Monday, July 7, 2008

Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka Meninggal Dunia

07 Julai, 2008 11:36 AM

MELAKA, 7 Julai (Bernama) -- Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Syed Ahmad Shahabudin, 83, meninggal dunia hari ini akibat sakit tua.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Omar Kaseh berkata Syed Ahmad meninggal dunia pada pukul 7.45 pagi di kediamannya di 90, Jalan Burhanudin Helmi 2, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Persiapan sedang dibuat oleh kerajaan negeri untuk membawa balik jenayah Allahyarham untuk disemadikan di Makam Pahlawan Melaka di perkarangan Masjid Al Azim selepas solat Asar hari Isnin, katanya.

Syed Ahmad, yang juga pernah menjadi Menteri Besar Kedah, adalah Yang Dipertua Negeri Melaka kelima.

Omar berkata bahawa sebelum dikebumikan, jenazah Allahyarham akan ditempatkan di Dewan Seri Negeri di Ayer Keroh di sini, untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Beliau berkata orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir boleh berbuat demikian mulai pukul 2 petang hingga 3.45 petang di dewan berkenaan.

"Masa menziarah bagi orang kenamaan ialah dari pukul 3.45 petang hingga 4.15 petang," katanya.

Beliau berkata pakaian bagi orang Islam terutama anggota mesyuarat kerajaan negeri dan pegawai kerajaan yang ingin menziarahi jenazah Allahyarham ialah pakaian kebangsaan hitam bagi lelaki manakala putih bagi wanita.

Katanya pakaian bagi orang bukan Islam pula ialah lounge suit berwarna gelap bagi lelaki dan pakaian sopan bagi wanita.

"Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat negeri Melaka ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham terutama kepada Toh Puan Sharifah Marfuza Sheikh Mohd Osman, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat," katanya.

Beliau berkata semua bangunan di negeri ini hendaklah mengibar bendera separuh tiang pada hari ini.

Allahyarham memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1948 sebagai seorang pegawai di Pejabat Kewangan negeri Kedah sehingga tahun 1955 dan 10 tahun kemudian dilantik pula sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai senator dari 1959 hingga 1964 sebelum menjawat jawatan Menteri Besar Kedah mulai Disember 1967 sehingga Julai 1978.

Pada 27 Julai 1978 Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri sehingga September 1980 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dari Februari 1981 hingga Disember 1984.

Allahyarham meletakkan jawatan sebagai Anggota Parlimen Padang Terap dan sebagai Ketua Umno bahagian Padang Terap sebaik sahaja dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka pada 4 Dis 1984 dan menjawat jawatan itu sehingga 3 Jun 2004.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...