Menteri Penerangan Jangan Teruskan Debat

07 Julai, 2008 19:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek disarankan agar tidak meneruskan debat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan 15 Julai ini.

Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Syed Ali Al-Habshee meminta agar Ahmad Shabery tidak melayan atau memberi peluang kepada Anwar untuk berdebat dalam pelbagai isu.

"Apakah pentingnya debat tersebut kepada rakyat dan negara," katanya menerusi satu kenyataan kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau mempertikaikan tindakan Kementerian Penerangan memberikan peluang kepada Anwar untuk berdebat kerana langkah itu tidak rasional dan boleh menjahanamkan masa depan orang Melayu.

Minggu lepas, Ahmad Shabery berkeras tetap akan meneruskan hasratnya untuk berdebat dengan Penasihat PKR itu berhubung kenaikan harga minyak walaupun pelbagai pihak menggesa Ahmad Shabery membatalkan hasratnya itu.

Ahmad Shabery dan Anwar telah mengesahkan penyertaan mereka di dalam debat bertema "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" anjuran portal berita Agenda Daily yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Syed Ali turut menggesa media massa termasuk media cetak dan elektronik agar tidak memberikan liputan terhadap pelbagai kenyataan yang dibuat Anwar.

"Tidak ada gunanya pihak media memberikan liputan terhadap aktiviti dan kenyataan Anwar kerana banyak lagi isu lain yang perlu diberikan keutamaan khususnya isu membabitkan agenda kerajaan dalam meneruskan pembelaan rakyat," kata Anggota Dewan Negara itu.

Beliau turut menegur sikap sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris yang sejak kebelakangan ini seperti sengaja memberikan liputan meluas terhadap isu yang membabitkan kepentingan politik Anwar dan PKR.

"Saya ingin menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri memantau laporan akhbar berkenaan bagi memastikan laporannya tidak mengelirukan rakyat dengan permainan politik Anwar," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...