Monday, July 7, 2008

Anggota Parlimen Cadangkan Dasar Peruntuk Cuti Khas Untuk Mengerjakan Haji

07 Julai, 2008 15:37 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Seorang anggota Parlimen Barisan Nasional hari ini menggesa kerajaan melaksanakan satu dasar yang memperuntukkan cuti khas kepada rakyat beragama Islam negara ini yang ingin mengerjakan haji, terutama bagi ibadah itu kali pertama.

Pada masa ini kakitangan kerajaan diberi cuti khas 40 hari ini untuk mengerjakan haji.

Razali Ibrahim (BN-Muar) berkata cadangan itu selari dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

"Saya minta kerajaan segera meminda Akta Cuti 1955 untuk membolehkan orang (Islam) yang ingin mengerjakan haji untuk kali pertama, diberi cuti agar pemikiran orang yang hendak mengerjakan haji ini tenang dan dapat laksanakan (haji) sebaik mungkin," katanya.

Razali berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata, pada masa ini umat Islam di negara ini, kecuali kakitangan kerajaan, yang hendak mengerjakan haji terpaksa mengambil cuti tahunan ataupun cuti sakit untuk menunaikan ibadah itu.

Beliau turut menggesa kerajaan agar mengkaji cadangan penggunaan istilah Bahasa Malaysia, bagi menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.

Ini kerana katanya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, telah jelas bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.

"Saya harap kerajaan dapat bertindak tegas, jangan hanya kerana kita hendak berkompromi, kita sebut Bahasa Malaysia sedangkan dalam Perlembagaan telah termaktub Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Amerika Syarikat yang cuba campurtangan dalam perundangan negara dalam tuduhan liwat terhadap penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Razali berkata jika perkara itu dibiarkan berlanjutan, ia pasti akan mengganggu kedaulatan negara ini.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...